Selesai makan malam ala-ala happy family itu, dengan separuh rela Zack hidupkan enjin Nissan Teana milik ibunya. Ibu boleh pula melengahkan masa yang ada dengan 1001 nasihat yang tak tahu bila agaknya perempuan ni nak guna buat panduan hidup dia. Untuk kehidupan seharian, ya mungkin juga nasihat ibu tadi boleh dipakai. Tapi untuk hidup berumah tangga? Pehah kena kahwin sekali lagilah nampaknya. Yang penting, bukan kahwin dengan Zack. No way! Nahi! Nope!
Suasana di dalam kereta waktu ini dah gaya macam di dalam dewan peperiksaan. Senyap. Sunyi. Agaknya kalau kentut pun dah sah-sah boleh dengar biar pun nak cover cara apa pun. Dahlah kereta ni pun bergerak dengan kelajuan kura-kura aje. Meter pun tak berganjak dari angka enam puluh sejak tadi walau sesekali pedal minyak cuba ditekan lebih dalam. Dah lama tak drive di Malaysia, Zack jadi kekok sedikit dengan keadaan jalan yang sibuk biar pun dah malam.
"Ehem..."
Diam.
"Ehem... Ehem..."
Diam lagi.
"Ehem... Ehem... Ehem..."
Masih diam lagi. Tiada respons yang diberi dan kali ini Zack curi-curi menjeling dari hujung mata. Heh, hidup dan bernafas lagi gayanya tapi entah kenapa Pehah masih keras duduk di sebelahnya tanpa berkutik sedikit pun. Tak dengar ke dia? Puaslah Zack berdeham sekuat mungkin, tapi Pehah boleh buat tak tahu macam tu aje. Takkan tunjuk protes sebab usul menikah semula ditolak kut? Nak solat berjemaah pun tak dapat.
"Kau ada nak beli apa-apa tak ni?" soal Zack perlahan. Mata dah tertumpu semula ke arah jalan raya. Lama-lama menjeling pun, ada juga yang terus masuk ke dalam hati ni. Bahaya!
Dan seperti tadi, masih tiada respons atas setiap soalan atau pun tindakannya. Zack dah jadi mati kutu. Sesekali dia kalih ke sisi dengan kening berkerut. Eh, biar benar minah ni. Nak kata tidur, mata terbuka luas. Pengsan? Ada ke orang pengsan dengan mata terbuka?
"Kalau kau buat macam ni sebab nak protes, hentikanlah. Walaupun abah beria-ia nak suruh kita nikah semula semata-mata atas alasan aku patut bertanggungjawab tentang insiden dua tahun dulu, mati hidup semula pun aku tak akan ikut. Aku dengan kau memang tak..."
"Saya tau. Tak payah ingatkan saya berkali-kali."
Zack kalih sebelum senyum senget. Boleh pula menjawab, Ingatkan sampai ke sudah nak jadi patung.
"Memang dari awal sememangnya kita ni tak ada jodoh. Dan..."
"Dan menafikan takdir Allah itu berdosa hukumnya!"
Laju aje Zack mengerling lagi ke sisi. Menafikan takdir Allah? Bila masanya pula dia menafikan? Amboi, hujah! Ala-ala ustazah ekspres! Tapi tudungnya entah ke mana terbangnya. Ke minah ni memang sejak azali tak bertudung?
"Angin nampak? Tak puas hati ke?" tanya Zack tiba-tiba.
Kali ini Pehah tak menjawab. Hanya jelingan matanya yang sedikit berkaca memandang tepat ke wajah Zack yang sekali-sekala curi pandang ke arahnya sebagai balasan soalan provokasi tadi.
"Kalau kau rasa nak lepaskan geram. Silakan. Memang salah aku, tinggalkan kau bertahun-tahun tanpa berita. Tapi, kau pun tahu kenapa, kan? Jadi, kalau kau rasa nak tumbuk ke, cubit ke, silakan. Tapi tolong buat semua tu dalam keadaan berlapik eh. Aku dengan kau..."
Buuukkk!!!
Satu tumbukan padu dilepaskan ke bahu kiri Zack. Mujur pegangan di stereng kereta masih kejap. Kalau tidak, hailah! Boleh tahan kuat juga perempuan ni rupa-rupanya. Urat dawai tulang besi ke apa?
"Sakit dohhh!" komen Zack sambil usap perlahan bahu yang terasa berdenyut.
"Adoiii!!!" Tak cukup dengan tumbukan, sekuat mungkin lengan yang tak berapa nak ada isi itu dicubitnya. Tapi tak lama kemudian, Pehah tarik tangannya lalu ditekup ke wajahnya sebelum dia menangis semahu-mahunya.
YOU ARE READING
Duda Terlajak Laris
RomanceBacaan Awal Sahaja Tajuk: Duda Terlajak Laris Penulis: Aifa Batrisya Penerbit: Penulisan2u Harga: RM25.00 (Semenanjung)// RM28.00 (Sabah & Sarawak) http://www.p2u.my/beli-online.html?page=shop.product_details&flypage=flypage.pbv.v2.tpl&product_id=11...