LAMPU di bilik Hash masih menyala. Itu tandanya Hash dan Hammad masih berjaga, walaupun waktu telah hampir ke malam yang paling tua. Kedua-duanya masih lagi berbual tentang cincin dan kejadian-kejadian aneh yang mereka alami.
Hash menggaru-garu bawah dagunya, sambil memandang wajah Hammad. Dia kelihatan bingung sedikit. Sambil dia berdiri di hadapan jendela, dan wajahnya menoleh kepada Hammad. Ketika itu Hammad sedang duduk di tebing katil. Dia hanya memerhatikan telatah Hash dari duduknya.
"Mula-mula aku," kata Hash. Dia masih ingat gangguan yang dialaminya di bilik perpustakaan itu. "Kemudian bunyi angin di tepi sungai."
"Jangan lupa, aku pun diganggu juga," ujar Hammad pula.
Bayangan lembaga yang dilihatnya itu masih terus bermain dalam ingatannya. Semua bentuk gangguan itu tidak dapat diterima akal yang waras. Hammad bingkas bangun dari tebing katil, menuju ke sebelah Hash. Dia sempat memandang keluar. Bulan tidak timbul pun malam ini. Entah di mana-manalah bulan menyembunyikan dirinya. Kerana itu pula pekat malam bermaharajalela di mana-mana. Sudut terlindung bertambah gelap buta. Hammad membalikkan tubuhnya, sambil bersandar pada jendela.
"Aku yakin, ini semua ada kaitan antara satu dengan yang lain."
"Betulkah kau rasa begitu, Hash?" tanya Hammad.
Hash menjawab dengan anggukan kepala. Riak wajah Hammad berubah buat seketika. Dia membalikkan lagi tubuhnya menghadap jendela pula. Pandangannya pegun ke depan, menatap kegelapan di halaman rumah.
"Jika semua tu saling berkait, kau fikir apa sebenarnya yang ganggu kita?" tanya Hammad lagi.
Belum sempat Hash menjawab pertanyaan Hammad itu, tiba-tiba Hammad mencengkam bahu Hash. Selajur Hammad menjerit halus, seperti suaranya tersekat pada kerongkongnya. Seperti kesemputan, kehabisan udara.
"Hash, Hash... ada hantu. Ada hantu, Hash."
Hash melihat pantas ke wajah Hammad. Dia melihat mata Hammad terbelalak memandang keluar jendela. 'Biar betul!' Hash terus sahaja memandang ke arah yang sedang dilihat Hammad. Darahnya menyirap. Sesusuk lembaga sedang berlari masuk ke halaman rumah, tepat seratus lapan puluh darjah di hadapan mereka. Ia betul-betul hantu! Betul-betul ke arah mereka. Hash dan Hammad berundur setapak ke belakang. Tidak sempat lagi untuk menutup jendela.
DARI jauh Nazim sudah nampak Hammad dan Hash di hadapan jendela bilik itu. Hatinya menjadi lega sedikit. Dipercepatkan lariannya, walaupun dia separuh mati memaksa tubuhnya yang bulat dan berat itu untuk tiba ke situ. Dia mesti sampai kepada mereka.
"Hash. Hamm. Tolong aku."
Dia separuh menjerit setelah tinggal beberapa langkah lagi tiba ke jendela yang masih mengnganga itu.
"Tolong aku."
Suaranya tersekat-sekat akibat terlalu kepenatan. Hidungnya kembang kempis menyedut udara.
Hammad dan Hash terkebil-kebil memandangnya di luar jendela buat seketika. Nazim terduduk di luar seperti sedang nazak. Matanya sahaja yang buntang ke wajah mereka. Tetapi mereka berdua pula bagai tersedut sihir pukau, yang melemahkan seluruh urat sendi untuk bertindak atau sekurang-kurangnya berbuat sesuatu. Mereka kaku tidak bergerak di tempat masing-masing.
"Engkau tu, Zim?" tanya Hammad dengan suara keras dan pantas selepas beberapa ketika.
"Akulah, bodoh!" Nazim menjerit dalam kepayahan.
Terkejut mendengar suara Nazim yang kesemputan di luar sana, kedua-dua mereka dengan pantas menjengukkan kepala melihat Nazim dari jendela.
"Apa yang kau buat di sini, Zim? Kau dari mana?" Hash mengerutkan dahi.
![](https://img.wattpad.com/cover/75131993-288-k864191.jpg)
YOU ARE READING
BUNIAN
FantasyEmpat sepupu, cincin ajaib pusaka milik moyang, dan makhluk-makhluk ghaib di daerah Tandek.