Wajah tua tok ayah nampak tenang dari luaran tapi matanya tajam menikam ke arah Zack. Peluh jantan pula sudah mengalir buat kali kedua di tubuh Zack. Langsung padam aura marah yang berapi dalam hatinya sementara menunggu ketibaan tok ayah tadi. Tidak mahu dirinya nampak bersalah, pantas saja peluh dikesat dengan hujung tangannya.
Nafas ditarik dalam sebelum dilepaskan berat. Tok ayah ni kan! Aduhai, ada juga yang jadi buta nanti dek panahan mata tok ayah tu. Takut pula daripada Zack mengaku tak buat apa-apa, terus mengaku bersalah!
Ah, Zack! Bertahan! Jangan mengalah! Bercakap benar kan senang. Apa nak ditakutkan? Bukan kau buat apa-apa yang salah pun tadi, ujar Zack dalam hati.
"Tok ayah..." panggil Zack perlahan sambil tangan tua itu ditarik dan dikucup berkali-kali, mohon pengertian. Wajahnya sayu, nada suara mendayu minta simpati.
"Tok ayah kena percaya dengan Zack. Kalau bukan tok ayah, siapa lagi? Zack berani jamin, semua orang yang ada dekat sini sekarang ni semua tuduh Zack yang salah. Tapi sebenarnya tak. Sungguh, tok ayah! Zack tak buat apa-apa pun! Abang Bob yang minta Zack datang sini pasangkan mentol. Tup-tup tengah Zack nak pasang mentol, Zack kena tarik masuk dalam bilik air tu."
"Nak buka pintu pun Zack tak tahu yang mana satu pintu, sebab keadaan gelap sangat tadi. Lepaih tu, bila pintu terbuka boleh pula ada perempuan keluar sama. Zack pun terkejut, tok ayah. Seumur hidup, Zack tak pernah kenal perempuan tu siapa," jelas Zack dengan panjang lebar.
Tok ayah tarik nafas dalam-dalam. Sesekali tangannya menepuk gigitan manja nyamuk yang dah mula menyerang kakinya yang sedikit terdedah.
"Kalau dia minta tolong pun, yang hang pi lurus bendul ikut tu awatnya?" Tok ayah mula mempersoalkan tindakan Zack yang cepat percaya terhadap orang lain itu.
Errrkkk!!! Zack dah rasa liurnya tersekat di rengkung. Tangan tua tok ayah dilepaskan apabila akalnya tadi bagai tak mengena. Tak ada gaya pun macam tok ayah terkesan dengan tindakannya. Tak cukup sadis ke muka yang aku tayang tadi? tanya Zack dalam hati.
"Yalah, orang minta tolong, apa salahnya Zack tolong. Sekali-sekala aje pun depa mintak tolong Zack sebab itu Zack tolong. Lagipun, tok ayah kan selalu pesan kepada Zack..." Zack mula mengeluarkan hujah untuk menegakkan kebenaran di pihaknya.
"Yang aku dok pesan kat hang, jangan dok kawan dengan kacang hantu tu, hang tak mahu dengaq. Tapi tang tolong anak dara orang, hang ikut pula," bidas tok ayah. Suaranya sudah naik satu paras volume. Lambat-lambat Zack telan liur sebelum sambung ayat nak mempertahankan diri.
"Zack ingat tak ada orang dalam rumah ni sebab nampak gelap aje. Jadi, Zack teruskan sajalah niat suci murni Zack yang nak menolong tu. Ala, tok ayah! Tolonglah Zack. Tadi pak cik tu cakap, nak tak nak Zack kena kahwin juga dengan anak dia. Zack tak nak kahwinlah, tok ayah. Umur Zack baru nak masuk 18 tahun. Zack nak masuk U dulu, lepas tu boleh dapat kerja. Ada duit banyak, nak hantar tok ayah pergi haji lagi..." jelas Zack, ibarat cuba menegakkan benang yang basah.
"Aku dah pi haji dah," sampuk tok ayah sambil berpeluk tubuh. Sesekali matanya melilau ke arah dalam rumah yang kelihatan kelam-kabut di ruang anjung untuk memberi tempat kepada tetamu yang bakal tiba sebentar lagi.
"Haji kali kedua? Haaa... Boleh, kan? Zack janji, nanti kita pergi berdua. Tapi sebelum tu tok ayah, tolonglah Zack. Zack sumpah, tok ayah! Zack tak sentuh pun budak perempuan tu. Dia yang sentuh Zack. Dia peluk Zack dalam gelap. Tok ayah percayalah, ya! Zack berani sumpah sate tiga cucuk!" jelas Zack sungguh-sungguh. Sampai senget bahu baju Melayu tok ayah ditariknya.
"Dah kenapa pula sate yang hang sumpahkan?"
"Ha?" Zack garu kepala. Haah, kan. Dah kenapa pula dengan sate? Arghhh!!! Kalau waktu macam inilah dihulur sate, sebatang sate pun belum tentu dapat ditelan. Ini semua samdol-samdol tu punya pasallah! Tolong konon. Kawan konon. Pigidah!
YOU ARE READING
Duda Terlajak Laris
RomansaBacaan Awal Sahaja Tajuk: Duda Terlajak Laris Penulis: Aifa Batrisya Penerbit: Penulisan2u Harga: RM25.00 (Semenanjung)// RM28.00 (Sabah & Sarawak) http://www.p2u.my/beli-online.html?page=shop.product_details&flypage=flypage.pbv.v2.tpl&product_id=11...