Bab 19

626 27 11
                                    



KEEMPAT-EMPAT sepupu itu bertemu di rumah Hash seperti yang telah dijanjikan pada petang semalam.

"Baiklah, sekarang mari kita mulakan kerja kita."

Hash memberikan isyarat, setelah mereka dijamu dengan satu hidangan minum petang yang enak. Apam durian buatan Mak Cik Farra. Nazim yang terkenal dengan selera makan yang besar itu, sudah menghabiskannya lebih daripada sepuluh keping Apam Durian. Isi durian dikisar dengan santan kelapa, lemaknya masih tersisa di atas lidah Nazim.

Ketika ini ibu Hash sedang sibuk setelah didatangi tamu dari rumah sebelah. Hash mengambil peluang itu untuk membawa ketiga-tiga sepupunya di bilik belajarnya. Bilik itu betul-betul di sebelah bilik tidur Hash, saiznya kecil sahaja. Terdapat sebuah meja di depan jendela, dan dua rak buku empat tingkat di sebelah dinding kirinya. Beberapa buah buku yang sangat biasa dilihat di dalam kelas, turut dilihat di atas meja itu.

"Zim, kau dengar tak apa aku cakap?"

Hash menyedari Nazim sedang mengelamun tentang sesuatu yang lain, dia melambai-lambaikan tangannya di hadapan Nazim.

"Apa kata kau?" Nazim terkebil-kebil memandang Hash.

Tekaan Hash memang tidak salah. Hammad mendengus sebagai tindak balas atas sikap pelamun Nazim itu. Sora cuma memandang ke arahnya tanpa berkata apa-apa.

"Aku tanya ni, ada tak kau bawa cincin tu?" tanya Hash dengan suara yang sedikit dikeraskan.

"Eh, tentulah ada," jawab Nazim, separuh menjerit. Dia memang betul kali ini, sebab itu dia menjawab dengan pantas.

Hash membeliakkan matanya memandang Nazim.

"Apa?" Nazim bertanya bodoh.

"Cepatlah keluarkan cincin tu letak di sini." Perintah Hash sambil mengajukan jari telunjuknya ke arah meja, di tengah-tengah ruang.

"Oh iya," kata Nazim seperti baru teringat sesuatu yang penting.

Selepas mendapat tempatnya di samping Sora, dia menyeluk saku seluarnya. Dia meletakkan sehelai sapu tangan berwarna merah jambu di tengah-tengah meja.

"Kau masih suka merah jambu?" Mata Sora terkebil-kebil memandang Nazim. "Aku ingat..."

"Diamlah!" bentak Nazim.

Disambut tawa Hammad dan Hash. Merah jambu memang warna kegemaran Nazim dari dulu. Dan dia sentiasa membawa sapu tangan itu bersamanya. Kemudian Nazim membuka balutan sapu tangan itu dengan berhati-hati. Seolah-olah ada benda akan jatuh dari balutan sapu tangan itu dan mungkin akan pecah.

"Ini yang kau semua kata, Cincin Permata Panglima Taning?" tanya Sora.

"Selain daripada saiznya yang sangat besar, tak nampak misteri pun." Sora menjuihkan bibirnya ke bawah.

"Sebelum kita mulakan," kata Hash tanpa mempedulikan Sora. "Aku nak beritahu kau semua pasal mimpi aku malam tadi."

"Mimpi? Hey, aku juga mimpi malam tadi." Potong Nazim dengan pantas. "Pelik betul. Kau semua ada dalam mimpi aku, tau tak?"

Hash, Hammad dan Sora terlopong mendengarnya.

"Jangan kata kita bertemu dengan seorang perempuan yang langsung kita tak kenal dalam mimpi kau itu," kata Sora.

Nazim terbelalak. "Memang betul kata kau, Sor. Perempuan itu siap beritahu nama dia pada kita semua." Nazim memandang ketiga-tiga mereka.

Hash menelan liur. 'Ini memang mustahil,' fikirnya.

BUNIANWhere stories live. Discover now