Tersungkur

175 7 0
                                    


copyrighted material

"Semasa berumur 4 tahun, saya mengalami demam panas. Masa itu emak saya sedang sarat mengandungkan adik saya," Lim mula bercerita tentang kisah hidupnya. "Ayah saya Lim Soon Kong, yang digelar Ah Kong di kalangan orang-orang Melayu, mengusahakan kebun sayur di Kuala Lipis. Dia tak punyai banyak wang bagi mendapatkan rawatan perubatan untuk saya."

"Jadi ayah saya meminta jasa baik rakannya, seorang pemborong sayur di Raub bernama Yeap Bah Yam bagi menghantar saya ke hospital."

"Selama dua bulan saya terlantar sakit. Setelah saya beransur pulih, Taukeh Yeap mahu menghantar saya pulang kepada keluarga kandung di Kuala Lipis. Tetapi apabila kami sampai di rumah, ayah dan emak saya telah tiada. Orang-orang yang tinggal berdekatan berkata mereka baru sahaja melarikan diri ke hutan untuk berjuang dengan MPAJA," tambah Lim Eng Teng lagi, yang diambil Yeap sebagai anak angkat selepas peristiwa tersebut.

Menurut Lim Eng Teng, pada mulanya dia tak tahu bahawa adiknya diserahkan kepada pasangan Imam Ngah dan Hajjah Puteh. Namun kira-kira setahun lepas, dia bertemu dengan pemborong getah keping di daerah ini, Mun Loong, yang menceritakan tentang kematian Rokiah yang dahulu mengambil upah menoreh di kebun getah Penghulu Haji Ahmad.

Mun Loong berkata, arwah Rokiah merupakan anak angkat pasangan dari Jeram Landak yang lahir sekitar 1942. Ibubapanya penanam sayur berbangsa Cina yang telah menyertai MPAJA semasa pendudukan Jepun di Malaya.

"Jadi saya datang ke sini bagi mencari keluarga adik kandung saya, arwah Rokiah. Tetapi orang kampung di stesen keretapi ini memberitahu bahawa suaminya Bachik pendiam orangnya. Saya pun bertanya tentang jiran Bachik dan dari situ, saya mengenali Rahim, suami kamu," kata Lim Eng Teng sambil memandang ke arah Samihah.

Menurut peniaga dari Raub itu lagi, dia kerap bertanya Rahim tentang perkembangan keluarga arwah Rokiah. Sambil itu Lim Eng Teng juga berkata, setiap kali bertemu Rahim, dia menyumbang sedikit wang agar makan minum Bachik, Suri, serta Rahim dan isterinya Samihah terjaga.

Mendengar penjelasan pemborong sayur tersebut, barulah Samihah berasa tenang. "Kita kena ke rumah Penghulu Ahmad untuk memberitahunya cerita Encik Lim," ujarnya.

Sejurus kemudian, mereka bertiga ke rumah Penghulu Haji Ahmad. Selepas mendengar cerita daripada Lim Eng Teng, ketua mukim Cheka itu membawa Samihah, Suri dan pemborong sayur itu dengan keretanya ke balai polis Mela.

Rahim dibebaskan sebaik sahaja kisah sebenar tentang 'wang derma' yang diterimanya diperjelaskan kepada pihak berkuasa. Sambil itu, Rahim juga berkata bahawa dia ingin menolong pihak polis menangkap pencuri sebenar yang masih berleluasa.

Sebelum Taukeh Lim dari Raub pulang dengan keretapi petang itu, dia sempat berkata kepada Suri, "Kamu anak saudara saya. Sekiranya kamu perlukan apa-apa, jangan malu mintak tolong dari saya."

"Kalau kamu mahu masuk sekolah semula atau mahu belajar apa-apa, beritahu saya," pesan pemborong sayur itu lagi.

