Beberapa jam selepas Tembaga melemaskan Timah lalu meratah dagingnya, buaya jantan itu kembali terdampar di batu yang tersorok di tepi sungai. Aku hinggap di ranting pohon tak jauh darinya sambil fikiranku masih teringatkan lembu betina itu yang telah dianiaya manusia. Mengapa manusia berkata perbuatan jahat bersifat 'kebinatangan' sedangkan perangai manusia jauh lebih teruk daripada haiwan?
Haiwan tidak pernah menganiaya sesama haiwan selain menurut rantaian hidup yang telah ditentukan alam. Sang Tembaga, misalnya, mungkin dianggap haiwan pemangsa ganas oleh manusia tetapi seperti hidupan lain, hanya makan untuk hidup di samping memainkan peranan penting bagi persekitaran. Bahkan buayalah yang perlu takutkan manusia yang telah menyebabkan kepupusan mereka dek kerana sikap tamak haloba manusia. Sejak berpuluh-puluh tahun buaya-buaya di negeri ini tak kira jantan betina, besar atau kecil telah diburu serta ditangkap manusia lalu kulit mereka disiat untuk dijadikan barang perhiasan. Ketika aku masih marah kerana Timah diperlakukan sebegitu rupa oleh Sidek, bicara Sang Tembaga mengejutkan aku.
"Rapang Duit, beberapa bulan lalu aku menyelamatkan anak kecil dari mati lemas di sungai ini," katanya.
"Jadi kamulah yang selamatkan Suri rupanya," sahutku yang telah hampir terlupa tentang kejadian yang berlaku ke atas anak perempuan yang tinggal di Kampung Temunga itu.
"Anak nelayan itu bernama Suri? Benar, aku melihat dia hampir lemas ketika terjun dari perahu lalu membawanya ke tebing," terang Sang Tembaga.
"Mengapa kamu menyelamatkan manusia? Sedangkan mereka membunuh nenek moyangmu yang tinggal di sungai ini beratus-ratus tahun dahulu," tanya aku yang masih marah dengan perbuatan manusia.
"Kerana ku anggap ayahnya istimewa. Aku kadangkala memerhatinya ketika dia sedang menangkap ikan di sungai ini. Tak seperti nelayan-nelayan lain yang ku temui, dia hanya mengambil ikan-ikan dewasa sambil anak-anak ikan yang terperangkap di dalam jalanya dilepaskan kembali. Dia tak pernah menggunakan racun akar tuba, jauh sekali bahan peledak, walaupun ketika hasil tangkapannya tak seberapa."
"Jadi anak itu bernama Suri," tambah buaya itu, lalu bercerita tentang saat dia terserempak dengan Bachik dan Mak De di sungai sejurus sebelum Suri dilahirkan.
"Ada sesuatu mengenai nelayan itu yang menarik perhatianku," kata Sang Tembaga tanpa mengulas panjang.
Sejujurnya, sudah agak lama aku tidak mengikuti perkembangan Suri. Dia telahpun bersekolah dalam Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan Mela dengan murid-murid lain yang sebaya dengannya. Sidek juga menuntut di sekolah yang sama di dalam Darjah Lima. Di sekolah, Sidek memberitahu kawan-kawannya bahawa Suri seorang budak yang pelik kerana gemar berdamping dengan haiwan termasuk lembu dan kambing ternakan orang kampung, kera penghulu bernama Chiko, burung kelingking yang sering berehat pada dahan pohon kekabu di Kampung Temunga serta seekor burung Rapang Duit yang kerap mencari makanan di belakang rumahnya (akulah yang dimaksudkan di sini). Aku langsung tak nampak peliknya perkara itu kerana hubungan manusia dengan haiwan telah terjalin sejak sekian lama.
Selain itu, Sidek mereka-reka cerita bahawa Suri dijaga jembalang kerana terselamat dari menjadi korban arus deras Sungai Jelai tak lama dahulu.
Anak perempuan Bachik dan Rokiah itu sedikitpun tak mempedulikan cerita-cerita yang diilhamkan Sidek. Selesai waktu persekolahan, dia akan pulang bersama-sama Samihah yang menunggunya di pintu pagar sekolah lalu singgah makan tengah hari di rumah penjaganya itu. Kemudian Suri akan ke bangsal menggelek getah untuk membantu ibunya Rokiah. Selepas waktu solat Asar, dia akan belajar mengaji di rumah Ustaz Ismail yang terletak berhampiran Masjid Mela di Kampung Durian Anggang kira-kira 20 minit berjalan kaki dari rumahnya.
Selain mendidik anak-anak mengenal huruf dan mengajar ilmu tajwid yakni tanda-tanda bacaan dalam setiap ayat Al-Quran, ustaz berusia dalam lingkungan empat puluhan yang telah kematian isterinya itu juga sering bercerita kisah-kisah yang terkandung di dalam kitab suci tersebut, termasuk mengenai beberapa jenis burung.
"Allah telah mengutus burung-burung untuk menghancurkan angkatan tentera bergajah," katanya pada satu petang. "Allah juga telah menghantar burung untuk mengajar manusia cara menguruskan jenazah dengan menanamnya," tambahnya lagi sebelum menerangkan kepada anak-anak muridnya dengan lebih terperinci.
Kisah haiwan-haiwan lain seperti gajah, keldai, nyamuk, lebah dan semut, yang sememangnya amat digemari Suri turut dikongsi ustaz itu.
