Bab 14

1.5K 20 0
                                    

Zack rasa lega. Nyaman sangat-sangat dapat berendam lama seperti tadi. Dah lama tak rasa macam tu. Ah, mungkin juga perasaannya sekarang ada kaitan dengan masalah yang selama ini membelenggu dia dah boleh dikira selesai. He's free now. Free! Single and available.

Sambil melangkah keluar dari bilik mandi, Zack bersiul riang. Sesekali mulut terkumat-kamit menyanyi lirik lagu P. Ramlee sebelum dia tersengih sendiri. Itu lagu untuk orang bermadulah, Zack! Kau tu baru bercerai. Tak kena langsung! kata Zack dalam hati.

Langkah dan sengihannya langsung terhenti apabila matanya tertancap kepada sekujur tubuh yang serba putih duduk di hujung katilnya sambil menunduk.

"Errr... Aku silap bilik ke?" soalnya perlahan. Mata kecilnya menjalar ke pelusuk bilik itu sepantas mungkin. Rasanya, ini bilik dia. Dia kalih pula ke belakang. Hmmm... Yang ini pula bilik airnya. Confirm. Confirm dia tak silap.

"Kau buat apa dalam bilik aku ni?" soalnya perlahan. Matanya menyorot kepada wajah yang menunduk sejak tadi. Sengaja suaranya diperlahankan. Bimbang kalau keberadaan Pehah nanti akan mengundang hal lain pula kalau diketahui.

"Tunggu awak."

"Tunggu aku?"

Pehah angguk. Kepala masih ditunduk.

"Kau jangan risau. Aku takkan boleh lari punyalah. Flight aku pun dah lama berlepas. So, kalau kau ada benda nak cakap, kita cakap masa on the way aku hantar kau nanti. Sekarang, dipersilakan keluar. Aku nak bersiap," tegas Zack.

"Saya tunggu," balasnya. Kepala dilangut sedikit sebelum dia menunduk semula. Rasa segan pula apabila melihat Zack yang hanya bertuala sewaktu keluar dari bilik air tadi.

"Kut ya pun nak tunggu, tunggulah dekat luar. Apa kaedahnya kau tunggu aku dalam bilik ni, siap bertelekung lagi. Buang tabiat ke apa?" bidas Zack.

"Saya nak solat dengan awak. Berjemaah," jawab Pehah, lembut.

Mata Zack sudah membuntang besar. Tak lama kemudian terkekek-kekek dia ketawa, tertahan-tahan.

"Kau ni mamun eh? Ni plot dalam novel mana yang kau jadikan dalil? Aku dengan kau, dah tak ada apa-apa hubungan. Nadaaa. Finish! Mana boleh solat jemaah berdua! Solat sama-sama konon. Haih... Banyak betul berangan sampai hukum-hakam pun main langgar aje," bebel Zack sambil melangkah ke arah wardrobe. Baju Melayu hitam ditarik keluar dari penyangkut baju sebelum disarung ke tubuhnya. Baru saja dia menapak ke arah penyidai kerana mahu menyambar kain pelekat, tiba-tiba saja tumpuannya ditarik oleh esakan yang tiba-tiba saja mendayu bunyinya.

"Laaa... Kenapa pula ni? Cakap sikit nak sentap."

Pehah tak menjawab. Dia terusan menangis sampai terhinggut-hinggut bahunya menahan esakan.

"Weh, dahlah tu. Alaaa, kau ni. Kau yang masuk sendiri bilik ni, lepas tu nak nangis pula. Apa ni? Dengar dek ibu ke, abah ke, nanti dia orang ingat aku buat bukan-bukan pula dekat kau. Dahlah tu, kau pergilah balik bilik kau."

Pehah geleng laju dan terusan menangis. Zack buang keluhan kasar. Bengang. Degil yang amat lepas tu sedih sendiri. Menyedihkan betullah dia ni.

"Aku kata dah, dahlah. Selama ni pun kau solat okey aje, kan? Tak mati pun kalau tak solat jemaah dengan aku," pujuk Zack yang dah duduk di sisi Pehah. Belakang kepala digaru, serba salah. Cakap salah, tak cakap pun salah. Habis tu apa lagi yang dia nak buat? Dukung perempuan ni lepas tu humban dia keluar bilik. Macam tu? Ah, kejam sangatlah pula bunyinya.

"Weh, kau dengar tak ni?"

Zack tersentak apabila soalannya dibalas dengan pelukan erat di pinggangnya. Nafasnya rasa tersekat. Darah rasa berhenti mengalir seketika sebelum akalnya mulai tersedar akan keadaan mereka waktu itu.

"Eh, apa kau ni? Lepaslah!"

"Zack, jom..." Zainura kaget di hadapan pintu. Tak berkelip mata memandang ke arah Zack yang dah tergeleng-geleng cuba menafikan tanpa suara.

"Betul ni kamu berdua tak buat apa-apa?" soal Zainura dalam nada berbisik usai pintu bilik itu dikunci dari dalam.

"Ya Allah, betul kak!" tegas Zack.

"Tapi keadaan kamu berdua tadi tu, mencurigakan. Kamu tahu? Dahlah tengah... Emmm... Begitu. Kamu pula dengan masih bertuala lagi."

