Mereka hanya senyap sambil memikir cara untuk mencari buku itu.
"Hmm kita cuba tanya dekat pegawai perpustakaan tu." Misha bersuara dan memuncungkan mulutnya ke arah seorang pegawai perpustakaan yang sedang duduk di meja yang tidak jauh daripada mereka.
Emira rasa keberatan untuk bertanya kepada pegawai perpustakaan itu. Tetapi belum sempat Emira berkata sesuatu, Misha sudah pun bangun dan mendapatkan pegawai tersebut.
"Tumpang tanya bang." Tanpa rasa kekok, Misha memanggil pegawai itu dengan panggilan 'abang'. Satu panggilan yang berat untuk diucapkan oleh Emira. Tetapi amat mudah diucapkan oleh Misha. Seorang gadis lincah yang berusia 18 tahun ini.
Pegawai perpustakaan yang memakai name tag yang tertera nama Johari itu terus melayan pertanyaan Misha dengan baik sambil disertakan dengan senyuman manis.
"Kami nak cari buku yang bertajuk 'Soal Jawab untuk Peperiksaan Am Kerajaan'. Kami dah puas cari buku itu di rak sebelah sana tu, tapi tak ada juga. Jadi kami nak tahu sama ada buku itu ada atau tidak bang?" Ujar Misha lancar sambil mempamerkan senyuman.
"Buku itu rasa-rasanya tak adalah dik" Jawab pegawai itu.
"Tak ada?!" Misha tidak percaya.'Misha ni! Dah kata tak ada buat apa tanya lagi' Emira berbisik dalam hati.
"Ya, tak ada." Angguk pegawai tersebut.
"Kenapa tak ada?" Soal Misha lagi.
"Buku itu dikhaskan untuk kakitangan kerajaan sahaja kalau tak silap saya."
"Ya, tapi kami pelajar tingkatan enam pun memerlukan buku itu" Pantas Misha menjawab.
"Hmm. Kalau macam tu cubalah cari kat kedai, mungkin ada agaknya."
"Kat kedai memanglah ada, bang. Tapi masalahnya kami tak nak beli. Kami masih bergelar pelajar masakan kami ada ongkos, bang. Lainlah macam abang, udah bekerja" Ulas Misha seperti bercakap dengan kawannya.'Aduh, bercakap orang Indonesia pula dia.' Emira rasa mahu tergelak, bunyinya betul-betul macam orang seberang. Pegawai perpustakaan itu juga seakan mahu ketawa. Tetapi akhirnya dia cuma tersenyum lebar. Mungkin inilah pertama kali dia berhadapan dengan remaja seperti Misha.
"Maaf dik, nampaknya saya tidak dapat membantu." Jawab pegawai perpustakaan itu.
"Kalau begitu terima kasih sajalah kakek, terima kasih atas layanan kakek yang ramah tadi."Tanpa perlu menoleh lagi, Emira sudah dapat agak, pastinya pegawai itu akan tersenyum lebar setelah mendengar jawapan daripada mulut Misha. Sudah tidak disebut lagi penggilan 'abang' buat pegawai perpustakaan itu, tetapi ditukarkan pula dengan panggilan 'kakek'.
"Memang teruk awak ni tau!" Emira menyiku tangan Misha setelah mereka meninggalkan pegawai itu. Misha cuma tersenyum.
"Perkara-perkara yang kecil pun awak tanya" Tambah Emira lagi memberi komen."Jangan menganggap perkara yang kecil sesuatu yang remeh kerana butir-butir pasirlah yang membentuk gunung saat menjadi tahun dan pengalaman membentuk kehidupan."
"Tahu pun!" Misha mencubit pinggang Emir. Emira menjerit kecil.
Kemesraan yang sukar dibeli dengan wang ringgit. Kemesraan yang kini menjadi milik mereka berdua.
-----------------------------------------------
. . . . . b e r s a m b u n g . . . . .
-----------------------------------------------