Bab 11

1.6K 27 0
                                    

"Yang kamu suka sangat makan benda huruf M ni dah kenapa? Apa yang sedapnya?" soal tok ayah sambil dok belek bekas kertas berisi kentang goreng itu berkali-kali.

"Tok ayah nak tahu kenapa? Sebab dia huruf M. Bunyinya pula macam ni... Emmm... Sedapnya! Cer tok ayah tukarkan huruf M kepada N. Ennn... Tak sedap bunyinya, kan? Haaa... Sebab itulah," balas Zack, tertawa besar sambil menyuap kentang goreng ke dalam mulutnya. Berubah wajah tua tok ayah seketika.

"Kamu mengenakan aku, ya Zack. Mentang-mentanglah aku jarang makan benda M ni." Nada suara tok ayah dah ada gaya merajuk. Langsung bekas kentang goreng yang disua, ditolak dengan gelengan.

"McDonald's la, tok ayah. McDonald's. Benda M, benda M..." ejek Zack sambil sambung ketawa.

"Mek nonoi?"

"Mek apa pula ni, tok ayah? McDonald's... McDonald's... Sebut betul-betul..." Zack ketawa lagi.

"Hah, gelaklah. Nanti, bila aku dah tak ada, benda M inilah yang akan buat kamu teringat kat aku. Percayalah..."

"Tok ayah!" panggil Zack perlahan. Air matanya mengalir lagi untuk kesekian kali sambil mulutnya mengunyah perlahan kentang goreng yang baru saja tiba di depan pintu bilik hotelnya tadi. Dahinya diurut perlahan. Tangannya kemudian menyelak rambut yang menutupi muka.

Kusut! Rasa kusut sangat-sangat. Perancangan hidupnya rasa sedikit goyah dengan ketiadaan tok ayah secara tiba-tiba. Selama ni Zack belajar rajin-rajin sebab nak dapat kerja bagus-bagus. Nanti senang Zack nak bawa tok ayah pergi umrah, tapi... Lamunan Zack terhenti.

Kepalanya dipaling pantas ke arah pintu apabila loceng di luar pintu biliknya berbunyi. Ah, Siapa pula yang datang ni? Housekeeping? Pelik amatlah pula housekeeping datang malam-malam macam ni. Ah! Abaikan sajalah, Zack! Silap bilik kut.

Zack sambung menyuap beberapa ketika, tapi bunyi di hadapan pintu biliknya masih tak berhenti dari tadi. Sungguh tak faham bahasa gerangan yang mengetuk pintu ni. Kalau tak dibuka pintunya, dah tentulah orangnya tak ada ke, dah tidur ke. Takkan itu pun tak boleh fikir kut! bebel Zack dalam hati.

Tapi dek kerana loceng ditekan berterusan tanpa henti, Zack terpaksa mengalah. Lambat-lambat Zack melangkah sebelum tombol pintu ditarik.

"Assalamualaikum..."

Langsung tak jadi nak jawab salam yang diberi. Sebaliknya, mata Zack langsung membuntang. Laaa haih... Dia lagi? Tak ada muka lain ke? Tangan dah bersedia nak tutup pintu, tapi belum sempat dia buat apa-apa tindakan, si gadis dah menyusup masuk ke dalam sambil tayang wajah tak bersalah.

"Eh, keluarlah. Ini bilik orang bujang. Kau tak malu ke?"

"Awak bukan bujang lagi, Zack."

"Whatever but please... Leave now!"

"Saya tak nak balik," balas Pehah bersahaja sambil henyakkan punggung di hujung katil. Tangannya beberapa kali tepuk tilam empuk itu sambil terangguk-angguk.

"Best tilam ni. Empuk. Mesti best tidur, kan? Eh, tutuplah pintu tu. Kan saya dah cakap, saya tak nak balik. Bermakna, saya tak akan tinggalkan bilik ini tanpa awak," sambungnya lagi dengan senyum selebar mungkin. Tangan ditarik lalu berpeluk tubuh. Mata ligat memerhati gelagat Zack yang masih nampak terkejut dengan kehadirannya.

Zack mendengus kasar sambil mata hitamnya tajam memandang ke arah Pehah yang dah siap-siap bertukar uniform daripada berbaju kurung sopan siang tadi ke baju T lengan panjang ketat yang menampakkan susuk tubuhnya yang tak berapa nak ada isi itu dengan berseluar jean lusuh. Tudung? Entah. Dah terbang agaknya dalam perjalanan dia ke sini tadi.

"Sebenarnya apa tujuan kau datang ke sini?" soal Zack serius.

Makin lebar senyuman Pehah lemparkan kepada Zack. Beg kertas yang dibawa sama diangkat tinggi-tinggi sambil tangan sebelah lagi dikibai-kibai mengajak sama. Berkerut dahi Zack seketika. Buang tabiat ke apa minah ni? Tiba-tiba pula berlagak macam mesra sangat.

Duda Terlajak LarisWhere stories live. Discover now