BAB 15

6.3K 140 56
                                    

Usai menunaikan solat zohor, Kaysa Adara turun ke dapur rumahnya. Rumah keluarga bukan rumah sewa. Gadis itu ingin menyediakan dessert untuk tetamu yang akan berkunjung ke rumahnya malam nanti. Tetamu yang cukup istimewa. Siapa lagi kalau bukan Ed.

Sunyi sahaja suasana di dapur. Hanya Kaysa Adara yang ada di situ. Ke hulur ke hilir mengeluarkan bahan-bahan dan juga peralatan yang akan dia gunakan. Semuanya diletakkan di atas meja.

"Buat apa tu?" tanya seseorang dengan nada yang ceria. Sekaligus memecahkan kesunyian.

Kaysa Adara menoleh ke belakang. Gadis itu sedikit terkejut melihat kakak iparnya di situ. Duduk di kerusi bar, menghadap Kaysa Adara. Ingatkan tiada siapa di rumah ketika itu.

"Eh... Akak tak ikut along dengan mama ke?"

Elly melemparkan senyuman.

"Tak. Akak cakap nak teman Kaysa kat rumah. Kaysa nak buat dessert untuk malam ni ke?"

Kaysa Adara hanya menganggukkan kepalanya. Gelatin tanpa perisa ditaburkan di dalam periuk kaca yang sudah diletakkan secawan susu segar lalu dibiarkan seketika.

"Dessert apa?"

"Italian dessert. Panna Cotta," balas Kaysa Adara bersama senyuman.

"Wah, sedapnya... Mesti Ed suka."

Periuk kaca yang dibiarkan tadi sudah diletakkan di atas api yang sederhana dan dikacau untuk melarutkan gelatin.

"Dah lama ke akak kenal Ed?" soal Kaysa Adara ingin tahu.

"Hmmm... Tak adalah lama sangat. Akak kenal dia awal tahun ni," balas Elly dengan nada yang datar.

Baru sahaja Kaysa Adara nak ajukan soalan yang lain, Elly kembali bersuara.

"Kaysa tahu Ed tu siapa?"

"Maksud akak yang dia tu penulis novel?"

Kaysa Adara memandang Elly sekilas sebelum memasukkan bahan-bahan lain ke dalam periuk kaca.

Elly tersenyum segaris. Kepalanya dianggukkan perlahan.

"Nampaknya Ed memang serius dengan Kaysa. Dia beritahu Kaysa yang dia tu penulis. Dengan akak, dia tak beritahu pun walaupun akak minat novel dia. Kita orang kawan macam biasa sampailah akak mula syak dia tu Red. Akak pergi event dia untuk confirmkan," cerita Elly dengan nada yang sama. Datar dan bersahaja.

Kaysa Adara mendiamkan diri seketika. Ed pun tak beritahu dia. Dia yang tahu sendiri. Adakah Ed tidak serius dengannya?

Kepala Kaysa Adara terus digelengkan. Mengusir tanda tanya yang telah menerbitkan rasa sangsi dalam hatinya. Jangan fikir yang bukan-bukan Kaysa, nasihat gadis itu kepada dirinya sendiri.

Api dipadamkan. Kaysa Adara memusingkan tubuhnya ke belakang. Memandang Elly sambil bersandar di kabinet dapur.

"Akak masih ada hati pada Ed ke?"

Nada suara Kaysa Adara kedengaran serius. Tangan disilang ke dada.

Elly senyum dan geleng.

"Akak dah ada suami, Kaysa... Kaysa tak perlu risau. Ed anggap akak kawan aje. Dan kita orang keluar hari tu pun sebagai kawan."

"Baguslah kalau macam tu. Sekarang ni, akak dah boleh terima along?"

Elly mengangguk-anggukkan kepalanya.

Kaysa Adara kembali menumpukan perhatian pada Panna Cotta. Strawberi dikeluarkan dari peti ais lalu dibelah dua.

"Along tahu pasal akak dengan Ed?"

DATE MEWhere stories live. Discover now