Pagi tu aku bangun. Sinar cahaya matahari masuk ke dalam kamarku. Aku bangun perlahan2 dari katil dan menjenguk ke luar tingkap.
Cuaca hari ni sangat cerah. Bumi disimbahi cahaya matahari. Pokok-pokok kehijauan memberi semacam satu perasaan tenang. Burung-burung berkicauan menjadi penghawa telinga. Aku pandang langit yang biru. Bunyinya cliché bukan, macam dalam drama. Tapi itulah yang berada di hadapanku sekarang. Alam ciptaan Tuhan amat indah.
Aku turun ke bawah. Bau aroma nasi goreng membuatkan aku berasa lapar. Aku ke dapur dan melihat isteriku sedang menyiapkan sarapan, dan anak-anakku berada di meja makan, tersenyum memandangku. Mereka menungguku untuk bersarapan bersama.
Beberapa minit kemudian, nasi goreng cina diletakkan di dalam pinggan kaca dan dihidangkan di hadapanku. Isteriku duduk di sebelahku, manakala anak-anakku, Adam dan Sarah di hadapan kami berdua.
"Bagaimana sekolahmu, anakku?" soalku.
"Baik sahaja segalanya, papa. Sarah dapat tempat pertama dalam kuiz matematik!" Sarah tersenyum ceria.
"Adam pula berjaya ke final badminton, papa. "
Aku tersenyum. Mataku kemudian melirik ke arah isteriku, Laila. Laila perasan, wajahnya kemerahan. Cantik.
"Hari ni papa cuti. Papa bawa kalian ke taman hari. Bagaimana?" soalku. Mata Adam dan Sarah bersinar-sinar. Kemudian mereka bersorak kegembiraan. Hai kembar ini, sehari tanpa mereka maka suramlah duniaku. "Sayang setuju?" soalanku dituju pada Laila. Laila mengangguk sambil tersenyum menampakkan lesung pipit.
Aku begitu sayangkan mereka.
Aku menghidupkan enjin kereta lalu pergi ke muka pintu menolong Laila mengambil bekalan makanan untuk perkelahan di taman nanti.
Adam dan Sarah berlari di sekeliling kereta dengan tawa mereka menghiasi laman rumah itu. Aku menggelengkan kepala melihat telatah kembar tidak seiras itu.
Selepas mengunci pintu, aku berlalu ke kereta. Laila, Sarah dan Adam sudah berada di dalam, menungguku.
Aku memandu kereta keluar dari perkarangan laman Rossa Villa terus ke taman.
Di dalam kereta si kembar tidak betah berkata-kata. Ada sahaja yang ditanya mereka membuatkan aku dan Laila ketawa.
Aku memandang Laila. Dia mengenakan blaus dan shawl warna pastel, menyerlahkan kejelitaannya. Aku memegang tangan Laila dan dia membalas dengan senyuman.
Aku begitu sayangkan mereka.
Sesampai sahaja di taman, Adam dan Sarah terus keluar dari kereta dan berlari di padang yang luas itu.
Aku menolong Laila mengangkat bakul berisi makanan dan tikar untuk perkelahan.
"Laila tahu kenapa abang pilih untuk pergi taman ni?" soalku sambil tangan mengibarkan tikar dan meletakkan di bawah sepohon pokok yang redang.
"Kerana ini lah tempat abang melamar sayang, bukan?" teka Laila. Aku mengangguk dan tersenyum. Wajah Laila kembali kemerahan. Ah isteriku ini begitu cantik, tiada cacat celanya.
Aku dan Laila duduk di atas tikar sambil melihat gelagat si kembar yang bermain-main di tengah padang. Aku dan Laila pula membuka kisah-kisah lama yang romantik, dari terbitnya perasaan cinta antara satu sama lain sehinggalah kami mendirikan sebuah keluarga yang bahagia.
Si kembar berhenti bermain dan berlari ke arah kami. Penat mungkin. Laila mengesat peluh dari wajah mulus dan comel si kembar sebelum memberikan mereka air dan makanan.
Adam dan Sarah berebut sandwich tuna. Adam mengambil sandwich terakhir dan Sarah membuat reaksi mahu menangis. Adam ketawa dan membelah sandwich itu kepada dua dan memberikan sebahagian kepada Sarah. Sarah kembali tersenyum.
Walaupun Adam adik, tetapi dia telah menunjukkan sifat gentleman dalam dirinya dengan melayan Sarah dan Laila dengan baik.
Sarah seperti klon ibunya, cantik dan pandai memasak.
Aku bersyukur dikurniakan kembar dan isteri yang cantik. Kehidupanku sempurna dengan adanya mereka.
Aku begitu sayangkan mereka.
Tetapi...
Semua yang indah-indah hilang apabila aku membuka mata.
Mataku kabur dengan air mata.
Itu semuanya memori.
Apokalips telah membunuh keluargaku. Aku terkilan tidak dapat menyelamatkan mereka.
Mereka telah dijangkiti, itu yang diberitahu oleh seorang doktor kepadaku sejurus aku sedar dari koma akibat kemalangan kereta kerana cuba mengelak salah satu dari "mereka", dan terpaksa meninggalkan keluargaku. Adam dan Sarah meninggal serta merta, dan Laila telah digigit dan menjadi sebahagian dari "mereka".
Ya, "mereka" yang mati tetapi hidup balik, bukan sebagai manusia, tetapi sebagai makhluk yang laparkan manusia seperti aku, "survivor".
Aku pandang ke luar tingkap kaca setebal 3 inci dari dalam sebuah bangunan yang kebal dari sebarang ancaman.
"Mereka" terlalu ramai. Salah seorang dari "mereka" pergi ke arah tingkap dan aku melihat wajahnya yang ngeri. Bibirnya yang dahulu merah kini tiada. Kulit yang halus kini tiada, menampakkan putih tengkoraknya. Mata yang bundar kini tinggal soket sahaja, biji matanya hilang. Aku ternampak cincin di jari manisnya yang mencakar tingkap, seolah-olah dapat menghidu bau "survivor".
"Laila... " akhirnya air mataku jatuh.
YOU ARE READING
The Cerpens
Short StoryPercubaan untuk buat cerita pendek. enjoy :) Highest Ranking: #2 (Cerpen Seram)