Sejak hari terusan menjadi kelabu, dan matahari tidak lagi kelihatan menampakkan seri, aku perasan bonda dah kurang sangat bercakap. Matanya layu. Dah tak ceria macam selalu.
Harini seperti biasa aku akan lihat dia di atas sejadah, terkumat kamit memuji yang Satu, jejarinya yang semakin menampakkan tulang memegang tasbih.
Aku tidak berfikir apa-apa sebab dulu bonda aktif juga dalam aktiviti keagamaan ni, tapi sekarang dia lebih selesa berbuat yang wajib yang sunnah dalam rumah. Bukan, bukan selesa. Mungkin sebab terpaksa.
"Adik, mari kat bonda"
Aku menurut sahaja, macam biasa aku akan ikut saja apa yang dia buat.
"Esok bonda nak ajak adik pergi masjid"
Kata bonda selepas menunaikan solat sunat.
"Tapi bonda cakap dekat luar tak selamat. Ramai orang berbunuhan" kataku.
"Tak apa. Yang penting esok adik kena ikut bonda ya?"
Aku mengangguk saja. Bonda lebih tahu.
Dalam rumah tu tinggal aku dengan bonda je. Ayah dah pergi tinggalkan kami. Masa tu aku kecil lagi jadi aku tak ingat kenapa ayah pergi. Bonda akan sedih dan marah kalau aku tanya, jadi aku biarkan je. Tapi aku ada gambar ayah, satu-satunya memori aku ada tentang dia. Dan diam-diam aku sembunyikan dari bonda.
Esok paginya, aku ikut bonda ke masjid.
Suasana di luar sangat menakutkan. Apa yang aku boleh gambarkan macam dalam movie 2012 tu, yang juga aku curi tengok tanpa pengetahuan bonda. Bagi bonda semua itu melalaikan dan boleh menyesatkan.
Agak lama jugak kami berjalan kerana mengelak sekumpulan pemberontak. Bonda juga akan mengelak anggota polis, di mana aku berfikir bukan kah lebih mudah kalau minta tolong polis iringi kami ke masjid?
Kami tidak sampai ke masjid, sebaliknya mengikuti sebuah lubang yang dikorek dan ada jalan bawah tanah.
"Ramai orang jahat akan ganggu kita kalau kita terus ke masjid. Laluan ini selamat untuk kita ke sana."
Aku hanya menuruti sahaja bonda. Fikirku, mungkin orang jahat itu adalah musuh agamaku.
Apa lah salah kami, kami hanya mahu menunaikan yang wajib yang sunnah sahaja. Mana polis yang patut melindungi kami?
Kami berjalan ke hujung terowong dan disambut oleh orang yang seperti bonda.
Selepas itu, kami menunaikan solat sunat dan meeting. Itu lah sebab kenapa bonda nak pergi masjid agaknya. Budak-budak kecil seperti kami hanya duduk di tepi-tepi, melihat bulatan besar itu.
Seorang jemaah keluar dari bulatan itu dan ke bahagian lain masjid. Bonda memanggilku.
"Adik, mari kat bonda"
Aku menuruti, bonda menyuruh aku tidur di pahanya. Aku turut.
Aku lihat di matanya yang bersinar, entah kenapa ada sesuatu tentang itu yang menghantuiku.
Bonda kemudian ajarku kalimah syahadah.
"Bonda, ada apa ni?" aku tanya.
Mataku sempat menangkap sekeliling, mereka melakukan sedemikian macam bonda. Ada yang baring kaku, ada yang menangis, ada yang ceria. Tapi yang pasti mulut mereka tidak lepas memuji yang Satu.
"Shh, tidurlah arjuna bonda.."
Belaian bonda buatkan aku mengantuk dan aku lihat bonda, yang lain jugak turut kelihatan mengantuk.
Tiba-tiba pintu masjid ditolak dengan kuat tetapi tidak dapat dibuka. Mereka seperti tidak mengendahkan perkara itu kerana masing-masing mengantuk.
Aku juga sempat menangkap perkataan seperti 'buka pintu ni', 'berhenti' dan apa lagi jeritan.
"Orang jahat tu, tidurlah arjuna bonda" kata bonda sambil matanya tertutup. Aku iyakan saja tapi mataku sempat menangkap kelibat seperti wajah ayahku, dalam uniform polis di tingkap.
"Kenapa ayah dekat sini... Bonda... Bonda... Tu... A...yah..."
"AMIRRR!!"
*****
Dunia dikejutkan dengan kes bunuh diri beramai-ramai di Masjid Central Jaya Lumpur. Polis lambat untuk mengetahui tentang rancangan kumpulan ajar sesat yang semakin aktif sejak "Hari Kelabu" mula melanda Malasia.Encik Othman memandang ke luar tingkap. Cuaca hari itu sangat indah, cerah, semua orang senang melihatnya. Selepas "Hari Kelabu" berlalu, mereka sangat menantikan sang Matahari.
Encik Othman menunduk sayu, memandang foto insan yang sangat dikasihinya. Kalaulah dia berjaya menjejaki Amir dan Laila terlebih dahulu sebelum kebakaran di masjid itu berlaku...
YOU ARE READING
The Cerpens
Short StoryPercubaan untuk buat cerita pendek. enjoy :) Highest Ranking: #2 (Cerpen Seram)