Sidek juga dimasukkan ke kelas mengaji kendalian Ustaz Ismail oleh Long Sidah. Bagaimanapun Sidek selalu ponteng kerana langsung tidak berminat mengaji mahupun mendengar cerita yang diselang-selikan dengan teladan.
"Alah! Ustaz Ismail bukan sehebat Pawang Hassan dari Bera yang boleh bercakap dengan harimau ataupun Dukun Berahim dari kampung seberang yang mencari orang hilang di hutan dengan biji kelapa," kata Sidek kepada kawan-kawannya yang lebih senang duduk di kedai Mela.
"Dia bukannya tahu jampi macam Tok Teri yang memimpin kumpulan Main Puteri, jauh sekali mentera-mentera untuk menanam benih padi, mengusir babi, memusing angin, memanis muka dan memikat hati kaum wanita," tambahnya lagi.
"Hai mambang tanah, mambang air, mambang api, mambang angin, mambang berasal dari gunong si-mambang. Berdampinglah denganku wahai si-mambang. Hanya itulah pesanku wahai mambang!" celah seorang kawan Sidek bernama Labu, membuat lawak lalu mereka ketawa berdekah-dekah.
Selain kerap ponteng kelas mengaji, Sidek juga jarang sekali ke sekolah terutama di tahun terakhirnya di Sekolah Kebangsaan Mela. Pada satu pagi di penggal kedua persekolahan, Cikgu Badrol yang mengajar matapelajaran ilmu hisab atau matematik menegur Sidek. "Apa nak jadi dengan kamu ini? Malas betul kamu ke sekolah," soal cikgu kelas 6 Dokong itu.
"Saya nak jadi mekanik, Cikgu. Macam abang long yang membuka bengkel motosikal di Kuala Lipis. Dia tak belajar tinggi tapi senang jugak. Tak lama lagi dah nak menikah," balas Sidek sambil merujuk abang sulungnya yang telah berusia 20 tahun ketika itu.
Jelani ada balik ke kampung halaman beberapa minggu sebelum itu bagi memberitahu kedua orang tuanya bahawa dia hendak mengahwini gadis pilihannya daripada Kampung Telang di Kuala Lipis. Cu Bakar dan Long Sidah menurut sahaja pilihan anak teruna mereka itu kerana menganggap dia sudah mampu membuat keputusan sendiri. Selain itu, hubungan Jelani dengan gadis tersebut sudah seperti suami isteri.
Istiadat pertunangan Jelani dengan pasangannya berjalan dengan lancar dalam bulan lapan tahun 1980 dengan kedua-dua belah pihak bakal pengantin lelaki dan perempuan bersetuju agar majlis pernikahan dilangsungkan enam bulan selepasnya.
Setiba hari perkahwinan, rombangan bakal pengantin lelaki terdiri daripada sanak-saudara Cu Bakar dan Long Sidah yang menaiki keretapi dari Jerantut, Kampung Mela, Limau Purut dan Kerambit berkumpul di Kampung Telang menantikan ketibaan jurunikah atau tok kadi yang bakal menikahkan Jelani dengan gadis pilihannya yang bertugas sebagai kerani di Pejabat Tanah Kuala Lipis. Rasid yang telah tamat persekolahan peringkat menengah dan bakal memasuki Maktab Perguruan di Tanjung Malim di negeri Perak juga hadir sebagai pengapit kepada Jelani. Agak lama juga mereka menantikan kehadiran tok kadi itu yang khabarnya perlu menikahkan pasangan lain di kampung berhampiran.
Sesampainya tok kadi, rombongan pengantin lelaki pun naik ke rumah bakal pengantin perempuan untuk majlis akad nikah. Sebelum pasangan tersebut diijabkabulkan, tok kadi meminta Jelani melafazkan dua kalimah syahadah.
"Asyhadu ala ilaaha illAllah, wa asyhadu anna Muhammaddar rasulallah," ucap Jelani dengan suara tersekat-sekat. Tok kadi kemudian meminta Jelani membacakan Al-Fatihah pula.
Jelani yang kurang lancar membaca Al-Fatihah mula resah. Agak lama dia memerhatikan tok kadi serta orang-orang lain di sekelilingnya. Tok kadi sekali lagi menggesa Jelani membaca Ummul Kitab itu. Jelani yang gelisah kemudian naik angin lalu mengangkat tangannya dan menempeleng muka tok kadi. Habis tergamam semua orang yang menyaksikan peristiwa itu termasuk Cu Bakar, Long Sidah, Rasid serta Sidek.
"Bodoh punya tok kadi!" herdik Jelani. "Aku nak kahwin, kamu tanya soalan pelik-pelik buat apa?" teriaknya sambil bangun dan berlalu pergi. Dengan peristiwa itu maka terbatallah majlis perkahwinan anak sulung Cu Bakar.
Mendengar berita Jelani menempeleng tok kadi, Ustaz Ismail mengeleng-geleng kepala lalu berkata, "Masa nak menguruskan jenazah nanti, ustaz juga yang kita cari."
YOU ARE READING
Hikayat Suri & Sang Tembaga
FantastiqueSINOPSIS SST Kali terakhir kami sekeluarga pulang ke kampung, Abang Rahim berkata seorang nelayan sungai terjumpa parang panjang yang terukir nama ayah di bilahnya. Nelayan tersebut akan menyerahkan parang tersebut kepada Abang Rah...