Khianat

220 9 0
                                        

Kejadian Suri hampir lemas di Sungai Jelai menjadi perhatian orang-orang di Kampung Mela serta kampung-kampung berhampiran. Rumah Bachik tak putus-putus dikunjungi termasuk oleh Cu Bakar dan Long Sidah, Penghulu Haji Ahmad dan anak cucunya, Zabedah dan Jamal serta ramai lagi. Samihah juga kerap berada di situ bersama-sama Rahim yang sudah menganggap Suri seperti anak mereka sendiri. Rata-rata mereka hairan bagaimana Suri terselamat daripada kemalangan akibat dihanyutkan arus deras tempoh hari. Bachik yang memang dikenali dengan sikap pendiam, langsung tidak mahu bercerita tentang kejadian itu. Dia hanya duduk bersila di pangkin berdekatan rumahnya sambil merenung jauh ke arah sungai.

Rokiah pernah bertanya kepadanya bagaimana Suri terselamat daripada menjadi korban Sungai Jelai namun Bachik hanya menggeleng-gelengkan kepala. Samihah dan Rahim pula hanya bersyukur Suri masih ada.

"Mungkin malaikat yang menarik Suri ke tebing," bisik Rahim kepada isterinya.

Apabila Suri sudah mula sihat dan kuat semula, dia juga tidak ingat apa yang berlaku. Cuma sesekali dia berkata kakinya terpijak sesuatu yang keras sedang dia tenggelam di dasar sungai.

Sidek yang turut mendengar kisah Suri hampir mati lemas, bagaimanapun, berkata Suri diselamatkan jembalang air kepada kawan-kawannya di sekolah rendah.

"Kamu pernah nampak jembalang air ke?" soal Cikgu Badrol Hisham yang terdengar perbualan anak bongsu Cu Bakar itu ketika waktu rehat.

"Tak adalah Cikgu. Tapi orang cakap penunggu Sungai Jelai yang menyampuk Bachik sehingga dia hampir bisu," jawab Sidek selamba. "Orang-orang di Kampung Temunga takut dengan Suri kerana dia juga berdamping dengan penunggu," tambahnya.

"Tapi manusia lebih bahaya daripada hantu, Sidek," balas Cikgu Badrol sebelum berlalu ke arah bilik guru.

Memang ada benarnya pandangan yang disuarakan guru muda berumur 23 tahun itu. Haiwan-haiwan di kampung ternyata lebih takutkan manusia berbanding makhluk-makhluk lain. Makhluk mana lagi yang mampu menjebak burung di hutan, menahan lukah di sungai, menjinakkan seladang serta menundukkan harimau belang dengan senapang di daerah ini?

Paling menakutkan, manusia juga mampu mendatangkan kesakitan serta kecederaan yang teruk ke atas haiwan sepertimana yang dialami Timah, lembu betina Cu Bakar setahun selepas itu.

***

Kejadian itu bermula dengan Sidek mendesak ayahnya yang hendak keluar dengan kawan-kawannya bagi memburu kancil satu malam pada bulan tiga tahun 1979. Seperti biasa, Cu Bakar enggan melayan permintaan anak bongsunya. "Tak usah merepek, Sidek. Ini kerja orang-orang tua. Lebih baik kamu jaga lembu-lembu aku," tegasnya.

Mendengar jawapan ayahnya, Sidek seperti biasa merusuh. Sewaktu kecil dahulu, sekiranya permintaannya ditolak, dia akan menghempaskan gelas susunya ke lantai. Kemudian apabila mencecah usia 9 tahun, dia mula merosakkan batas-batas sayuran yang diusahakan ibunya Long Sidah. Masuk umur 10 tahun, dia kadangkala melastik lembu-lembu ternakan ayahnya kerana kecewa apabila Cu Bakar enggan melayan tuntutannya. Kali ini dia bertindak dengan lebih dahsyat lagi.

Keesokan pagi selepas dia gagal mengikut Cu Bakar memburu, Sidek ke bangsal menggelek getah milik keluarganya. Bagi para penoreh, susu getah dikutip dari pokok ke pokok menjelang tengah hari. Di bangsal itulah juga, Long Sidah menggunakan mesin besi penggelek bagi menghasilkan getah keping daripada susu getah yang dicampur cuka (atau asid) untuk dijual kepada pemborong berbangsa Cina, Mun Loong, dengan harga tujuh puluh ringgit sepikul.

Sidek mencari-cari sesuatu di bangsal tersebut selama beberapa minit sebelum keluar dengan botol kaca. Kemudian dia menuju ke tebing sungai di mana lembu-lembu ternakan Cu Bakar sedang merumput. Sidek tahu bahawa Cu Bakar amat sayangkan seekor lembu betina yang digelarnya Timah.

Tanpa sedikitpun rasa belas kasihan, budak lelaki berusia 11 tahun itu melakukan perbuatan terkutuk dengan meyimbah cuka getah ke atas lembu kesayangan Cu Bakar lalu melarikan diri dengan serta-merta.

