"Kau serius ke ni, Zack? Kau jangan nak auta akulah! Aku tau, kau ni tengah sangap overboard ni pasal dah lama tak berasap, kan? Tapi agak-agaklah kut. Takkan sampai boleh melalut ke nikah kahwin bagai. Kau kahwin Zack? Hahaha..." balas Fattah sebaik saja rumusan utama tujuan dia dipanggil jauh-jauh ke KLIA dikhabarkan.
"Aku seriuslah, bai," desah Zack, tak ada mood.
Fattah terus ketawa sambil geleng kepala berkali-kali. Mamat ni ingat dia boleh makan auta agaknya. Silap besarlah. Awek pun tak ada, nak nikah? Halusinasi sungguh kau, Zack! kutuk Fattah dalam hati.
"Ginilah Zack, daripada kau terus melalut pasal bini kau mengandung ke apa... Baik kita keluar kejap kasi berasap sebatang dua. Kasi center sikit otak kau tu. Jom! Aku bawa dua kotak ni, khas untuk kau," balas Fattah. Seperti yang dikhabarkan awal tadi, dua kotak rokok dikeluarkan dengan sengih bangga.
"Aku tak banyak masa la, bai," balas Zack dengan nada suara yang sama. Wajah masih beriak serius. Sesekali keningnya berkerut seribu diiringi keluhan tak sudah. Sungguh, Zack tak betah duduk tenang sekarang. Kaki dok bergerak tanpa henti, ala-ala bersedia menanti kemungkinan yang ada. Kalau tiba-tiba minah tu muncul dekat sini, macam mana? Confirm tak cukup kaki Zack lari cari tempat menyorok. Kalaulah kapal terbang tu abah yang punya, dah lama dia fly tak payah tunggu-tunggu lama.
"Tak banyak masa apanya? Kau hantar kakak kau balik aje, kan? Kecohlah lu mamat," ujar Fattah sambil duduk semula. Tak jadi nak melangkah apabila lengannya dipaut.
"Tak," balas Zack sepatah.
"Heh?" Fattah dah mula angkat kening 'double jerk'.
"Jangan kata kau nak ikut kakak kau balik sana untuk bercuti? Siotlah kau. Nak holiday tak mengajak!"
"Aku nak duduk sana teruslah!" jawab Zack.
"Du... eh?" Fattah mula mengerutkan dahi.
Zack angguk laju. Nafas ditarik panjang sebelum inti pati utama disampaikan selain berita mengenai perkahwinannya.
"Aku takkan join kau dengan Payad masuk matrikulasi. Aku dah ambil keputusan nak sambung belajar dekat sana. Abang ipar aku akan cuba masukkan aku dekat tempat dia bekerja," maklum Zack kepada Fattah.
"Maksudnya, kau sambung belajar dekat sana? Sama tempat dengan Kak Nura kau? Tapi apa pasal?" tanya Fattah ingin tahu.
Zack tunduk. Jari-jemarinya dimainkan tanpa tujuan sebagaimana hidupnya waktu ini yang dah hilang arah sedikit terkesan daripada peristiwa yang tidak dijangka itu.
"Aku nak bina hidup baru dekat sana. Kat Malaysia ni masa depan aku dah gelaplah, Fattah. Aku tak boleh nak fokus belajar kalau aku ada beban tambahan," beritahu Zack lagi.
"Beban? Maksud kau? Bini kau tu?" soal Zack.
Zack angguk lagi. Fattah pula dah tepuk dahi berkali-kali.
"Aku betul-betul ingat kau kencing aku pasal kau dah kahwin tu. Kiranya, betullah kau dah kahwin?" soal Fattah yang masih tidak percaya.
"Dei, kau pun kenal aku, kan? Awek pun aku tak layan, takkanlah aku saja-saja nak buat cerita pasal aku kahwin. Logiklah sikit."
Fattah angguk mengeyakan. Memang tak ada istilah couple antara mereka bertiga. Studi diletakkan di tangga teratas walaupun mereka bukan golongan studen baik-baik lagi berdisiplin. Biar nakal, tapi akal pandai! Itu motto hidup mereka.
"Cun tak bini kau tu, Zack?" soal Fattah tiba-tiba.
Laju aje bibir Zack mencebik.
"Katik!" komennya pendek.

YOU ARE READING
Duda Terlajak Laris
RomanceBacaan Awal Sahaja Tajuk: Duda Terlajak Laris Penulis: Aifa Batrisya Penerbit: Penulisan2u Harga: RM25.00 (Semenanjung)// RM28.00 (Sabah & Sarawak) http://www.p2u.my/beli-online.html?page=shop.product_details&flypage=flypage.pbv.v2.tpl&product_id=11...