Bab 10

1.5K 21 0
                                    

Zack masih duduk melengung di gazebo. Dengan tubuh disandar senget di tiang gazebo itu, tangan dipeluk erat ke tubuh. Matanya yang sudah membengkak, kesan daripada tangisan yang tak sudah-sudah mengalir sudah ditutupi dengan cermin mata hitam yang tak lekang berada di matanya sejak tiba di Malaysia tengah hari tadi.

Mata sepetnya masih tertumpu ke arah pintu pagar rumah yang sudah hampir setengah jam lalu van jenazah beredar ke tanah perkuburan berdekatan. Perasaannya ketika itu memang terasa kosong seolah-olah dirinya dibawa sama sekali. Pemergian tok ayah tanpa dia sempat memohon maaf atas kesilapan yang dia lakukan sungguh meninggalkan kesan besar kepadanya. Sampai mati pun dia takkan maafkan dirinya sendiri. Takkan dapat maafkan!

"Kamu janganlah risau. Tok ayah dah lama maafkan kamu, Zack. Kalau tidak, takkanlah tiap kali kami balik, tok ayah suruh abang cerita pasal kamu kepada dia. Pasal pelajaran kamu, sikap kamu. Sihat ke tidak kamu. Siapa kawan-kawan kamu. Katanya dia risau, kalau kamu berkawan dengan orang yang bukan-bukan di sana. Tok ayah pun banyak kali ulang, dia rasa bersalah sebab berkeras paksa kamu kahwin dulu. Kalau tidak, mesti kamu tak tinggalkan dia dan bawa diri jauh-jauh. Tok ayah betul-betul sayangkan kamu, Zack," bisik Abang Zahim, sebelum berangkat sama mengiringi jenazah apabila ajakannya supaya Zack turut sama ditolak dengan gelengan tanpa alasan kukuh.

"Setahu akak, tok ayah pernah cakap kalau dia dah tak ada nanti, dia nak dikebumikan di kampung dekat sebelah kubur Nek Pah. Tapi, beberapa hari sebelum dia pergi, dia cakap yang sebaliknya kepada abah. Katanya, kalau dia dah tak ada, tak payah susah-susah bawa balik jenazahnya ke kampung. Tanam saja di sini. Nanti senang bila Zack balik, boleh Zack ziarah dia selalu."

Zainura pula menokok, lagi menambah rasa bersalah dalam hatinya.

Tapi entah kenapa, hatinya terlalu berat untuk turut serta ke tanah perkuburan. Layakkah dia untuk turut serta sedangkan dia cucu yang tak mendengar kata. Cucu yang memalukan arwah tok ayah! Wajarkah dia untuk ada sama?

Air mata Zack mengalir lagi untuk kesekian kalinya, tapi dibiarkan saja membasahi pipi, tak mahu diseka. Biar apa orang nak kata, lantaklah. Dah tak tertahan dia nak menahan rasa sedih dan bersalah yang bercampur aduk. Kalaulah egonya itu dibuang lebih awal, pastinya dua tahun kebelakangan yang lalu dia dapat bahagiakan tok ayah, temankan tok ayah. Maafkan Zack, tok ayah! Zack bukan cucu yang baik, rintih Zack perlahan dalam hati.

"Jangan fikirkan kalaulah itu, kalaulah ini. Tak baik. Allah tak suka. Setiap yang hidup, pasti akan mati. Cuma masanya saja kita tak tahu. Cepat atau lambat," ujar satu suara tiba-tiba.

Tanpa menoleh, cepat-cepat air matanya diseka. Rasa macam tak lelakilah pula kalau menangis depan perempuan, kan? Ahhh, perempuan ni pun satu hal juga. Waktu inilah nak menyibuk pun. Duduk elok-elok dalam rumah tu, tolong basuh pinggan yang berlambak tu tak boleh ke? Nak juga menempel dekat sini.

"Kau buat apa kat sini? Tak manislah orang tengok," tuturnya perlahan sambil picit hidung yang dah terasa sesak untuk bernafas. Mata masih terarah ke pintu pagar.

"Awak tu pula buat apa kat sini? Bukan sepatutnya awak ikut ahli keluarga yang lain ke tanah perkuburan ke? Ini tidak, dok layan air mata bagai..."

Zack tarik nafas dalam-dalam sebelum keluhan dilepaskan kasar. Ini yang naik angin ni, bila kita cakap elok-elok dijawab dengan provokasi. Tambah pula yang memprovokasi tu, perempuan. Jadi angin kuasa dualah jadinya.

Matanya yang bengkak dan memerah dah mengerling tajam kepada Idayu yang duduk beberapa inci jaraknya daripada dia. Seketika, kepalanya digeleng berkali-kali seakan-akan menyesali sesuatu. Serius, Zack. Kenapalah subuh tadi kau ikutkan saja idea Kak Nura untuk bawa dia sekali terbang ke Malaysia sebagai teman? Dah tak pasal-pasal anak dara orang dibawa balik ke rumah. Mujurlah sanak-saudara dan jiran tetangga masing-masing sibuk nak meng'engah'kan (menghairankan) gadis misteri yang ikut sama dia balik pagi tadi. Kalau tidak, memanglah jadi lain cerita pula nanti.

Duda Terlajak LarisWhere stories live. Discover now