Di tebing Sungai Jelai

475 17 0
                                    

Sang Tembaga kali pertama muncul di hilir Sungai Jelai selepas peristiwa banjir besar tahun 1971. Bencana yang turut melanda seluruh negara pada tahun itu mendatangkan pelbagai kerumitan buat penduduk-penduduk Kampung Mela di daerah Lipis dalam negeri Pahang merangkumi kampung-kampung kecil termasuk Kampung Temunga, Kampung Hulu Lik, Kampung Ganding, Kampung Dala dan lain-lain. Banyak kediaman yang rosak binasa apabila air Sungai Jelai melimpah melepasi paras tebingnya. Ramai yang tinggal sehelai sepinggang apabila tanaman dan haiwan ternakan mereka turut hanyut akibat banjir yang berlarutan selama seminggu.

Setelah segala derita diketepikan dengan keadaan kembali seperti sediakala, Bachik yang berusia 42 tahun dan Rokiah, 30 tahun, memutuskan untuk membina semula rumah papan beratap rumbia mereka di Kampung Temunga (yang mengambil nama sempena sebuah pulau kecil di Sungai Jelai); kerana Bachik tak punyai pilihan selain meneruskan hidup sebagai nelayan sungai. Isterinya Rokiah pula mengambil upah dengan menoreh di kebun getah milik Penghulu Mukim Cheka Haji Ahmad. Pasangan itu telah mendirikan rumahtangga sejak 1959 tetapi masih belum dikurniakan zuriat sehinggalah pada awal tahun 1972 apabila Suri hadir dalam hidup mereka.

Saat itu, Mak De yang juga bidan kampung baru selesai menghadiri kenduri menyambut menantu penduduk di Kampung Talus yang terletak di seberang sungai. Bachik bergegas mengayuh perahu jalurnya yang diperbuat daripada batang balak yang ditebuk, dengan pendayung sepanjang 9 kaki, bagi membawa Mak De menyeberangi Sungai Jelai. Ketika itu jugalah, kelibat mereka berdua diperhatikan seekor buaya tembaga yang mengekori perahu Bachik sehingga ke tebing sungai kira-kira 200 ela dari rumah nelayan itu.

Buaya tersebut menceritakan kepadaku beberapa tahun kemudian bagaimana dalam hujan renyai-renyai, dia terdengar Bachik meminta Mak De menjaga Rokiah serta kandungannya.

"Alah! Aku tahulah apa yang hendak dibuat. Dah lebih 30 tahun aku jadi bidan di kampung ni. Beratus-ratus bayi dah aku sambut," ujar Mak De. "Sepanjang tempoh tu, ada kamu dengar cerita tak elok pasal kerja aku?" soal bidan kampung itu.

"Sudah bagi bini kamu air selusuh tu?" tanya Mak De lagi.

Bachik mengangguk. Memang sikap nelayan sungai itu hanya bercakap apabila perlu. Sesampainya di rumah, Bachik mempersilakan Mak De naik sedang dia menanti di anak tangga sambil menggulung rokok pucuk nipah dengan tembakau kampung. Kira-kira sejam setengah kemudian, terdengar tangisan bayi perempuan dari rumah papan di tebing sungai itu. Bachik lantas menerpa ke dalam rumah bagi menyambut kehadiran ahli baru dalam keluarganya.

Suri dilahirkan pada kira-kira jam 7 petang dengan burung taktibau berbunyi menandakan terbenamnya matahari. Dahulu ketika tiada radio dan TV bagi mengumumkan masuk waktu solat Maghrib, orang-orang kampung sering menantikan bunyi burung tersebut terutama di bulan Ramadhan sebagai menandakan waktu berbuka puasa. Sama ada tepat atau tersasar perkiraan mereka berdasarkan bunyi burung taktibau itu, aku kurang pasti.

Jelas Bachik amat senang sekali dengan kehadiran Suri. Setelah Mak De meninggalkan rumahnya, dia kelihatan mundar-mandir di bilik tidur dan dapur bagi menyiapkan segala kelengkapan buat isteri dan bayi perempuannya. Tak lama kemudian, selepas mencapai rokok pucuk dan tembakau di atas belebas rumah, dia keluar mengayuh basikal menuju ke deretan kedai berdekatan stesen keretapi pekan Mela sambil tersenyum.

Sang buaya tembaga memerhatikan kegirangan Bachik dengan penuh kehairanan. Selalu juga dia terserempak dengan Bachik saat nelayan itu turun ke sungai mencari ikan semetik, patin, pacu, krai, tengkululang dan sebagainya terutama di lubuk Jelai. Seingat buaya tembaga itu, Bachik tidak pernah kelihatan sebegitu riang walaupun pada hari-hari di mana hasil tangkapannya amat memberangsangkan. Lantas, Tembaga bertekad untuk bertandang lagi ke situ bagi melihat sendiri anak pasangan yang berumah di tebing sungai Jelai itu.

