Part 17: Pemuda pulang ke desa

186 4 0
                                    


Pemuda yang pulang ke desa

Ketika Mawar hadir membantu Samihah dan Rahim di warung lalu terpalit minyak pengasih oleh Sidek, Suri sebenarnya telah pergi ke Raub bagi membuat bayaran ansuran kereta Proton Saga yang digunakan Rahim. Suri yang sudah mengenali keluarga Taukeh Lim yang terdiri daripada isteri dan tiga orang anaknya Darren, Karen dan Daniel, menemui Taukeh Lim di kediamannya di Bukit Koman.

"Buat apalah kamu susah-susah, Suri," kata Taukeh Lim. "Saya sebenarnya tak mengharap bayaran untuk kereta itu."

"Tak apalah, pakcik," balas Suri. "Abang Rahim tak sedap hati pakai kereta tu secara percuma," jelasnya sambil menghulur beberapa ratus ringgit kepada bapa saudara kandungnya itu.

Taukeh Lim dan isterinya Sarah kemudian membawa Suri makan tengah hari di Restoran Ratha yang terkenal dengan hidangan kari kepala ikan di bandar Raub. Mereka bertanya tentang keadaan Suri selepas kehilangan ayahnya. Suri berkata dia terus berdoa ayahnya masih hidup, selagi jasadnya tidak dijumpai.

"Saya tak boleh berhenti berharap dan akan terus menanti ayah kembali," jelas Suri.

Selepas makan tengah hari, Taukeh Lim dan Sarah menghantar Suri ke Kuala Lipis di mana gadis itu hendak menaiki keretapi pulang ke Kampung Mela. Kira-kira jam tiga petang, lokomotif berenjin disel tiba untuk dinaiki Suri. Tiga puluh minit di dalam gerabak keretapi yang digelar 'serindit' oleh para penumpangnya itu, Suri disapa seorang pemuda yang seakan pernah dilihatnya.

"Kamu Suri, kan?" soal jejaka berusia awal dua puluhan itu yang menggalas beg pakaian bersaiz sederhana.

Suri memandang pemuda itu. Sebelum sempat dia menjawab, pemuda itu berkata lagi, "Saya Jamal, anak saudara Mak Su Samihah. Masa kecik-kecik dulu, saya sering ke rumahnya. Saya masih ingat kamu pernah hanyut di sungai kerana saya tak mengikat perahu emak saya dengan kuat."

Jamal merupakan anak lelaki Zabedah, sepupu Samihah yang tinggal di Kampung Gemunchor di seberang Sungai Jelai. Dialah yang mengikat perahu jalur di pohon jejawi ketika Suri dihanyutkan arus deras bersama-sama perahu tersebut hampir sebelas tahun sebelum itu. Selepas mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Tingkatan Lima di sekolah berasrama penuh di Raub, Jamal ditawarkan biasiswa bagi menyambung pelajaran di negara Jerman dalam bidang kejuruteraan. Kini dia yang telah berusia 23 tahun di Tahun Akhir pengajian, dan sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Suri lantas bersuara, "Ya, saya ingat. Awak juga selalu datang membeli pisang goreng semasa kami mula membuka gerai dulu." Dia kemudian menceritakan bagaimana gerai tersebut hangus di dalam kebakaran dua hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri 1988.

"Saya balik ke rumah mak saya dua bulan sekali, sebelum kembali ke Jerman dalam bulan Julai nanti," kata Jamal ketika mereka sampai ke stesen keretapi Mela pada jam 5.30 petang. "Mungkin esok saya akan ke warung kamu untuk berjumpa Mak Su Samihah dan Pak Su Rahim," sambungnya merujuk kepada warung yang sedang diusahakan Suri. Mereka lantas meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

***

Kegagalan Sidek menggunakan ilmu pengasih minyak dagu ke atas Suri selepas beberapa kali percubaan telah menyebabkan anak bongsu Long Sidah itu tidak keruan. Dalam usaha melupakan segala rasa kecewanya, dia telah mula menggunakan pil kuda yang turut dibelinya di selatan Thailand ketika ke sana beberapa bulan dahulu. Akibat daripada menggunakan dadah tersebut, sikap Sidek bertambah agresif.

Dia lebih kerap terlibat dalam pergaduhan termasuk dengan pemilik kedai makan di mana dia bekerja sebagai pembantu sehingga terpaksa diberhentikan. Selain itu, Sidek sering mengalami gangguan tidur dan merasakan dadanya berdebar-debar kesan daripada pil terlarang itu. Sidek turut berpandangan semua orang kampung mentertawakannya gara-gara cuba menggunakan ilmu hitam ke atas Suri. Dia gusar sekiranya Ustaz Ismail akan membalas dendam akibat peristiwa di mana anaknya Mawar dicalit minyak dagu oleh Sidek tempoh hari. Namun itu semua hanya mainan perasaan Sidek semata-mata.