***

Suatu petang ketika aku bertemu Sang Tembaga bagi mencungkil makanan yang terselit di celah giginya, buaya tersebut turut menceritakan kisah pada malam sebuah rumah di tebing Kampung Temunga dimasuki pencuri. Katanya, dia berada di sungai dan ternampak kelibat dua lelaki berlari di tebing. Lelaki kedua yang bertubuh kecil seakan mengejar lelaki pertama, yang menurut Sang Tembaga, bertubuh tinggi.

"Lelaki bertubuh tinggi itu bagaimanapun menyorok di belakang pokok jejawi, sedang lelaki kecil itu kelihatan seperti menahan kesakitan, mungkin kerana terpijak duri," kata buaya itu yang mampu melihat jelas di dalam gelap kerana memiliki anak mata yang tegak seakan kucing.

Beberapa bulan selepas kejadian rumah Penghulu Haji Ahmad dipecah masuk, pencuri menyerang sekali lagi ketika umat Islam di Kampung Mela sedang bersiap untuk menyambut Hari Raya Korban. Mungkin kerana pada masa itu ramai perantau yang pulang ke desa bagi meraikan hari kebesaran tersebut, maka kutipan tabung masjid semasa solat Jumaat agak banyak berbanding minggu-minggu sebelumnya.

Pencuri tersebut memecah masuk kira-kira jam 12 tengah malam melalui tingkap sisi dan cuba melarikan tabung kutipan masjid. Namun pada waktu itu, Ustaz Ismail yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari menghadiri majlis tahlil di kampung seberang ternampak kelibat penceroboh di ruang solat masjid.

"Hei! Apa kamu buat tu?" sergah Ustaz Ismail sambil menghalakan lampu picitnya ke arah masjid.

Mendengar sergahan itu, si penceroboh yang bertubuh tinggi lampai cuba meloloskan diri dengan berlari ke arah semak samun berhampiran landasan keretapi. Namun Ustaz Ismail yang merupakan seorang yang aktif bersukan di zaman muda, dengan mudah dapat mengejarnya. Pencuri lantas cuba menyerang Ustaz Ismail apabila mendapati dirinya terperangkap. Pada masa itulah juga, Ustaz Ismail dapat melihat wajah pencuri tersebut dengan jelas.

"Jelani? Kamu rupanya yang mencuri di kampung ini?" soal Ustaz Ismail. Dengan sepantas kilat juga dia menerpa ke arah Jelani dan merebahkan anak sulung Cu Bakar yang bertubuh tinggi itu.

Jelani bangkit dan cuba melepaskan tumbukan padu ke muka Ustaz Ismail namun guru agama itu bergerak seakan pahlawan Melayu terbilang dari negeri Pahang. Serangan Jelani dipatahkan dengan mudah sambil ustaz itu menghadiahkan tendangan kencang dengan lututnya ke dada dan muka Jelani. Jelani yang dahulu bercakap besar kerana pernah menempelang tok kadi di Kampung Telang kini ditundukkan seorang guru agama di Kampung Mela. Dua batang giginya patah sambil Jelani tersungkur ke bumi.

Anggota polis yang dimaklumkan oleh pihak masjid lantas menahan anak Cu Bakar itu dan keesokan harinya dia dihantar ke lokap Balai Polis Jerantut. Menurut cerita orang-orang kampung, selepas perniagaan bengkel motosikalnya tutup, Jelani bekerja sebagai pemandu pelancong ke Taman Negara. Hanya Sidek seorang sahaja ahli keluarga yang tahu perkembangan itu kerana adakalanya Sidek membawa pelancong-pelancong dari stesen keretapi di Jerantut ke jeti Taman Negara untuk bertemu Jelani.

Kerana tabiat Jelani yang gemar berjudi, dia dibebani hutang yang menggunung yang menyebabkannya memilih untuk terjebak dalam kancah jenayah. Mendengar kisah Jelani, Ustaz Ismail berkata, "Kita mesti ada pendidikan agama bagi menghindar daripada melakukan kerosakan kepada diri sendiri serta orang di sekeliling."

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now