"Saya rasa saya mahu pindah ke sekolah lain."
"Kenapa?" tanya Syima dan Khairul serentak. Terkejut."Kenapa sampai awak nak berpindah sekolah lain, Emira?" tanya Shima.
"Saya tak boleh terus bersekolah di sini. Terlalu banyak kenangan bersama-samanya."
Syima dan Khairul terdiam. Mata bening Emira dipandang."Kami mengerti perasaan awak, Emira. Kami tahu antara rakan kita, awaklah yang paling rapat dengannya. Kami tahu nostalgia kamu terlalu banyak dan tentunya mahal untuk dilupakan. Tapi di sebalik semua itu, awak juga harus ingat. Sebagaimana yang saya katakan tadi, kita tidak boleh terlalu emosional. Orang yang dah pergi biarkanlah dia pergi. Kenapa selepas kematiannya, awak juga harus pergi meninggalkan sekolah ini?" kata Syima.
"Jika saya terus bersekolah di sini, saya bimbang tak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran. Saya pasti akan teringatkan dia."
"Emira, hari ini kita mungkin masih terkenangkan dia. Tapi lama-kelamaan saya percaya, ingatan kita sedikit demi sedikit akan berubah. Kita mungkin hanya sesekali sahaja teringatkan dia. Percayalah."
"Hmm.""Saya rasa awak tak perlulah bertukar sekolah. Lagipun kalau awak bertukar sekolah lain, banyak kesusahan deripada kesenangan. Setahun di sekolah ini, kemudian setahun lagi di sekolah lain. Masa untuk awak menumpukan perhatian awak pada pelajaran mungkin akan terjejas. Bertukar sekolah bermakna awak juga akan bertukar guru. Sudah tentu cara pengajaran mereka juga berbeza. Awak juga akan bertemu dengan kawan-kawan baru yang awak belum pasti kerenahnya." lagak seorang penceramah motivasi.
"Saya juga risau, adakah awak yakin bila awak bertukar ke sekolah lain nanti awak akan dapat melupakan segala kenangan awak sewaktu bersama Misha? Adakah awak yakin di sekolah baru nanti awak boleh menumpukan sepenuh perhatian awak pada pelajaran? Tidak kurang pentingnya juga kedua ibubapa awak. Adakah mereka setuju dengan cadangan awak ini?" tambah syima lagi.
Emira nampak seakan mula berfikir dengan apa yang diperkatakan oleh Syima. Dia mula berfikir jauh. Akhirnya Emira mengaku apa yang diperkatakan oleh Syima itu tepat sekali. Jika dia bertukar ke sekolah lain pun belum tentu lagi segala kenangan bersama Misha dapat dilupakan begitu senang.
Emira mengeluh panjang. Kesedihan masih tidak dapat dia hapuskan. Kesedihan itu masih terletak dihati dan terpamir di wajahnya. Terbayang wajah Misha, gadis periang. Dia terkenang saat indah bersama-sama Misha. Sedih. Saat-saat indah itu terlalu manis dan tidak dapat dia lupakan.
Syima menghampiri dan memegang tangan Emira. Syima memandang tepat ke wajah Emira, bertentang mata. Khairul hanya memerhati mereka.
"Emira, walaupun Misha telah tiada. Tapi awak masih ada saya. Bukankah saya pun sahabat awak juga?" ucap Syima dengan tenang. Tangan Emira masih dipegang kemas.
Emira mengangguk. 'Ya, Syima. Awak masih sahabat saya.' Syima tersenyum senang melihat anggukan Emira.
"Saya masih bersama-sama awak. Rakan-rakan yang lain juga masih bersama awak termasuklah keluarga awak, Mira. Saya akan sentiasa menemani awak bila-bila sahaja apabila awak memerlukan, percayalah." ucap Syima lagi. Tangan Emira digenggan kian erat. Emira mula terasa kehangatannya, kehangatan persahabatan antara dia dengan Syima. Khairul tersenyum melihat mereka.
"Saya percaya jika Misha masih ada dan nampak awak bersedih, sudah tentu dia juga tidak suka dengan dirinya yang menyebabkan sahabat baiknya bersedih. Bukankah dia kawan kita yang paling periang," Khairul kini bersuara sejak dari tadi mendiamkan diri.
Emira mengangguk lagi. Memang Misha seorang gadis yang periang. Amat periang. Sebab itu jugalah pemergiannya begitu dirasai oleh Emira.
"Dahlah Emira. Janganlah bersedih lagi. Saya pun tak suka tengok awak terus bersedih. Janganlah kita menyeksa orang yang telah pergi dengan kesedihan kita. Saya lebih senang tengok awak tersenyum macam selalu. Kembali riang dan gembira macam dulu-dulu. Baiklah. Ingat, mulai sekarang juga kalau awak ada sebarang masalah yang mengacau fikiran awak dan tidak dapat menyelesaikannya sendiri, datang jumpa saya. Carilah saya dan ceritakan segalanya dengan saya. Saya akan sedia mendengar dan menolong awak. Saya amat berbesar hati kalau saya dapat membantu awak. Saya akan cuba membantu. Tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran. Saya ikhlas membantu." Syima melafazkan janji.
Emira mendengarnya dengan jelas. Satu janji yang amat bermakna daripada seorang kawan. Betullah kata orang, walaupun kita boleh berdikari, tetap lebih baik kalau kita mempunyai seorang kawan untuk kita bersandar kalau perlu.
Sekarang Syima menjadi tempatnya bersandar itu.
'Terima kasih, Syima. Terima kasih atas keikhlasan awak.'Syima tersenyum manis. Begitu juga dengan Emira. Khairul turut perlahan-lahan mengukir senyuman dibibirnya.
Senyuman Emira mungkin tidak semanis senyuman Syima ketika itu. Tetapi ianya masih tetap dipanggil senyuman.
Syima gembira melihat senyuman sahabatnya itu. Mungkin inilah langkah pertama untuk Emira kembali ceria setelah kehilangan Misha.
Sejak itu mereka telah menjadi sahabat baik. Syima yang telah banyak membantu dia selepas pemergian Misha. Syima banyak memberikan kata-kata semangat untuk dia terus berusaha. Dia bersyukur dan gembira mempunyai seorang sahabat seperti Syima selepas pemergian Misha.
'Terima kasih Ya Allah kerana menemukanku dengan sahabat baik seperti Misha dan Syima. Walaupun hanya beberapa bulan sahaja persahabatanku dan tempoh perkenalanku bersama Misha, aku tahu ianya kerana Engkau lebih menyayanginya. Tapi walaubagaimanapun Engkau telah menggantikan Misha dengan seorang sahabat yang pandai mendidikku untuk tabah menghadapi dugaan dan menerima dengan baik takdir yang Engkau berikan kepada aku.'
-----------------------------------------------
. . . . . b e r s a m b u n g . . . . .
-----------------------------------------------