Kaysa Adara menyelak langsir biliknya. Sedikit cuma. Matanya dihalakan ke luar. Subhanallah! Terpukau Kaysa Adara memandang Gunung Kinabalu yang sudah tidak dikaburi awan tebal seperti semalam. Gunung Kinabalu itu betul-betul di depan matanya.
"Beb... Gunung Kinabalu dah bangun. Cantik!"
Dek rasa teruja, Kaysa Adara terus memanggil kawan-kawannya. Langsir diselak lebih besar. Sengaja dia guna istilah 'Gunung Kinabalu dah bangun' sebab semalam orang kat sini kata 'Gunung Kinabalu dah tidur' memandangkan awan tebal menutupi gunung itu.
Syaz dengan Yara terus membuka mata. Memandang ke luar tingkap. Terus hilang rasa mengantuk bila tengok Gunung Kinabalu di depan mata mereka. Semalam mereka tidak dapat menyaksikan gunung itu.
"Dah pukul berapa ni? Aku tak solat lagi."
Yara mula kalut bila tengok suasana di luar sudah terang.
"5.50 pagi. Syuruk 6.11 pagi. Pergilah solat."
"Kau dah solat?"
Kaysa Adara mengangguk.
"Kenapa tak kejut?"
"Aku dah kejut banyak kali. Kau yang lima minit, lima minit lagi," gumam Kaysa Adara.
Yara tarik sengih. Terus dia turun dari katil dan menuju ke bilik air.
Syaz yang tidak boleh solat turut bangkit dari perbaringan. Rambutnya yang panjang diikat. Cermin mata dicapai. Begitu juga telefon pintar. Dia mula melangkah ke arah Kaysa Adara sambil memakai cermin matanya.
"Cantiknya..." Syaz meluahkan rasa kagumnya dengan pemandangan yang cukup indah di depan mata.
"Subhanallah," ucap Syaz lagi.
Gadis itu mula menangkap beberapa keping gambar menggunakan telefon pintarnya. Kaysa Adara tersenyum nipis. Dia juga kagum dengan keindahan ciptaan Tuhan. Matanya ralit memandang luar.
Pandangan Kaysa Adara terhenti di satu arah. Sebatang tubuh yang sedang duduk memeluk lutut di atas bukit menarik perhatiannya. Matanya dikecilkan. Cuma mengamati figura tersebut.
Oh, lelaki semalam...
Tidak semena-mena, Kaysa Adara teringat sesuatu. Terus dia geledah beg galas, mengambil sesuatu lalu disimpan ke dalam poket seluar. Selendang dicapai dan disarungkan ke kepala.
"Aku keluar kejap," beritahu Kaysa Adara kepada Syaz yang masih ralit menangkap gambar dari tingkap bilik.
"Kau nak pergi mana? Jangan pergi jauh-jauh," pesan Syaz. Serik dengan peristiwa semalam.
"Aku kat area sini aje."
Kaysa Adara terus menghilangkan diri. Langkah diayun ke arah lelaki semalam yang sudah terbaring di atas rumput. Terukir senyuman nipis di bibir gadis itu.
Tidak mahu kehadirannya disedari, Kaysa Adara mula memperlahankan langkah. Berhati-hati dia merapati lelaki itu.
Kaysa Adara berdiri betul-betul di depan kepala Ed. Pandangan mata dihalakan ke wajah Ed. Memerhati wajah lelaki itu yang ditutupi separuh dengan lengan.
Entah kuasa apa yang mendorongnya, dia duduk mencangkung. Kepalanya ditundukkan, memandang Ed. Merenung wajah lelaki itu yang seolah-olah sedang memendam sesuatu. Hati Kaysa Adara dilambung tanda tanya.
Apabila Ed membuka matanya, Kaysa Adara kaget. Terkesima. Matanya membesar. Sama seperti lelaki itu.
Buat beberapa saat, mereka berkeadaan sebegitu. Terkaku. Tiba-tiba, lagu Always yang dinyanyikan oleh Yoon Mi Rae bergema di telinga. Sama seperti semalam.
YOU ARE READING
DATE ME
RomanceTajuk: DATE ME Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-50-1 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Disember 2016. BILIK...