"abah!" Lantang suara Zack menjerit apabila waktu pintu rumah teres dua tingkat lot tepi itu dibuka, tiba-tiba saja ada satu benda yang panjang berkilat melintang di hadapan pintu. Nafasnya naik turun menahan kejutan versi Bang Bang Boom itu supaya lebih tenang sambil dada diurut berkali-kali.
Phewww. Mintak nyawa! Mintak nyawa! Mujur sebelum nak melangkah masuk tadi, Zack sempat baca bismillah. Berkat sungguh! Kalau tidak, sure-sure dia dah jadi mangsa pertama pakukan pedang samurai abahnya. Huisyhhh... Mintak dijauhkan!
"Sabar abah, sabar. Bawa mengucap. Istighfar, qunut... Iftitah... Errr... Apa-apa sajalah," pujuk Zack dengan nafas yang masih naik turun.
"Banyak kamu punya qunut, iftitah! Dah buat jahat, tahu pula kamu balik ke pangkal jalan, ya!" Berang abah masih tak surut. Melayang-layang pedang samurai di hadapannya.
"Kalau tak balik ke sini, Zack nak balik ke mana lagi, abah? Lainlah kalau Zack ada mak dengan ayah yang lain," balas Zack bersahaja dalam takut.
"Menjawab! Menjawab! Dah buat salah besar pun ada hati nak menjawab lagi, ya!" marah abah yang sudah menapak ke hadapan beberapa langkah. Langsung kecut perut Zack dibuatnya apabila pedang samurai abah semakin hampir dengannya. Pantas saja dia berlari menyorok ke belakang kereta.
"Ya Allah, abang! Apa ni?" Suara ibu yang datang dari ruang dapur turut sama memetir melihat aksi samurai abah depan pintu ke arah tetamu yang ditunggunya sejak tadi. Melihatkan wajah ibu yang tersembul di tepi abahnya, Zack bingkas bangun macam baru lepas diberi minum air ketum.Tiba-tiba dapat tenaga tambahan!
"Ibu, tolong Zack ibu! Abah nak bunuh Zack, bu!" jerit Zack dari belakang buntut kereta Volvo lama abahnya yang jadi kubu pertahanannya.
"Ya Allah, abang! Apa ni sampai nak membunuh segala? Kita bukan ada anak lelaki lain pun. Zack seorang ni sajalah anak kita, bang!" tegas ibu yang terkejut melihat abah mengacukan pedang samurai ke arah Zack.
"Baik tak ada anak lelaki daripada ada asyik nak menyesakkan kepala saja. Kamu keluar sekarang, Zack. Keluar aku kata!" jerkah abah.
"Nak keluar ke mana? Zack memang dekat luar pun ni, bah," sahut Zack. Hanya suaranya sahaja yang kedengaran.
"Tengok tu. Dah buat salah pun nak loyar buruk lagi."
"Abang, sudahlah tu. Zack dah balik sini pun dah cukup baik. Kalau dibuatnya dia lari ke Thailand ke, haaa kan ke payah nak mencari? Sudahlah tu, ya bang." Ibu cuba memujuk abah untuk meleraikan amarahnya.
Abah berhenti melibas. Semput pula rasanya melibas tanpa tujuan. Sikit pun tak bagi kesan kepada anak lelakinya yang cuba ditakutkan. Pinggang pun dah rasa sakit-sakit dibuatnya.
"Eh, kalau dia nak lari ke Thailand pun tak apalah, Zah. Nak duduk sana terus pun tak apa daripada aku nak kena tanggung malu dekat ayah dengan perangai anak lelaki tunggal kita ni. Dah elok dia kerjakan anak dara orang, boleh pula dia lari balik sini! Zack, keluar kamu sekarang. Jangan nak menyorok!" bentak abah yang masih tidak puas hati.
"Zack tak buat apa-apalah, abah!" jerit Zack seraya berdiri daripada duduk bertinggung belakang bonet kereta. Tapi, apabila pedang samurai milik abahnya kembali bebas dilayangkan, cepat-cepat dia sambung menyorok semula.
"Kalau tak buat apa-apa, pasai apa nak kena sampai kahwin segala? Haaa?" soal abah ingin tahu kisah sebenar anak lelakinya itu.
"Abang, sudahlah tu. Malu kalau didengar dek jiran sebelah-menyebelah. Jom kita masuk, bincang kat dalam, ya. Pedang ni biar Zah simpan dulu, ya. Boleh, ya bang?"
Dalam seram dan gerun, Zack masih mampu senyum sendiri apabila melihat perlahan-lahan pedang samurai di tangan abah sudah mula bertukar tangan. Nasib baik ada ibu! Puan coverlinenya yang utama. Terbaik!
YOU ARE READING
Duda Terlajak Laris
RomanceBacaan Awal Sahaja Tajuk: Duda Terlajak Laris Penulis: Aifa Batrisya Penerbit: Penulisan2u Harga: RM25.00 (Semenanjung)// RM28.00 (Sabah & Sarawak) http://www.p2u.my/beli-online.html?page=shop.product_details&flypage=flypage.pbv.v2.tpl&product_id=11...