Suatu petang ketika duduk termenung di pinggir sungai akibat dileter Long Sidah, Bachik terlihat Chiko kera penghulu sedang bermain dengan sekawan lembu. Sidek masih ingat bagaimana usahanya hendak menggunakan ilmu pengasih ke atas Suri dipatahkan kera tersebut dengan bantuan seekor burung kelingking. Rasa marahnya terhadap kera tersebut meluap-luap. Sidek lantas mengejar Chiko si kera yang melarikan diri sehingga ke kawasan berlumpur di mana terdapat pepohon rumbia.

Chiko kemudian memanjat sebatang pokok sambil Sidek mencapai batu untuk dibaling ke arah kera tersebut. "Kera sial! Aku akan patahkan tengkuk kamu hari ini!" pekik Sidek. Tiba-tiba anak muda itu terpandang sesuatu di tebing sungai yang menyebabkan dia terlompat.

Seekor buaya tembaga sedang terdampar di tebing sambil membuka luas mulutnya. Buaya tersebut juga sempat melihat Sidek lalu cepat-cepat masuk kembali ke dalam air. Sidek menjadi manusia kedua di Kampung Temunga yang terserempak dengannya di Sungai Jelai selepas Bachik. Anak Long Sidah itu lantas berlari ke rumah Tok Penghulu untuk menceritakan penampakan sang buaya. Ketika itu, Penghulu Ahmad sedang duduk di serambi rumah selepas makan tengah hari.

"Tok Penghulu," kata Sidek dengan cemas. "Saya baru nampak buaya di tebing sungai. Saya risau esok lusa akan ada orang kampung yang mati dibaham buaya. Jadi, saya nak pinjam senapang Tok Penghulu untuk memburunya."

"Bertenang, Sidek," balas Penghulu Ahmad. "Cuba cerita di mana kamu nampak buaya tu?"

Sidek lantas menceritakan apa yang berlaku kepada ketua mukim tersebut.

"Baiklah," Penghulu Ahmad bersuara. "Saya akan minta beberapa orang kampung ke sungai bagi memeriksa sekiranya benar ada buaya di sungai kita."

Sebilangan orang kampung bagaimanapun tidak percaya dengan dakwaan Sidek. Mereka berpandangan dia hanya mereka-reka cerita bagi meminjam senapang penghulu. Mereka bagaimanapun menurut arahan Tok Penghulu bagi mengesan buaya tembaga di Sungai Jelai. Petang itu, seramai empat ke lima orang dengan jala dan dua laras senapang turun ke sungai bagi memeriksa. Mereka berperahu sehingga ke Kuala Tembeling namun sang bedal yang dicari tidak juga ditemui.

***

Suri menantikan Tembaga di tebing Sungai Jelai. Setahun sebelum kehilangannya, Bachik telah menceritakan kepada Suri tentang perjanjian yang dibuat dengan seekor buaya tembaga yang terperangkap di pukat. Suri masih ingat pesan ayahnya itu bahawa buaya tersebut perlu bertemunya sekiranya ayahnya tiada.

Dia berjalan sendirian menuju ke arah sungai. Setibanya di tebing, gadis itu menabur helaian kelopak bunga seroja bagi memanggil haiwan dua alam itu. Dia kemudian mengocak air dengan tangannya. Selepas menunggu selama beberapa minit, buaya tersebut dilihat meredah sungai menuju ke tebing yang berlumpur lalu menampakkan dirinya kepada Suri.

Gadis tersebut lantas bersuara, "Sang buaya, aku memanggilmu kerana perjanjian yang kamu buat dengan ayahku, Pawang Bachik. Aku mendapat tahu bahawa kamu telah dilihat manusia beberapa hari lalu."

"Benar," balas Tembaga. "Dan menurut perjanjianku dengan ayahmu, aku perlu berundur dari sungai ini."

"Jadi bila akan kamu berundur?" tanya Suri.

"Secepat mungkin. Orang-orang kampung telah mula mencari di sepanjang sungai. Lambat-laun mereka tentu menjumpaiku," jawab Tembaga.

Suri sedar bahawa buaya itu belum membaham manusia di Sungai Jelai kerana airnya masih belum tercemar teruk. Menurut Bachik, buaya hanya menjadi ganas sekiranya habitatnya musnah sehingga menyulitkan usahanya mencari makanan seperti ikan, udang, burung dan babi hutan.

"Aku mahu kamu menangguh dahulu pemergianmu," ujar Suri sambil memandang tepat ke arah haiwan pemangsa tersebut.

"Apa maksudmu, wahai anak pawang buaya?" soal buaya tembaga itu.

"Aku mahu kamu mencari ayahku yang hilang di sungai ini. Kamu diberi tempoh setahun bagi melakukannya. Sekiranya dalam tempoh itu, kamu tak berjaya maka aku benarkan kamu berundur dari Sungai Jelai," jelas anak gadis berusia 17 tahun itu.

"Baiklah anak pawang buaya. Aku akan laksanakan permintaanmu," jawab Tembaga sebelum masuk semula ke dalam air dan berlalu.

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now