TENGAH HARI itu, Mur tidak beritahu sesiapa pun ke mana tujuannya apabila dia meninggalkan istana Sarou secara bersendirian. Dia dengan langkah berhati-hati, memastikan dahulu bahawa tentera-tentera Duwarung yang berkawal di gerbang kota tidak melihatnya. Atau mereka akan menangkapnya dan dia terpaksa menghadap bapanya sendiri, pemerintah tanah Tandek.
Setelah jauh dari kota, Mur merubah dirinya kepada seekor rama-rama yang dipanggil Kalibambang untuk merentasi sebuah rimba yang dipanggil oleh mereka sebagai Sunsuyon Rogon. Dia tahu bahayanya melewati rimba itu, tetapi Mur yakin dia tidak bodoh untuk membiarkan dirinya terdedah kepada sebarang bahaya. Lagipun, dia tetap perlu juga melalui Sunsuyon Rogon. Tiada sesiapa yang akan menduga dia telah melalui rimba berhantu itu, dan tiada sesiapa pun yang tahu bahawa air terjun Wasai Minoluit sangat dekat jaraknya melalui Sunsuyon Rogon.
Dari jauh Mur melihat unggun api yang kecil di pinggir sebuah pondok beratapkan daun-daun pokok, tidak berdinding. Dan pemuda bernama Taning itu sedang duduk berdiam diri di hadapan lidah api yang meliuk-liuk diusik angin itu. Sementara tiga saudaranya telah hanyut diselimutkan lena.
Taning menoleh ke seberang sungai apabila terdengar satu bunyi yang aneh. Arus sungai di dasar sana memang garau dan kasar, tetapi pendengaran Taning masih dapat menangkap bunyi yang kuat dan tidak normal tadi. Tiba-tiba bunyi yang didengarnya itu beralih sekelip mata di dalam belukar, tidak jauh dari tempat mereka berteduh. Matanya tunak ke depan, dan bingkas bangkit dengan berani. Dia percaya bunyi itu datang dari sana. Dengan pantas dia menggenggam parang bersarung yang terikat di pinggangnya. Dia siap untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Beberapa detik berlalu, bunyi aneh itu akhirnya hilang begitu sahaja. 'Mungkin binatang liar sekadar lalu,' fikir Taning.
Selajur, matanya naik ke atas rimbunan dahan-dahan pokok. 'Luar biasa,' bisik hati Taning. Siang tadi dia melihat bagaimana rimbunnya rambut hijau yang menutupi dahan-dahan kekar itu. Sekarang, dahan-dahan itu umpama tangan-tangan kembang menadah ke langit. Daun-daunnya seperti hilang bersama-sama dengan kegelapan.
Tetapi sebaik sahaja dia memandang ke depannya semula, Taning hampir meloncat apabila terlihat kelibat seseorang tidak jauh di hadapannya. Sebagai seorang pemburu yang sering pulang tanpa tangan kosong, Taning bangun dan memasang langkah siap siaga. Genggaman tangannya kembali kemas pada kepala parangnya. Matanya tunak ke satu arah, di dalam kegelapan di hadapannya. Dia pasti dia telah melihat kelibat orang.
"Siapa di sana?"
Taning membentak sambil menjeling pada pondok, ke arah abang-abangnya. Tidak sesiapa pun dari mereka bertiga yang mendengar bentakannya. Itu menandakan mereka memang tidur mati. Taning diam seketika, mempertajamkan deria dengarnya. Tetapi tiada sesiapa pun yang menyahut pertanyaannya itu, selain kerisik daun-daun pokok di atas dahan, diusik angin pengembara malam. Dingin hampir dapat memeluk penuh sekujur tubuhnya. Kalau tidak kerana bahang hangat yang terlepas dari lidah api di hadapannya, dia pasti tidak mampu bertahan.
'Mungkin aku tersilap pandang,' fikir Taning.
Mungkin ia hanyalah kelibat unggas malam yang berburu dalam gelap. Atau mungkin pantulan cahaya dari langit, gurauan bulan. Taning sudah hampir dapat menenangkan dirinya, apabila sekali lagi dia menangkap kelibat itu. Kali ini dia pasti ia tidak lagi sekadar unggas malam. Taning mencabut parang dari sarungnya.
"Keluar! Aku tahu kau di sana!" Kali ini Taning membentak lebih garang.
Bunyi semak dirempuh sangat jelas kedengaran di dalam gelap di hadapan sana. Taning siap memasang kakinya, lebar. Dia akan melompat jika keadaan memerlukannya bertindak demikian. Rempuhan itu kedengaran lagi, bunyi terjatuh, berdenting dan sesuatu yang kecil sedang berguling menuju ke arahnya. Objek itu berkilau disentuh cahaya unggun api. Dan satu kelibat keluar dari sana, mengejar benda berguling itu. Dia adalah seorang perempuan.

ANDA SEDANG MEMBACA
BUNIAN
FantasiEmpat sepupu, cincin ajaib pusaka milik moyang, dan makhluk-makhluk ghaib di daerah Tandek.