Kaysa Adara bersiap-siap untuk pulang ke rumah keluarganya sebaik sahaja pulang dari tempat kerja. Dua minggu berturut-turut gadis itu pulang ke sana. Itu pun sebab majlis perkahwinan abang sulungnya. Kalau tidak, jangan haraplah dia nak jejakkan kaki ke rumah itu. Selagi Puan Saafia tidak bising, selagi itulah dia tidak akan pulang ke sana. Malas. Tiada apa yang menarik di rumah itu. Bosan.
Kaysa Adara menoleh ke pintu bilik yang dibiarkan terbuka sewaktu ternampak kelibat Yara melangkah masuk ke biliknya. Wajah monyok Yara diperhati.
"Kenapa?"
Yara diam. Punggung dihempaskan ke tilam Kaysa Adara.
"Pasal Syaz ke?" tebak Kaysa Adara.
Sudah semestinya wajah monyok Yara ada kena-mengena dengan Syaz. Sejak pertelingkahan kecil yang berlaku kelmarin, Syaz lebih banyak mendiamkan diri dan menyendiri di dalam bilik.
Meskipun Syaz sudah memaafkan Yara, tetapi hubungan mereka berdua masih lagi renggang. Sesungguhnya, lidah manusia lebih tajam daripada mata pedang. Memang mudah untuk Syaz maafkan Yara tetapi untuk melupakan kata-kata itu bukannya mudah.
"Itulah... Sebelum nak cakap tu, fikir dulu. Sekarang, siapa yang susah? Kau juga," bebel Kaysa Adara apabila Yara hanya membisu.
"Tapi dia cerita semuanya pasal aku dengan Paan kat Yusri. Mestilah aku bengang."
"Ya. Aku pun bengang. Dia cerita pasal aku dekat Ed dengan Yusri juga."
"Hah... Tahu pun."
"Tapi aku tak adalah sampai nak kaitkan Aizat dalam hal ni," tutur Kaysa Adara seperlahan yang mungkin. Risau jika didengari oleh Syaz.
"Yalah, yalah... Aku yang salah. Tapi dia dah tak macam dulu. Dah tak nak bergurau dengan aku. Tadi aku cuba bergurau dengan dia, dia tak respons pun. Kau boleh bayangkan tak betapa awkwardnya aku masa tu. Krik krik krik seorang diri."
Kaysa Adara tergelak.
"Padan muka kau."
"Aku tak tahulah macam mana nak pergi majlis abang kau dengan dia esok. Awkward tau."
"Aku tak kira. Kau dengan dia kena datang juga majlis abang aku. Aku tunggu."
"Tengoklah macam mana. Sis cuba."
Sempat pula Yara berseloroh. Terlepas tawa kecil dari bibir Kaysa Adara.
"Kau tak payah risaulah. Tak lama lagi Syaz okey la dengan kau. Dia pun tak tegur aku. I think she needs some space."
"Need some space sampai dua hari?"
Kaysa Adara mengangguk-anggukkan kepalanya.
Yara melepaskan keluhan.
"Sampai bila dia nak ingat pada lelaki tu? Tak faham aku. Masa tu, dia orang baru aje bercinta. Tak sampai setahun. Kalau dah bertahun-tahun tu, fahamlah juga."
Kaysa Adara yang sudah selesai merapikan selendang, menghampiri Yara. Duduk di sebelah gadis itu.
"Pertama, walaupun dia dengan Aizat bercinta tak sampai setahun tapi Syaz tu dah lama suka Aizat. Aizat tu crush dia bertahun-tahun."
Kaysa Adara berjeda. Menarik nafas dan dihela perlahan.
"Kedua, Aizat pergi sebab nak selamatkan Syaz. Kalau kau jadi Syaz, boleh ke kau lupakan semuanya? Kau boleh faham tak perasaan Syaz bila orang yang dia sayang, tinggalkan dia sebab nak selamatkan dia? Kau boleh faham tak perasaan Syaz bila keluarga Aizat salahkan Syaz, maki hamun Syaz?"
"Okey, okey, okey... Kau tak payahlah nak buat drama air mata pula."
"Aku bukan nak buat drama. Tapi aku nak kau berhenti pertikaikan kenapa Syaz susah nak move on. Biar ajelah dia. Time will heals everything. Mungkin dua tiga tahun nanti, dia jumpa dengan seorang lelaki yang akan buat dia lupa kisah pahit tu. Kau pun masih tak boleh lupakan Paan kan walaupun dia buat macam-macam kat kau?"
YOU ARE READING
DATE ME
RomanceTajuk: DATE ME Penulis: Azura Rasiddin Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-50-1 Harga: RM26.00 (Semenanjung) // RM29.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Disember 2016. BILIK...