KAWANAN kaum Tompulangoi yang membawa dua orang manusia dan diiringi Ashkii itu mulai menghampiri perkampungan bunian di puncak Tengginggis.
Uddi si penaung Tengginggis, makhluk pertama yang memerhatikan kemunculan mereka dari menara Suang Tongkowiyau, tempat tertinggi di situ. Dia melihat bagaimana anak-anak buahnya yang terdiri dari pelbagai kaum di bawah sana, mulai riuh sejak kepulangan Gunar dan Hebe, yang membawa pesanan dari Ashkii, bahawa mereka perlu bersedia menyambut kehadiran manusia ini. Mereka mulai berebut-rebut tempat yang mereka fikirkan sesuai untuk melihat manusia itu nanti.
Di antara mereka yang sedang kecoh di dalam himpunan yang besar itu, adalah Gunar dan Namu. Tidak terkecuali, Hebe dan Gera. Mereka memilih untuk berada di tempat yang lebih tinggi dari yang lain.
"Mereka datang! Mereka datang!"
Tiba-tiba satu jeritan kedengaran dari himpunan makhluk halus yang banyak dengan pelbagai rupa di tepi gerbang itu. Makhluk yang rendah dan pendek, mulai memanjang-manjangkan leher mereka untuk melihat ke jalan besar. Sebahagiannya menjelma menjadi kupu-kupu dan pelbagai unggas rimba. Terapung di udara dan terbang ke sana ke mari. Menghinggap di serata tempat yang berhampiran. Kadang-kadang bertenggek di bahu kaum Tompulangoi. Sementara kaum Tompulangoi itu sendiri mulai menjenguk-jengukkan kepala ke atas jalan. Mereka memandang ke arah Padang, yang menjerit dengan suara lantang tadi. Padang adalah di antara makhluk Tompulangoi termuda di situ.
Suasana semakin kecoh. Namu dan Gera memanjang-manjangkan leher untuk melihat kebenarannya, walaupun mereka sebenarnya sudah berpijak pada tempat yang lebih tinggi. Hanya Gunar dan Hebe yang tidak lagi terlalu teruja melihat kehadiran manusia itu. Tetapi Hebe tidak tahu mengapa, tiba-tiba dia berasa berdebar. Dengan gambaran wajah Hammad memenuhi jejala ingatannya, matanya tunak jauh ke depan sana. 'Adakah dia Hash atau Hammad?' hatinya berbisik.
"Itu dia, Ashkii." Gera memandang Hebe dan tersenyum.
"Tapi dia bukan Hash..." Hebe mengerutkan dahi.
Manusia itu berdua, bukan seorang sahaja seperti yang dirancang Ashkii. Bukan juga Hash. Hebe terbelalak.
"Hammad?" Hebe berbisik. "Dia benar-benar Hammad?"
"Apa kata kau?" Gera menyiku Hebe.
Tetapi Hebe tidak menjawabnya. Gera pun tidak peduli lagi apabila tumpuannya kembali kepada kehadiran makhluk kasar itu. Sesusuk lembaga hitam dilihat mereka sedang terbang menuju ke pintu gerbang. Apabila lembaga hitam itu jejak ke tanah, dia menjelma sebagai seorang lelaki, sebagai Ashkii. Tidak lama kemudian mereka melihat pula kelibat makhluk Tompulangoi bernama Lawoi, diikuti Tapalang, dan dua orang manusia pada kedua-dua bahunya.
"Lihat! Manusia-manusia itu duduk di atas bahu Tapalang!"
Himpunan itu mulai riuh. Bernada tidak senang.
"Kalau aku, aku tidak mahu!"
Mereka dengan terang-terangan membantah tindakan Tapalang.
"Bagaimana Tapalang membiarkan musuh kepada nenek moyangnya sendiri, mempergunakan tubuh dan kekuatannya?"
"Bodoh benar tindakannya."
"Kalau aku, aku campak saja kedua-duanya ke atas jalan. Seolah-olah mereka itu makhluk yang hebat saja."
"Tetapi taki aku pernah mengatakan, manusia ini memang jauh bezanya dengan kaum kita. Mereka lemah dan tidak tahan."
"Kalau begitu biarkan sajalah mereka itu mati."
YOU ARE READING
BUNIAN
FantasíaEmpat sepupu, cincin ajaib pusaka milik moyang, dan makhluk-makhluk ghaib di daerah Tandek.