Penceroboh di awal pagi

185 6 0
                                    


copyrighted material

Mendengar kisah Rasid enggan menurut rancangan Long Sidah lantas berkahwin lari di sempadan dengan kekasihnya Jamilah, Suri turut berasa lega. Masih banyak yang mahu dilakukan anak gadis itu bagi membantu Bachik mencari rezeki.

Dua tahun selepas Rokiah meninggal dunia, Suri semakin gigih membantu ayahnya. Dia menoreh di kebun pada pagi hari, berada di bangsal menggelek getah keping ketika tengah hari dan ke rumah Samihah pada sebelah petang untuk belajar membuat kuih-muih yang kemudiannya dijual kepada Long Sidah yang berniaga ke pekan sehari. Kalau ada kelapangan, Suri akan ke masjid bagi mengikuti kelas mengaji dengan Ustaz Ismail.

Hasil titik peluhnya, Suri mampu meraih pendapatan sehingga tiga ke empat ratus ringgit sebulan. Dia menyimpan kira-kira tiga puluh ringgit setiap bulan, sementara wang selebihnya digunakan untuk membeli barangan keperluan dapur, ubat-ubatan buat Bachik serta dihulurkan seratus dua ratus ringgit kepada ayahnya itu.

Pada usia empat belas tahun, Suri nampak lebih matang berbanding anak-anak perempuan yang sebaya dengannya. Tutur katanya tidak kebudak-budakan dan seperti ayahnya, Suri agak pendiam. Dia cuma bercakap apabila perlu tetapi kelihatan amat selesa apabila bersama-sama Samihah dan Rahim yang telah dikenalinya sejak dahulu.

Suri belajar menyediakan pelbagai hidangan daripada Samihah termasuk kuih-muih tradisional, nasi impit, sambal hitam Pahang dan kini mereka berdua mengusahakan perniagaan kecil-kecilan. Selain menjual kepada Long Sidah, Suri kadangkala menerima tempahan daripada pihak Sekolah Kebangsaan Mela terutamanya melalui Cikgu Badrol untuk menyediakan kuih sekiranya ada mesyuarat atau acara-acara tertentu termasuk Hari Sukan.

Samihah bersyukur kerana pendapatannya agak baik selepas sama-sama menjual kuih dengan Suri. Suaminya Rahim masih meneruskan kerja menjaja hasil-hasil hutan namun kehidupan mereka suami isteri tidaklah susah sepertimana ketika mula-mula berpindah ke Kampung Temunga. Kadangkala Samihah hairan juga bagaimana wang mereka mencukupi bagi membeli keperluan harian yang seringkali dikongsi dengan Suri dan Bachik.

"Adalah sedikit rezeki kita," ujar Rahim apabila Samihah melihat dia membeli barang-barang makanan termasuk ikan sardin dalam tin, kicap pekat cap 'kuda terbang', biskut, gula, kopi dan sebagainya. Kalau dahulu, mereka berdua hanya makan nasi dengan telur goreng yang ditambah kicap sahaja.

Dalam pada itu, Rahim kerap dilihat berjumpa dengan seorang lelaki Cina dalam lingkungan pertengahan usia di stesen keretapi Mela. Apabila ditanya Samihah siapa lelaki tersebut, Rahim menjawab, "Taukeh dari Kuala Lipis. Kawan lama."

Anehnya walaupun mereka tidak semewah mana jika dibanding dengan beberapa orang lain di kampung, namun ada juga yang sakit hati melihat kebahagiaan Rahim dan isteri. Lantaran itu terdengar suara-suara sumbang yang mendakwa Rahim mencuri dan menjual hasil curian kepada lelaki Cina tersebut.

Awal pagi sekitar bulan Julai 1986 yang juga bulan Ramadhan bagi sekelian umat Islam, penduduk di Kampung Temunga kecoh apabila rumah Penghulu Haji Ahmad dimasuki pencuri. Kejadian berlaku sejurus sebelum penghulu Mukim Cheka itu dan isterinya bangun untuk bersahur. Lantai rumah mereka yang sememangnya terdapat bukaan khas untuk turun ke tanah telah diumpil. Barangan kemas isteri penghulu serta wang kertas bernilai beberapa ratus ringgit telah dilarikan. Isteri penghulu Hajjah Beduyah yang bangun sekitar jam 4.30 pagi untuk ke dapur, bagaimanapun, nampak sosok pencuri itu sedang melarikan diri. Mengikut gambaran yang diberi isteri penghulu, pencuri tersebut bertubuh kecil.

Pada masa yang sama, Rahim keluar kerana ingin mengajak Bachik dan Suri makan sahur di rumahnya. Samihah telah menyediakan nasi dengan lauk telur dadar, ikan sardin dalam tin yang digoreng, sayur cekur manis serta colek sambal tempoyak. Semasa berjalan ke arah rumah Bachik, Rahim terdengar bunyi tapak kaki di sekitar rumah Penghulu Ahmad yang terletak tidak jauh dari rumah Bachik.

