Pejam celik, pejam celik sudah hampir dua tahun dia melanjutkan pelajaran di Griffith University dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar yang terletak di Nathan, Queensland.
Dua tahun di Aussie, Zack hanya balik semula ke Malaysia sebulan selepas dia mendapat tempat pengajian di sana. Itu pun sebab nak hadiri sebutan kesnya di mahkamah syariah. Oleh kerana dia dan budak perempuan itu dah menikah, makanya kuranglah perkara berkaitan yang perlu diuruskan. Cuma perlu membayar denda dan mendaftar pernikahan mereka di pejabat agama daerah. Itu saja.
Dan selepas semuanya selesai, Zack tinggalkan semula bumi Malaysia tanpa sebarang berita. Kalau ada pun, ia akan disampaikan melalui Zainura atau dia lebih senang bercakap melalui telefon bimbit. Saban hari, ibunya tak jemu-jemu memujuk Zack kerana mahu membuat panggilan video call tapi dia selalu mengelak. Kenapa?
Hanya Allah saja yang tahu betapa goyahnya Zack walau masa dah berlalu lama. Cukup sekali wajah ibunya ditatap dengan linangan air mata sebab rindukannya. Zack berani jamin malam itu juga dia naik flight balik ke Malaysia. Habis lebur impiannya nak bawa balik segulung ijazah untuk dibuktikan kepada abahnya.
Tapi itu tak mungkin berlaku untuk Zack kembali ke Malaysia dalam masa yang terdekat. Dia dah berjanji. Dia dah tekad. Ijazah perlu dibawa balik kalau nak kembali ke Malaysia. Jadi buat masa sekarang, dia terpaksa tolak semua video call daripada ibu. Itu yang terbaik.
"Zack, ibu..." panggil Zainura yang dah tercongok di hadapan pintu biliknya.
"Hmmm..." Zack jongket kening. Zainura bagi isyarat menunjukkan telefon bimbitnya. Seketika kepalanya digeleng perlahan, menolak.
"Kejap, ya bu. Zack baru lepas solat," sambung Zainura. Matanya dijegil kepada si adik. Telefon bimbit disua di hadapan mukanya.
"Cakap!" arah Zainura, tanpa suara.
Zack geleng lagi.
Zainura bengang. Dia ni kan! Nak disuruh bercakap pun punyalah payah. Kalaulah dia tahu betapa ibunya nak sangat datang ke sini untuk menjenguknya!
"Kejap, ya bu. Zack masuk tandaslah pula. Dia ni, macam-macam hal!" dalih Zainura lagi. Kali ini bibir pula diketap. Pakej lengkap dengan mata dijegilkan.
Akhirnya Zack mengalah. Lepas buang keluhan berat, nafas ditarik dalam. Cari semangat yang bakal goyah apabila mendengar suara ibunya nanti.
"Assalamualaikum, ibu. Ibu sihat?"
"Waalaikumussalam, sayang. Anak ibu sihat? Cukup makan tak?" tanya ibu penuh prihatin.
Zack senyum biar pun dia tahu senyumannya itu bukan nampak dek mata ibunya.
"Duduk dengan Kak Nura, mana pernah tak makan, bu. Langsung tak terasa macam duduk di negara orang. Anak perempuan ibu ni kan macam ibu. Pandai masak. Gemuk dah Zack dok sini, bu," balas Zack sambil menyengih ke arah Zainura yang dah kembang kuncup hidung menerima pujiannya.
"Gemuk ke macam tu. Ibu tengok, kamu kurus aje. Jangan macam tu, Zack. Belajar, belajar juga, tapi kesihatan kena jaga, ya," nasihat ibu.
Zack garu kepala. Ibu tengok? Ibu tengok dari mana? Macam mana? tanya Zack dalam hati.
"Kak Nura curi-curi bagi gambar Zack kepada ibu, ya?" teka Zack sambil kerling sekilas ke arah wajah Zainura yang nampak serba salah.
"Tak adalah. Video call," balas ibu bersahaja.
"Video call? Bila?" Matanya membulat ke arah Zainura yang dah mencicit berlari keluar dari biliknya. Tak boleh harap punya kakak. Tak boleh dibuat geng langsung!
"Malam tadi. Masa Zack tengah tidur. Makin kurus kamu, Zack. Sedih hati ibu ni tengok kamu tidur mengerekot macam tu. Macam orang makan hati!" Suara ibunya dah bertukar nada. Ah sudah! Ini semua Kak Nura punya pasallah! marah Zack dalam hati.
Dia? Tidur mengerekot? Bila masa? Malam tadi? Ahhh, lupa! Beria-ia sangat baca buku pasal emission sampai terlelap dia dibuatnya. Comforter pun tak sempat ditarik.
"Kat sini susahlah nak dapat hati, bu. Hati ayam ke, hati lembu ke, nak cari yang halal tu payah sikit!" usik Zack.
"Hesy, kamu ni... Orang serius dia bergurau pula!" balas ibu.
