Bab 16
Hadha masuk kerja seperti biasa pada hari itu. Hujung minggu atau sebelah malam adalah masanya untuk bekerja sambilan bagi menyara hidupnya sendiri. Dia tahu, untuk hidup dia perlu mencari duit memandangkan tiada keluarga atau orang yang akan menanggung hidupnya nanti.
Setelah kehilangan neneknya yang selama ini menanggung segala keperluannya, dia asyik bertukar ganti kerja. Dia ingin berhenti belajar bagaimanapun masih teringat janjinya untuk menghabiskan pelajaran. Semua kerja kosong yang ada memerlukan tenaga sepenuh masa. Sukar untuk dia memohon.
Mujur sahaja ada satu kedai buku kecil yang menjadi tempat kunjungannya selalu memerlukan pekerja secepatnya. Pada mulanya, dia diminta untuk bekerja bagi menggantikan pekerja sebelum ini yang berhenti secara tiba-tiba. Oleh kerana terdesak memerlukan tenaga kerja, mereka bersetuju untuk mengambil Hadha walaupun hanya sebagai pekerja sambilan sahaja.
Bunyi loceng pintu hadapan kedai berbunyi menandakan ada orang masuk menyebabkan Hadha berdiri tegak.
"Hello, selamat da... Tang."
Gadis itu tercengang memandang pelanggan yang kini berdiri di muka pintu dengan senyuman manis. Dia memakai kot agak segak dengan rambut ikalnya. Pipinya yang luka masih ada tampal bagaimanapun ketampanannya sedikit pun tidak berkurangan. Dia masih nampak segak.
"Awak akan terus berdiri kat situ merenung saya ke.?" Lelaki itu mengukir senyuman sinis yang tetap nampak manis.
Hadha tersentak. Memandang tampalan luka di pipi lelaki itu menyebabkan dia diselubungi rasa bersalah lagi. Ya. Lelaki ini adalah doktor itu. Doktor yang telah dicederakannya.
"Ah..." lelaki itu memandang sekeliling. "Saya patut fikir nak beli buku apa." Dia kemudiannya memandang Hadha. "Saya perlukan khidmat cadangan awak lagi untuk saya beli buku."
Hadha hanya mampu mengelipkan matanya. Kunjungan doktor itu setiap kali ke kedainya bukan sesuatu yang asing lagi. Malah, perkara ini sudah mula berlaku sebelum dia berkawan dengan Shahran lagi. Doktor itu sering datang ke situ dan bertanyakan soalan-soalan yang dirasakan agak mengarut.
"Awak boleh pilih buku." Ujar Hadha langsung tidak mengangkat mukanya. Entah kenapa, dia rasa takut untuk memandang wajah lelaki itu.
"Saya lebih suka kalau awak yang pilihkan." Doktor itu tersenyum kemudian terus sahaja berjalan ke arah rak-rak buku di situ.
Perasaan Hadha bertemu dengan doktor itu pada hari ni agak lain dari sebelumnya. Jika sebelum-sebelum ini dia merasa takut kerana doktor itu sering berkunjung dan cuba memulakan perbualan dengannya, kali ini dia merasa malu. Malu dengan tindakannya pada kali terakhir mereka berjumpa.
"Awak akan terus tercengang kat situ atau awak akan bantu saya cari buku yang bagus.?"
Hadha tersentak sekali lagi. Dia memandang lelaki tinggi lampai itu seketika kemudian memandang majikannya yang berada di kaunter seperti tidak mengetahui apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Dia segera mendengus perlahan kemudian menyusul doktor itu.
"Apa yang awak cadangkan.?" Tanya doktor itu sambil memandang buku-buku yang tersusun rapi di situ.
"Saya tak tahu apa yang awak minat." Hadha menjawab masih tunduk tidak berani memandang wajah lelaki itu.
"Saya minat cerita fantasi." Selamba doktor itu memberitahu.
"Fantasi.??" Hadha tidak dapat mengawal dirinya daripada mengangkat muka untuk melihat wajah lelaki itu. Keningnya juga terangkat menandakan dia agak terkejut mendengar jawapan lelaki itu.
YOU ARE READING
Humanoids ✔
Science Fiction"Buku ke-2 dalam TRIPLE H THE SERIES" Humanoids Adalah robot yang boleh bertindak atau berkelakuan sama seperti manusia. Bezanya... Ia hanya satu robot. Cerita ni bermula dengan Shahran yang cuba mencari identiti dirinya sendiri. WARNING...