Mengesyaki sesuatu yang buruk sedang berlaku, Bachik lantas pergi memeriksa sambil menghalakan lampu picitnya ke arah rumah penghulu. Kehadiran Rahim mungkin mengejutkan penceroboh tadi yang terus berlari ke arah tebing sungai. Rahim cuba mengejarnya namun pada pagi yang gelap pekat sebegitu, si penceroboh berjaya meloloskan diri. Tali selipar Rahim pula putus dan sebelah seliparnya tercicir. Pada masa yang sama terdengar laungan isteri penghulu memecah keheningan pagi, "Pencuri! Pencuri!"

Keesokan harinya, beberapa orang kampung yang diketuai Cu Bakar dan anaknya Sidek datang ke rumah Rahim sebelum waktu solat Zohor. "Rahim! Lekas turun. Kami nak berjumpa dengan kamu," laung Cu Bakar.

Kebetulan hari itu Rahim tidak keluar rumah kerana kakinya luka terpijak duri dalam kejadian awal pagi tersebut.

"Ada apa, Cu?" sahut Rahim apabila melihat kira-kira lima orang menantinya di bawah tangga rumah.

"Semalam kamu ke mana? Ini selipar kamu?" soal Cu Bakar sambil mengangkat sebelah selipar yang talinya putus.

"Ya..." jawab Rahim namun sebelum dia bercerita apa yang berlaku, Sidek terus meninggikan suara.

"Dah cakap dah! Dia ni lah yang pecah masuk rumah penghulu pagi tadi!

"Kan penghulu cakap orang yang pecah masuk rumahnya berbadan kecil," tambah Sidek lagi merujuk kepada sosok tubuh Rahim dengan ketinggian 5 kaki 3 inci.

Rahim tergamam kerana tidak menyangka tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. Dia cuba menjelaskan apa yang berlaku tetapi di kalangan orang-orang kampung yang kebanyakannya mempunyai pertalian keluarga, Rahim dianggap 'orang luar' yang mereka kurang percayai.

Orang-orang yang datang ke rumahnya diketuai Cu Bakar mendesak agar Rahim mengaku memecah masuk ke rumah tok penghulu.

"Lebih baik kamu mengaku Rahim! Kalau tidak, teruk kamu dikerjakan nanti," gertak Cu Bakar. Sidek yang berada di sebelah ayahnya seperti tak sabar-sabar hendak 'mengerjakan' Rahim.

Sebelum keadaan menjadi bertambah tegang, Penghulu Haji Ahmad tiba dengan seorang anggota polis bagi meredakan suasana. Rahim diminta anggota polis tersebut agar mengikutnya ke pejabat polis di pekan Mela bagi membantu siasatan. Samihah yang ketika itu baru pulang dari mengunjungi Suri di bangsal melihat Rahim dibawa pergi dengan kereta penghulu. Dia menitiskan airmata apabila mendapat tahu tuduhan yang dilempar terhadap suaminya.

Petang itu, Samihah mengajak Suri menemaninya ke pejabat polis di mana Rahim ditahan untuk membawakan sedikit bekal. Samihah bagaimanapun mahu ke kedai terlebih dahulu kerana hendak membeli ubat luka buat suaminya. Melintasi stesen keretapi, Samihah terlihat lelaki Cina yang didakwa Rahim sebagai kawan lama. Dia lantas meluru ke arah lelaki itu.

"Heii! Apa urusan kamu dengan suami aku? Kamu tahu tak dia dah ditahan polis kerana dituduh mencuri? Siapa kamu ni sebenarnya?" jerit Samihah.

Lelaki berbangsa Cina yang berusia dalam lingkungan 50 tahun itu meminta Samihah bertenang. "Sabar. Jangan menjerit. Saya tak tahu Rahim ditahan polis. Macam mana boleh jadi begini?" soalnya.

Suri menceritakan bahawa Rahim dituduh mencuri serta didakwa menjual hasil curian kepada lelaki Cina itu.

"Sekarang kamu cakap. Kamu ni siapa?" herdik Samihah lagi. Lelaki Cina itu lalu memulakan ceritanya.

"Nama saya Lim Eng Teng. Saya pemborong sayur dan pengusaha restoran dari Raub. Masa kecil dahulu, saya diserahkan ibubapa kandung saya kepada satu keluarga di sana manakala adik perempuan saya diletak di bawah jagaan pasangan Melayu di Jeram Landak," ujarnya.

Memandang ke arah Suri, lelaki Cina itu berkata, "Adik perempuan saya itulah emak kamu, arwah Rokiah."

Samihah dan Suri masing-masing tergamam mendengar kisah lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Lim itu.

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now