Zack pandang ke bawah sebelum tepuk dahi sendiri. Allah! Bukan ke tadi dia nak capai kain pelekat, nak solat. Isy!

"Betullah, kak. Zack baru lepas mandi tadi. Tup-tup keluar aje dari tandas, minah ni dah tercongok dekat katil Zack. Kononnya nak ajak solat jemaah. Jemaah apanya kalau Zack dengan dia dah bercerai pun. Lepas tu bila Zack suruh keluar, sentap. Nangis. Lepas tu... Haaa... Yang macam akak nampak tadi itulah. Zack pun tak faham kenapa dia suka sangat peluk Zack. Best agaknya badan sekeping ni bila dipeluk," perli Zack sambil melangkah ke arah almari. Tuala ditukar kepada kain pelekat.

"Betul ni, Pehah? Betul apa yang Zack cakap kan tadi tu?"

Dengan mata masih merah lepas menangis, Pehah mengangguk.

"Salah ke saya nak solat jemaah dengan dia?" soal Pehah, perlahan.

"Solat tu, tak salah. Nak berjemaah lagi digalakkan. Tapi, hmmm... Macam mana nak terangkan ya..." Kata-kata Zainura terhenti di situ seketika.

"Akak pernah terbaca dalam satu artikel yang menyebut jika solat seorang perempuan sebagai makmum di belakang seorang lelaki yang bukan mahram, boleh menimbulkan syak wasangka orang lain terhadap mereka ketika mereka berdua-duaan atau khalwat. Hukumnya tidak boleh kerana ia dah jadi asbab kepada sesuatu yang haram. Dan setahu akak, dalam kaedah fikh dah dijelaskan sesuatu yang menyebabkan kepada yang haram, maka hukumnya adalah haram. Jadi jelas dekat sini, haram hukumnya kalau kamu nak berjemaah dengan Zack. Lagi pula di tempat tertutup. Dalam bilik macam ni," jelas Zainura panjang lebar.

Zack dah tersandar kelegaan di tepi dinding. Mujur Kak Nura ni open minded sikit dan tak cepat melatah. Kalaulah ibu yang buat terjahan tadi, harus dia diwajibkan nikah semula dengan perempuan ni. Ah, Zack! Langsung tak belajar daripada kesilapan dulu. Macam mana kau tak boleh bajet perempuan ni akan peluk kau? Isy! rungut Zack dalam hati.

"Tapi saya masih sayangkan Zack, kak. Saya... Saya..."

Zack tepuk dahi. Dia sambung menangis lagilah pula! Zack angkat dagu kepada Zainura, minta bantuan. Mahu banjir bilik dia nanti kalau dibiarkan berterusan begitu.

"Akak tahu, kamu ikhlas sayangkan Zack. Tapi, itulah... Adik akak yang sengal ni memang payah sikit nak diteka hati dia. Ginilah. Buat sementara, kamu teruskan life kamu macam biasa. Insya-Allah, kalau betul jodoh kamu berdua ni kuat, mungkin suatu hari nanti Allah temukan kamu dengan keadaan yang mana Si Zack ni pula tergilakan kamu."

Mata sepet Zack sudah membuntang besar ke arah Zainura.

What the? Teruknya statement Kak Nura ni. Aku gilakan dia? Memang taklah. Dibayar sejuta pun kalau disuruh masuk program ala-ala drama Jodoh di saluran Astro tu dan perempuan yang direbut adalah dia, rela Zack bayar balik wang pampasan sebab langgar kontrak dan tarik diri. Gila punya pandangan. Langsung tak masuk dek akal.

"Betul ke, kak? Mungkin ada peluang untuk saya dengan Zack lagi?" soal Pehah perlahan, termakan juga pujukan Zainura tadi. Zack tekup muka kemudian geleng kepala. Benaknya pemikiran dia ni. Boleh dia percaya janji manis terlebih gula Kak Nura tu? bebel Zack dalam hati.

"Eh, come on la. Kalau aku nak, aku dah terima semula cadangan abah tadi. Sudah-sudahlah..."

"Eh, ada meeting apa dekat sini?" tanya ibu yang tiba-tiba muncul.

Mata Zack dah terbuntang memandang ke arah ibunya. Bukan tadi pintu dah dikunci ke? Ajaibnya apabila nampak ibu dah tercongok di depan pintu yang tiba-tiba saja dibuka tadi.

"Aaa... Errr... Tak ada apa-apa, ibu. Saja borak kosong dengan Pehah ni hah. Kan Zack?"

"Ya, ya. Ni hah, dia tanya arah kiblat waktu Zack dengan Kak Nura tengah borak. Itu aje. Tak ada apa pun," sokong Zack. Pehah pula hanya mengangguk, senyum.

"Oh, macam tu. Okeylah. Kalau semua dah siap, turun bawah, ya. Ibu dah siapkan makan malam," pesan ibu sebelum beredar. Zainura turut sama turun ke bawah menuruti ibunya diikuti dengan Pehah yang keluar lemah longlai apabila hajatnya tak kesampaian.

Duda Terlajak LarisWhere stories live. Discover now