Zack dah tertawa gembira. Lega hatinya bila suara tawa kecil ibunya mula kedengaran. Lepas satu seksa! Apabila dengar suara ibunya bernada hiba, dia yang jadi susah hati. Macam dah buat dosa besar!
"Ibu... Ibu dah makan?"
Diam. Tawa halus ibunya pun entah ke mana menghilangnya.
"Helo? Ibu?"
Masih diam lagi. Ah sudah, bateri habis ke? Cepat saja skrin telefon bimbit Zainura diteleknya. Okey aje. Masih online. Dah ke mana pula ibu ni pergi?
"Ibu... Iii... bu!" laung Zack.
"Ibu! Alaaa... Ibu ni, main sorok-soroklah pula," bebel Zack. Dia dah berkira-kira nak memutuskan saja panggilan.
"Assalamualaikum, Zafran Aldrin..." Liur Zack langsung tersekat di rengkung apabila panggilannya bersambut. Tapi bukan suara ibunya yang kedengaran.
"Zack sihat?" Suara itu menyapanya lagi. Ringan saja bibirnya mahu menjawab tapi entah mengapa hatinya bagai melarang.
"Tok ayah tahu, Zack dengar. Tok ayah tak kesah kalau Zack tak nak jawab soalan tok ayah, tapi kalau boleh salam tu dijawab, ya," ujar tok ayah.
Bibir Zack menyambut salam tanpa suara. Mata sudah panas terasa. Kantung kelopak mata mulai memberat. Ah, parah ibu ni! Boleh pula dia buat MIA lepas tu passing telefon biar tok ayah yang cakap. Bukan sudah berkali dia ingatkan kepada ibunya yang dia belum bersedia nak bercakap atau berdepan dengan tok ayah. Ibu ni... Hmmm.
"Zack, tok ayah minta maaf, ya. Tok ayah tahu, Zack masih merajuk dengan tok ayah sebab itu Zack tak mahu cakap dengan tok ayah."
Tak! Tak! Zack tak merajuk, tok ayah. Marah jauh sekali. Sebenarnya Zack malu. Malu kepada tok ayah! Segan kepada tok ayah. Zack tak kuat macam yang tok ayah ajar dari kecil. Zack penakut. Takut nak berdepan realiti sampai sanggup lari sejauh ini. Itu yang Zack segankan sangat, jerit Zack dalam hati.
"Walau apa pun yang dah berlaku, tok ayah tetap sayang Zack. Zacklah satu-satunya cucu lelaki yang tok ayah ada. Tok ayah minta maaf sangat-sangat sebab tak nak dengar penjelasan Zack dulu, paksa Zack kahwin."
Zack telan liur. Air mata lelakinya dah berlinangan membasahi pipi. Tok ayah tak salah. Sikit pun tak salah. Salah Zack sebab tak ikut pesan tok ayah. Ikutkan sangat hati muda nak berkawan. Ahhh... Rindunya Zack dengan tok ayah! Rindu sangat-sangat.
"Nanti bila dah habis belajar, balik sini, ya Zack. Balik rumah tok ayah. Zack tak ada dua tahun ni, tok ayah rasa bosan sungguh. Tak ada kawan nak lawan cakap. Tak ada geng nak tangkap anak kiwaq (ikan). Abah Zack tu mana nak join tok ayah dah. Bosan sungguh!"
"Tok ayah..." panggil Zack perlahan. Tak tertahan lagi dia nak membendung rasa sedih dan rindu yang mula membukit. Dengan ibunya, dia boleh lagi tepis kanan dan kiri. Tapi dengan tok ayah, dia memang kalah!
"Dapat dengaq suara Zack panggil pun dah cukup buat hati tok ayah gembira, Zack. Jangan ambil hati, na dengan apa yang tok dok cakap kepada Zack sebelum ni. Tok sayang sangat dengan hang. Okeylah. Tok nak tidoq. Dah lewat ni. Jaga makan, jaga solat. Jaga diri, na. Assalamualaikum."
Dan salam tok ayah hanya mampu dijawab dalam hati apabila pipinya sudah lebat dibasahi air mata yang mencurah-curah mengalir tak boleh disekat-sekat. Telefon bimbit milik Zainura diletakkan di atas meja belajar sebelum tubuhnya dihempas di atas katil bujang. Selimut langsung ditarik menyelubungi seluruh tubuhnya. Mujur hari ni dia tiada kelas. Mood dah jatuh merudum nun di Lautan Hindi. Nak cari pun makan tahun, itupun kalau jumpa. Malas nak melayan perasaan, matanya dipaksa lelap. Nak tidur sampai esok!

YOU ARE READING
Duda Terlajak Laris
RomantizmBacaan Awal Sahaja Tajuk: Duda Terlajak Laris Penulis: Aifa Batrisya Penerbit: Penulisan2u Harga: RM25.00 (Semenanjung)// RM28.00 (Sabah & Sarawak) http://www.p2u.my/beli-online.html?page=shop.product_details&flypage=flypage.pbv.v2.tpl&product_id=11...