***

Walaupun kerap buaya tembaga tersebut mengintai ke arah rumah Bachik dan Rokiah dari sungai, kali pertama ia melihat Suri ialah apabila bayi itu berusia enam bulan ketika Bachik, isteri dan anaknya hendak ke kampung Tanjung Bungor bagi menghadiri majlis kenduri kahwin dan joget lambak. Selesai solat Zohor, Bachik turun ke perahunya berpakaian baju Melayu dengan seluar dan sepatu. Rokiah turun tak lama kemudian dengan mendakap Suri yang sedang tidur. Alis mata bayi itu melentik dan pipinya gebu. Sepanjang tempoh lima belas minit menaiki perahu bapanya, Suri hanya tidur lena. Namun apabila sampai ke jeti Kampung Tanjung Bungor, anak kecil itu membuka mata seakan memandang ke arah sungai di mana Sang Tembaga secara bersembunyi sedang memerhatikan keluarganya.

Suri membesar sebagaimana kanak-kanak lain di Kampung Temunga. Bagaimanapun pada sebelah pagi ketika kedua orang tuanya keluar mencari rezeki, dia dihantar ke rumah Cu Bakar dan Long Sidah yang terletak lebih kurang tiga suku batu dari kediaman mereka. Cu Bakar merupakan peniaga di pekan sehari di kampung-kampung berdekatan. Hasil perkahwinan dengan Long Sidah, mereka dianugerahkan tiga orang anak lelaki; Jelani yang berusia 12 tahun, Rasid, 9 tahun dan Sidek, berusia 4 tahun. Long Sidah khabarnya pernah hamil sekali lagi selepas Sidek dilahirkan tetapi mengalami keguguran kerana dikatakan terminum air dari cawan yang terkena kencing tikus.

Anak mereka yang sulung, Jelani sering menemani ayahnya berniaga dan tidak berhasrat meneruskan persekolahan selepas tamat peringkat rendah. Dia lebih suka membaiki motosikal Triumph milik Cu Bakar serta bercita-cita membuka bengkelnya sendiri suatu hari nanti. Rasid pula gemar membaca tajuk-tajuk utama akhbar Utusan Melayu dan kerap mendapat markah yang agak baik dalam ujian bulanan di Sekolah Kebangsaan Mela. Pernah satu ketika, dia menyuarakan kepada ayahnya hasrat ingin menjadi pemimpin politik.

"Eloklah tu," sahut Cu Bakar. "Kamu boleh usulkan agar jalan ke Jerantut diperbaiki nanti," sambungnya merujuk kepada jalan tersebut yang sempit, berselekoh serta berbukit-bukau lantas mengundang bahaya kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal sekiranya berselisih dengan kenderaan berat.

Anak bongsu mereka, Sidek, merupakan yang paling manja dengan Long Sidah. Jika dia bangkit dari tidur dan tidak nampak bayang emaknya, sudah pasti dia akan merengek sepanjang hari. Namun di usia muda sekalipun, telah terserlah sifat kenakalan Sidek yang gemar melastik burung-burung yang hinggap di pohon kekabu di depan rumah mereka. Seboleh-bolehnya aku cuba mengelak daripada terserempak dengan Sidek kerana bimbang kalau-kalau dia menghalakan lastiknya ke arahku.

Kerana Long Sidah sendiri tidak mempunyai anak perempuan, Suri dijaganya dengan baik. Ketiga-tiga anaknya terutama Sidek, bagaimanapun, sering menyakat serta menakut-nakutkan bayi itu. Pernah satu hari, Sidek menghayun buaian Suri dengan terlalu laju sehingga bayi itu terjatuh dan dahinya bengkak. Apabila Rokiah tiba dari kebun getah untuk membawa anaknya pulang, Long Sidah berkata Suri terjatuh sendiri dari buaian yang digantung di tengah rumah kerana "terlalu buas".

Pernah juga, semasa sedang mengejar Jelani, Rasid terpijak Suri yang baru belajar merangkak. Long Sidah memarahi Jelani selaku anak yang paling tua di rumahnya. Selepas Long Sidah kembali meneruskan tugas di dapur, Jelani memulas lengan Rasid dan mencubit Suri gara-gara sakit hati kerana dimarahi ibunya.

Suri dihantar ke rumah Cu Bakar dan Long Sidah sehingga berusia empat tahun, apabila Mat Rahim dari Acheh dan isteri berpindah tak jauh dari rumah keluarga Bachik ─ di atas tanah milik Penghulu Ahmad. Isteri Mat Rahim, Samihah yang berasal dari kampung Gemunchor di seberang Jelai menawarkan untuk menjaga Suri kerana mereka sendiri belum dianugerahkan cahaya mata. Pada waktu itu jugalah, aku berkesempatan mendampingi anak perempuan Bachik dan Rokiah itu.

Satu petang ketika aku sedang tekun mencari siput dan cacing di sungai, aku dikejutkan suara Samihah yang sedang menggendong Suri sambil berjalan di tebing. "Tengok tu, Suri. Burung Rapang Duit dengan pipi putih dan berparuh merah," kata Samihah sambil memuncungkan mulutnya ke arahku.

Suri seakan tersenyum sambil menuturkan ungkapan, "Merah."

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now