"Mira, yang tu letak kat situ. Biar ayah yang bakar nanti." Encik Hassan, ayah Emira turut membantu membersihkan halaman rumah mereka pada petang itu. Emira mengangguk. Sekali-sekala bergotong-royong bersama keluarga memang seronok.
Kring! Kringg! Kringgg!
Bunyi telefon. Siapa pula yang kacau daun tu?
Kring! Kringg! Kringgg!
Biarpun berada di luar rumah, bunyi telefon itu tetap jelas kedengaran. Selagi telefon itu tidak diangkat, deringan tidak akan berhenti.
"Mira, tolong angkat telefon tu." Akhirnya Encik Hassan menyuruh anak gadisnya itu pergi menjawabnya. Emira akur. Penyapu lidi yang digunakannya itu ditinggalkan di atas rumput dan dia terus masuk ke dalan rumah untuk mengangkat telefon.
"Hello."
"Emira, awak ke tu?"
"Ya, saya? Syima ke ni?"
"Ya, saya Syima. Mira.."
"Kenapa awak telefon saya, Syima?"
"Awak belum tau lagi ke?"
"Tahu apa?"
"Betul ke masih belum tahu?"
"Cakaplah. Apa dia?"
"Awak jangan terkejut."
"Apa??"
"Misha kemalangan!"
"Ha?? Mi.. Misha kemalangan??" terkejut amat Emira dengan berita yang disampaikan oleh Syima. Gagang telefon yang dipegangnya hampir terlepas.
"Sewaktu dia nak melintas jalan menaiki bas, entah macam mana datang sebuah van yang dipandu laju dan melanggar dia."Emira hanya diam membisu. Terkejut. Ya Allah. Kasihan Misha.
"Hello? Emira? Awak nak pergi tengok dia tak? Kalau awak nak pergi, boleh kita pergi bersama-sama."
Fikiran Emira seakan kosong. Dia benar-benar terkejut. Baru sahaja tadi dia menemui Misha.
Pada masa yang sama itu juga emak dan ayahnya melangkah masuk ke dalam rumah. Mereka perasan akan perubahan anak gadisnya itu.
"Mira, apa yang berlaku?" tanya Puan Aida ingin tahu.
"Mak.. Misha.. Misha.. Dia..."
"Kenapa dengan dia?" Puan Aida juga sudah kenal kawan anak gadisnya itu kerana Misha sering datang ke rumahnya. Dia seorang gadis yang manis dan periang.
"Dia kemalangan mak."
"Astaghfirullah! Misha. Teruk ke keadaan dia sekarang?" Puan Aida juga terkejut amat. Begitu juga dengan Encik Hassan yang turut mendengar hal itu.Pertanyaan yang berikutnya ini tidak dijawab oleh Emira. Dia juga masih belum tahu seteruk mana kemalangan yang telah menimpa Misha. Syima tidak memberitahu dan Emira pula tidak sempat untuk menyoal. Tetapi apa yang pasti, dia rasa berdebar. Amat gementar.
'Ya Allah, selamatkanlah sahabatku, Misha.' hanya itu yang sempat didoakan dalam hatinya.-----------------------------------------------
. . . . . b e r s a m b u n g . . . . .
-----------------------------------------------