"Kamu ni memang dah gilalah, Zack! Waktu malam raya kedua, kamu ceraikan dia? Tak ada waktu lain ke? Tak pernah dibuat orang!" Zainura menghamburkan amarah sebaik saja dia melangkah masuk ke tempat duduk sebelah pemandu Nissan Teana milik ibunya itu.
Melihatkan reaksi Zainura yang selalunya jadi pom pom girl dia selama ini, Zack hanya diam membisu. Tak ada maknanya nak menjawab. Melayan provokasi daripada Zainura yang sememangnya dah jadi kerja rutinnya membela nasib orang yang dirasakannya teraniaya, bukanlah satu idea yang baik. Idea paling tak bijak namanya tu.
Tapi dalam hal ini, bukan ke dia yang lebih teraniaya berbanding perempuan tu? Muda-muda belia dah kena sandang title suami. Tak cukup teraniaya ke tu? Nasib baik dah habis sekolah. Kalau SPM pun belum dijawab? Lagi naya! Ah, Kak Nura ni! Suka hati dia aje nak tembak orang. Bukan orang lain pula tu, adik sendiri!
"Akak tahu, kamu tak sukakan dia. Kamu rasa susah nak terima dia. Tapi apa yang kamu buat tu zalim, Zack. Zalim! Kut ya pun, berbincang dulu baik-baik. Kalau tak mampu nak berbincang berdua, ajak akak dengan Abang Zahim sekali. Kalau tak boleh juga, baru ajak abah dengan ibu berbincang. Bukan aci senang gitu aje kamu nak ceraikan dia," luah Zainura panjang lebar.
Kali ini nada suara Zainura menurun sedikit berbanding tadi. Terkejut besar sungguh dia dibuatnya apabila berita itu disampaikan tengah malam tadi. Ingatkan Si Zack ni ada sama sampai ke habis majlis, rupa-rupanya dia dah lari siap-siap! Kalau lari saja tak mengapa, ini diceraikan pula si isteri yang dengan rela hati membawa makanan untuknya. Sungguhlah adiknya yang seorang ni 'bertuah' bak kata arwah tok ayah.
"Zalim tu bila kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Tapi Zack..."
"Menjawab! Menjawab!" marah Zainura, tak puas hati. Matanya yang bulat, ikut belah abah dibuntang besar ke arah Zack.
"Yang akak ni angin tak tentu pasal dah kenapa? Sekarang ni siapa adik akak? Zack ke perempuan tu?" tempelak Zack sebelum pandangannya dibuang kasar ke arah luar tingkap sambil berpeluk tubuh. Dadanya berombak. Nafasnya jadi laju, seperti susah nak dikawal. Pagi-pagi buta dah kena sembur. Bukan dengan orang lain pula tu, dengan penyokong tegarnya selain arwah tok ayah. Dan bila teringatkan arwah, wajah bengang Zack langsung berubah mendung secara tiba-tiba. Bibirnya diketap perlahan apabila matanya mula rasa bertakung dek air mata.
"Sudahlah tu, Nura. Benda dah jadi, awak bising-bising pun tak ada gunanya juga. Lagipun, Zack dah cukup besar nak buat keputusan tentang hidup dia. Dia lagi tahu apa yang terbaik untuk dia. Kita doakan aje yang terbaik untuk Zack dan bekas isterinya. Mungkin jodoh mereka sampai di sini saja. Siapa kita nak menidakkan ketentuan Tuhan." Abang Zahim yang selama ini lebih gemar berdiam diri setiap kali isu rumah tangga Zack jadi topik bualan tiba-tiba saja bersuara.
Yes! Takbir! Allahuakbar!
Ada garis senyum di bibir Zack. Allah Maha Adil. Dia tarik tok Ayah, kemudiannya Dia hantarkan Abang Zahim. Zack tarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan. Fikirannya kosong waktu itu. Dada pun rasa tenang dan lapang sejak keputusan malam tadi dibuat. Kalaulah dari dulu dia ambil keputusan sebegitu, tak payahlah dia nak lari jauh-jauh sampai ke Australia membawa diri.
"Zack..."
Zack kalih ke sisi sambil tarik senyum separuh paksa kepada Abang Zahim.
"Zack okey tak ni? Semalamkan Zack baru sampai, tapi hari ni dah nak balik semula ke sana. Zack tak mahu tunggu esok lusa ke baru balik? Lagipun, alang-alang Zack dah sampai Malaysia, bolehlah beraya lama sikit di sini."
Zack geleng perlahan.
"Tak apalah, bang. Lama-lama Zack dok sini pun makin bertambah masalah yang Zack timbulkan nanti. Lagipun, ambil masa jugakan nak selesaikan kes cerai Zack ni. Biarlah Zack balik sana dulu, settlekan exam yang masih berbaki. Kalau perlu balik nanti, Zack balik semula ke sini."

YOU ARE READING
Duda Terlajak Laris
RomanceBacaan Awal Sahaja Tajuk: Duda Terlajak Laris Penulis: Aifa Batrisya Penerbit: Penulisan2u Harga: RM25.00 (Semenanjung)// RM28.00 (Sabah & Sarawak) http://www.p2u.my/beli-online.html?page=shop.product_details&flypage=flypage.pbv.v2.tpl&product_id=11...