Timah menguak kesakitan sehingga bunyi lembu betina itu didengari di kampung seberang. Mengikut kata orang, apabila disimbah cuka getah yang sifatnya menghakis, kesakitan yang amat akan dirasai bermula dari tulang belakang di mana bisa akan mengalir di kiri kanan perut sebelum tertumpu di pusat. Ketika itu, aku yang sedang makan cacing di tebing berdekatan juga mendengar laungan menderita kesakitan dari Timah yang sememangnya amat aku kenali.

Sesampainya aku di tempat berlakunya jenayah kejam itu, kulit di belakang badan Timah telah mula melecur. Lembu betina yang gemuk itu berdengus kesakitan dan kelihatan sukar menarik nafas.

"Rapang Duit," katanya kepadaku dengan suara tersekat-sekat. "Badanku disimbah cuka oleh anak bongsu Long Sidah sebentar tadi. Aku tak akan dapat hidup lama. Aku terlalu sakit ketika ini."

"Aku tak mungkin dapat menahan sakit ini sambil menunggu saat kematianku. Kamu carikanlah jalan agar aku dapat mati dengan segera," pohon Timah sambil air mata mula bergenang kerana menderita sakit, fikirku.

Jenuh aku memikirkan cara bagi membantu rakan akrabku. Kemudian aku berkata, "Timah, aku mengenali seekor buaya jantan di sungai ini. Kamu perlu turun ke gigi air sambil aku akan minta buaya tersebut melemaskan kamu di dasar sungai."

"Ya, aku rela menjadi korban buaya daripada menderita akibat perbuatan khianat manusia," jawab Timah.

Aku lalu mengembangkan sayapku dan terbang mencari Sang Tembaga di sepanjang sungai Jelai. Selalunya di saat-saat begini, dia akan berjemur di batu-batu besar berhampiran lubuk yang agak tersorok menghala ke arah Kampung Tanjung Bungor. Ternyata jangkaanku tidak meleset. Sang Tembaga sedang terdampar sambil mulutnya ternganga lebar. Memang itulah sifat haiwan tersebut sejak zaman dahulukala lagi. Ini dilakukannya untuk menetapkan suhu badan agar kembali hangat selepas lama berendam di air. Ketika Sang Tembaga sedang berehat, dia langsung tidak menghiraukan apa yang ada di sekitarnya.

"Tembaga. Aku perlu pertolonganmu," kata ku sebaik hinggap pada batu di mana buaya itu sedang berjemur. "Rakanku Timah si lembu betina kini menderita kesakitan akibat disimbah cuka getah."

"Dia tak mampu menahan bisa cuka itu yang telah menghakis kulit dan semakin menular di dalam perutnya. Dia lebih rela mati secepat mungkin. Kamu perlu membawa Timah ke dasar sungai dan melemaskannya," ucap ku lagi.

Sang Tembaga memandang ke arah ku lalu berkata, "Di mana dia?"

"Aku memintanya menanti kamu di tebing sungai di Kampung Temunga," jawabku. "Lekas Tembaga. Aku amat kasihan melihat keadaannya."

Tembaga terus turun ke air dan meluncur menongkah arus menuju ke arah kampung di tebing sungai kira-kira empat setengah batu dari situ.

Setibanya kami di tebing sungai di Pulau Temunga, Timah sedang menanti dengan nafasnya turun naik akibat menahan kesakitan. Tembaga memandang ke arahnya lalu berkata, "Aku akan penuhi hajatmu, wahai lembu betina."

Tanpa berlengah, buaya tembaga itu menggigit kaki Timah dan mengheretnya ke air. Timah yang menguak kesakitan sempat berkata kepadaku, "Terima kasih, Burung Rapang Duit."

Lembu betina itu dilemaskan Sang Tembaga tak sampai dua minit kemudian.

Menjelang senja ketika lembu-lembu peliharaannya pulang ke kandang, Cu Bakar menyedari ketiadaan Timah. Dia mencari-cari di tebing sungai, di tepi jalan menuju ke Kuala Tembeling, di rumah pam air berdekatan kediaman penghulu dan serata tempat yang difikirkan perlu diperhati.

"Ke mana pulak Timah ni? Selalunya dia yang paling awal pulang ke kandang," bisik hatinya.

Cu Bakar turut bertanya orang-orang kampung kalau-kalau mereka terlihat lembu betina kesayangannya. Sewaktu Cu Bakar terserempak dengan Sidek yang sedang berjalan pulang daripada stesen keretapi Mela, dia turut bertanyakan perkara yang sama kepada anak lelakinya.

Sidek menjawab ringkas, "Tak tahu."

Namun terdetik di hati Sidek persoalan yang sama. Ke mana perginya lembu betina itu? Ayahnya tidak sedar pun tentang perbuatan khianat ke atas lembunya dan perkara itu menyebabkan Sidek agak kecewa.

Hikayat Suri & Sang TembagaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang