Samsung Galaxy S7 Edge yang terdampar di atas tilam sudah beberapa kali berdering, mengalunkan irama rap yang dinyanyikan oleh G-Dragon untuk lagu yang bertajuk Black. Ed melangkah keluar dari bilik dengan langkah yang santai. Telefon pintar yang masih menjerit-jerit minta dijawab hanya dikerling. Sedikit pun tidak dihiraukan. Dia tahu siapa yang menghubunginya awal pagi itu.
Deringan terhenti saat Ed ralit mengeringkan tubuhnya di ruang tengah bilik. Jam loceng di atas meja sisi katil dikerling. Jam tujuh pagi! Awal sungguh Yusri menelefonnya. Barangkali Yusri berniat untuk mengejutkan Ed. Bimbang jika dia terlajak tidur. Namun... Sejak bila pula Ed sambung tidur lepas subuh? Kalau Yusri, ya. Lelaki itu memang selalu lelapkan mata semula selepas subuh.
Tidak sampai seminit, telefon pintar Ed berbunyi lagi dan semestinya daripada pemanggil yang sama. Hanya Yusri yang akan menghubunginya seawal ini. Lagipun, siapa aje yang akan telefon Ed kalau bukan Yusri? Emak atau ayah Ed? Hmmm, mereka sudah lama tiada. Kawan rapat yang Ed ada hanya Yusri. Lelaki itu juga merupakan pengurus dan rakan niaganya.
Langkah diayun menuju ke katil. Telefon pintar dicapai. Panggilan dijawab. Ikon pembesar suara ditekan dan kemudian telefon pintar diletakkan di atas meja. Dirinya dibawa ke hadapan sebuah cermin besar di sudut bilik. Ingin meneliti wajahnya yang sudah licin. Baru lepas bercukur. Tiada lagi kumis mahupun jambang menghiasi wajah tampan lelaki itu.
Senyuman nipis terukir di bibir saat jeritan suara kawan baiknya menampar gegendang telinganya. Sudah dia jangka! Jeritan dan bebelan Yusri dibiarkan memenuhi ruang bilik.
"Kenapa kau diam? Kau dah bangun ke belum? Kau jangan lupa event kau hari ni. Kau kat mana sekarang? Masih kat rumah ke? Atau dah on the way? Atau tengah bersiap?"
Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Yusri. Ed biarkan aje. Kemeja berwarna hitam yang sudah siap bergosok dicapai dan disarungkan ke tubuhnya.
"Kejap! Kau jangan kata dengan aku yang kau sekarang ni... Masih lagi tidur! Oh, man... Please don't tell me that!"
Sepi.
Ed masih lagi tersenyum seorang diri. Senyum senget. Seolah-olah mengejek kekalutan Yusri.
Bibir masih tertutup rapat. Tidak berniat untuk menuturkan sebarang bicara. Barangkali ingin mendera perasaan Yusri. Ingin menyakat kawan baiknya itu.
Tumpuan dihalakan ke arah cermin. Sibuk merapikan diri. Dia bukanlah seorang lelaki yang pentingkan penampilan. Namun, hari ini dia perlu memastikan penampilannya kelihatan menarik. Wajahnya juga dicukur bersih. Kononnya ingin menampilkan imej bersih dan kemas. Kononnyalah. Tak nak pamer wajah dia sebelum ni, yang penuh dengan jambang dan kumis.
"Ed, boleh tak kau respons? Kau jangan buat aku cuak boleh tak? Event kau pukul 9 pagi tau! Bukan 4 atau 5 petang!"
Yusri sudah hilang sabar dengan Ed. Nada suara sudah naik satu oktaf.
"Itulah kau. Gatal sangat nak buat pagi. Aku dah suggest buat petang macam biasa tapi kau nak juga buat pagi. Aku kenallah kau... Kau tu bukan morning person!"
Ceh! Yusri tu bercakap depan cermin ke?
Sesudah berpuas hati dengan penampilannya pagi itu, Ed mula mencapai telefon pintar. Pembesar suara dimatikan lalu dia melekapkan telefon pintar ke telinganya.
"Aku dah sampai depan kafe," tutur Ed dengan nada yang cukup bersahaja.
"Ha, serious?" soal Yusri dengan nada terkejut.
"Kau kat mana?"
Ed balas dengan soalan.
"Errr... Kat rumah lagi. Baru bangun. Awalnya kau sampai," komen Yusri dengan nada yang semakin perlahan. Barangkali terkesima dengan kata-kata Ed.
YOU ARE READING
DATE ME
RomanceTajuk: DATE ME Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-50-1 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Disember 2016. BILIK...