Majlis konvokesyen baru sahaja selesai. Ratusan pelajar dan juga ibubapa yang berada di dalam dewan itu telah pun beredar keluar. Masing-masing dengan wajah yang berseri-seri.
Emira, Syima dan khairul adalah antara pelajar yang telah berjaya. Seperti kawan-kawan yang lain, ketiga-tiga sahabat ini pun begitu riang dengan kejayaan masing-masing. Mereka kini sedang berbual-bual di satu sudut.
"Kita telah pun berjaya. Cepat betul masa berlalu." Emira berkata begitu. Syima dan Khairul serentak mengangguk. Bersetuju.
"Ya. Biarpun telah banyak dugaan dan cabaran yang kita hadapi, tetapi kita tetap bersabar sehinggalah akhirnya kita berjaya." balas Syima kemudian.
"Betul. Betul. Betul." sampuk Khairul pula lagak seperti Ipin dalam animasi kartun Upin dan Ipin itu.
"Hampir terlupa. Kejayaan kita ini juga merupakan kejayaan Misha." sambung Khairul menyebut nama Misha.
"Ya, Misha. Hampir terlupa akan sahabat kita yang telah lama pergi." jawab Syima sayu.
Beberapa detik Emira menundukkan wajahnya. Ah, Emira sebenarnya kembali mengimbau kenangan lalu. Peristiwa itu sudah lama berlalu. Sudah lima tahun. Tetapi kenangan itu seolah-olah masih segar di ingatan. Rasa-rasanya peristiwa itu baru sahaja berlaku semalam. Sedangkan peristiwa itu adalah semasa zaman remajanya.
Wajah Misha mula terbayang dalam ingatan. Seorang gadis manis yang periang, lincah dan sering membuat orang ketawa. Alangkah indahnya sekiranya Misha juga dapat bersama-sama saat ini.
Lantaran terkenangkan Misha, tanpa disedari kelopak matanya telah pun basah. Emira tiba-tiba sahaja menangis. Hatinya sebak mengenangkan sahabat baiknya yang telah tiada itu.
"Emira, mengapa awak menangis?" Khairul hairan melihat keadaan Emira.
"Emira dan Misha adalah sahabat yang sangat rapat. Ke mana saja mereka sering berdua. Dulu waktu pemergian Misha, Emira selalu bersedih beberapa lama. Pelbagai cara dilakukan untuk memujuk menghilangkan rasa sedihnya itu. Sebut saja nama Misha, hati kecilnya akan tersentuh. Emira pasti akan menangis lagi." jelas Syima yang juga tampak sedih. Tapi dia masih mampu menahan daripada mengalirkan air mata.
Khairul mengangguk faham. Khairul terdiam. Wajahnya ditundukkan. Biarpun antara dia dengan Misha tidak menyimpan banyak kenangan tetapi Misha juga ialah kawannya. Kawan sekelas semasa mereka di tingkatan 6 dulu. Kalau dia tidak masuk ke tingkatan 6 sudah pasti dia tidak akan pernah mengenali seorang gadis bernama Misha.
"Misha pun mempunyai impian yang sama macam kita. Mahu melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading." Khairul kembali bersuara. Syima dan Emira mengangguk 'ya'.
Beberapa saat mereka mendiamkan diri. Membiarkan kesedihan melepasi hati masing-masing. Relakan segala kesayuan yang ada di jiwa.
"Mungkin impian dia tidaklah terlalu tinggi. Dia memang tidak pernah katakan cita-cita dia untuk menjadi doktor atau arkitek atau sebagainya. Tapi dia pernah cakap dengan saya yang dia mahu mendapatkan sebuah kerjaya yang bagus. Satu pekerjaan yang dipandang mulia oleh masyarakat. Yang boleh dijadikan kebanggaan keluarga dia. Dia mahu membantu ibubapa dia." Emira menjelaskan dengan suara yang tersekat-sekat menahan sebak.
"Ya, walaupun ia bukanlah impian yang terlalu tinggi tapi impian itu tetap sebuah harapan yang besar." balas Syima. Juga masih diselubungi rasa sayu.
"Sebuah harapan yang tidak sempat ditunaikan." Khairul menambah. Syima dan Emira mengangguk setuju .
"Kita sedekahkanlah Al-fatihah untuknya." Syima menyarankan.
Mereka bertiga terus membacanya. Sebagai tanda ingatan yang tulus suci. Ingatan yang tetap kekal abadi. Nilai persahabatan yang sejati.
Seandainya engkau bertemu seorang kawan yang sanggup bersusah payah atas nama kesetiaan,
mendahulukan atas nama kebajikan,
menyimpan keaibanmu atas nama kejujuran,
menegur kelemahanmu atas nama kebaikan,
memendam rasa terkilan demi menjaga perasaan,
ketahuilah bahawa dia bukanlah seorang kawan tetapi seorang saudara dan sahabat sejati yang sukar dicari ganti.----------------------------
. . . . . t a m a t . . . . .
----------------------------