Berakhir sudah percutian Kaysa Adara dan kawan-kawannya di Sabah. Tiba sahaja di rumah sewa, masing-masing menghilangkan diri ke dalam bilik. Mereka sudah tidak bermaya. Keletihan mengembara bumi Sabah. Sudah tiada tenaga lagi. Kaysa Adara menghempaskan tubuh ke atas tilam empuknya dan tanpa sedar, dia mula diulit mimpi.
Jam menunjukkan pukul 5.40 petang sewaktu gadis itu terjaga dari tidur. Dalam keadaan yang masih mamai, Kaysa Adara menuju ke bilik air. Ingin menyegarkan diri sebelum menunaikan solat. Gadis itu ada bilik air sendiri memandangkan dia duduk di bilik master. Tidak berkongsi bilik air dengan Syaz dan Yara.
Tiba-tiba Kaysa Adara teringatkan mimpinya sebentar tadi sewaktu dia sedang melipat kain telekung. Berkerut dahinya.
Dah kenapa aku mimpikan dia?
Kepala digeleng perlahan. Cuba mengusir jauh mimpinya. Entah macam mana dia boleh mimpikan Ed. Selepas pertemuan di Hounun Ridge Farmstay, mereka tidak lagi bersua. Buat haluan sendiri.
Sayup-sayup lagu Always menyapa gegendang telinga Kaysa Adara. Gadis itu melepaskan keluhan kecil. Kenapa aku dengar lagu tu lagi? Takkan tak habis-habis demam drama Korea tu? Dah lama drama Descendants of the Sun tamat. Kaysa Adara pun dah move on. Beralih ke drama lain pula.
Telefon pintar dicapai. Hmmm, tak ada pula dia pasang lagu tu. Musykil betul.
Kain telekung disimpan di tempat biasa. Begitu juga dengan sejadah. Dia mula melangkah keluar. Ingin menyiasat dari mana datangnya lagu itu. Mana tahu Syaz atau Yara sedang pasang lagu tu atau mungkin sedang menonton entah buat kali ke berapa drama Korea itu.
Sangkaannya meleset.
Bila dia keluar, tiada siapa di ruang tamu. Dia menjengah ke belakang rumah. Syaz sedang menyidai pakaian.
"Kau ada dengar tak apa yang aku dengar tadi?" soal Kaysa Adara sambil menyandarkan tubuhnya ke pintu.
"Dengar apa?" soal Syaz, menoleh ke arah Kaysa Adara sekilas.
Kaysa Adara mengetap bibirnya. Dia diam seketika.
"Errr... Kau nak tahu tak, dah tiga kali aku terdengar OST DOTS. Yang peliknya, tak ada siapa-siapa pasang lagu tu. Kenapa aku tiba-tiba terdengar eh?"
Syaz menghamburkan tawa. Telefon pintar yang diletakkan di atas meja berhampiran dengan ampaian dicapai.
"Lagu yang ni?"
Lagu Always mula berkumandang. Laju Kaysa Adara menganggukkan kepalanya. Syaz sambung gelak.
"Akulah yang pasang lagu ni tadi."
"Oh..."
Kaysa Adara menghela nafas lega.
"Eh, tapi yang lagi dua kali tu... Kau dengar kat mana?" tanya Syaz.
Kaysa Adara terdiam. Tidak semena-mena, gadis itu teringatkan saat Ed menyarungkan jaket ke tubuhnya dan membetulkan ikatan tali kasutnya. Kemudian, dia teringat pula saat dia dan Ed saling bertentang mata di atas bukit.
"Syaz..."
"Hmmm..."
Syaz berhenti menyidai pakaian. Pandangannya dihalakan ke arah Kaysa Adara. Mula mengesan sesuatu yang aneh dengan kawannya itu.
Kaysa Adara turut memandang Syaz. Bibirnya bergerak-gerak, seakan-akan ingin berbicara tetapi teragak-agak.
"Errr... Kau pernah tak... Hmmm... Macam mana nak cakap eh..."
Kaysa Adara garu kepala.
"Jantung kau pernah tak tiba-tiba berdegup sampai rasa nak meletup? Eh, macam over pula ayat aku. Maksud aku, berdegup dengan laju. Tak macam selalu."
YOU ARE READING
DATE ME
RomanceTajuk: DATE ME Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-50-1 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Disember 2016. BILIK...