Kaysa Adara kembali ke meja kerjanya usai keluar makan tengah hari bersama rakan sekerja. Jam di skrin komputer dikerling. Ada sepuluh minit lagi sebelum waktu rehat tamat. Telefon pintar dicapai. Laju dia menekan papan kekunci, menaip mesej untuk Ed.
Sorry. I tak boleh jumpa you hari ni.
I ada hal.
Boleh tak you bagi account number you?
Senyuman nakal terukir di bibir. Sengaja dia beri helah. Semata-mata untuk mengelak daripada bertemu dengan Ed.
Tidak sampai seminit, telefon pintar Kaysa Adara berdering. Panggilan daripada Ed.
Pantasnya!
Lambat-lambat Kaysa Adara jawab panggilan daripada lelaki itu. Perlahan sahaja nada suaranya. Tidak mahu mengganggu pekerja yang lain.
"Macam nilah janji Melayu. Masa nak pinjam duit, macam-macam janji. Bila dah dapat, banyak alasan."
Erk! Telinga Kaysa Adara terus disapa dengan sindiran pedas sebaik sahaja dia menjawab panggilan daripada Ed. Terkesima gadis itu. Janji Melayu? Berkerut dahinya.
Sekejap. Aku ada janji apa-apa ke semalam? Rasa-rasanya macam tak ada.
"Bila masa I janji dengan you?" tanya Kaysa Adara dengan nada tidak puas hati.
"Ha, tengok! Melayu betullah you ni."
"Eh, I memang orang Melayu. Habis tu, you bukan?"
"Semalam masa you merengek nak KFC, you sendiri cakap nak jumpa I hari ni. Bila dah dapat KFC, lain pula cerita. Sebab tu I cakap janji Melayu."
Lelaki itu mendengus kasar.
"I bukannya tak nak bayar duit you. Kan I ada minta nombor akaun. You bagi ajelah."
Nada suara Kaysa Adara sudah mengendur.
"You ni ada masalah short term memory loss ke? I dah cakap I nak cash. I tak nak you transfer."
Kaysa Adara menahan geram. Kereknya mamat ni. Sibuk sangat nak cash. Transfer kan senang. Tak sampai lima saat. Ini nak jumpa bagai. Leceh!
Hati Kaysa Adara berleter sendirian. Meluahkan rasa tidak puas hati yang terpendam, yang tidak mampu dituturkan pada lelaki itu.
"Yalah. Tapi I ada hal hari ni. I tak boleh jumpa you."
Kaysa Adara masih tidak berputus asa. Masih mencari peluang untuk mengelakkan diri daripada lelaki itu.
"Hal apa?"
"Sibuk aje nak tahu."
"Well, you batalkan janji you dengan I untuk hal tu. I rasa I ada hak untuk tahu hal apa. Penting sangat ke sampai you mungkir janji?"
Mungkir janji? Hesy, overnya! Omel Kaysa Adara. Pen yang berada di tangan, sudah diramas-ramas. Geram.
"Hal peribadi yang tak boleh dielakkan."
"Okey."
Hah? Ed cakap okey? Terus wajah masam Kaysa Adara bertukar ceria. Senyuman terukir di bibir. Yes! Berjaya! Riang betul hatinya.
"Jumpa I esok."
Mati terus senyuman di bibir Kaysa Adara. Hampa! Terlepas keluhan dari bibirnya.
"You nak jumpa kat mana?"
Kaysa Adara mula mengalah.
"Bila? Esok atau hari ni?"
"Hari ni," balas Kaysa Adara. Ingin melangsaikan hutangnya secepat mungkin. Selepas ini, tiada sebab kenapa dia kena jumpa lelaki itu lagi.
YOU ARE READING
DATE ME
Roman d'amourTajuk: DATE ME Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-50-1 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Disember 2016. BILIK...