(abridged) Part 18: Kumbang & Bunga

200 6 0
                                    



Kumbang dan bunga

Jamal berkunjung ke Warung Rokiah beberapa kali sebelum dia berlepas ke luar negara untuk penggal terakhir pengajiannya. Setiap kali dia tiba, Samihah menyambutnya dengan senyuman sambil menyediakan anak saudaranya itu sarapan pagi. Kadang-kala Jamal meluangkan masa hampir sejam dua di kedai makan itu berbual dengan Rahim.

"Kamu sudah ada teman wanita di universiti?" tanya Rahim secara bersahaja memandangkan Jamal sudah berusia 23 tahun.

"Belum ada," kata Jamal walaupun sukar bagi Rahim mempercayai bahawa anak saudaranya yang kacak itu tidak memiliki peminat dari kalangan gadis-gadis seusia dengannya.

"Saya lebih menumpukan kepada pengajian, Pak Su," tambah Jamal lagi.

Sebelum pulang, Jamal akan menjenguk ke dapur kedai bagi mengucapkan selamat jalan kepada Samihah. Dia juga sempat menguntumkan senyuman ke arah Suri.

Suatu hari yang juga kali terakhir Jamal ke warung tersebut sebelum dia berlepas ke Jerman, matanya mencari-cari Suri dalam kesibukan kedai yang sarat dengan pelanggan di waktu makan tengah hari. Jamal ternyata kagum dengan kegigihan gadis semuda itu mencari rezeki. Selain itu Jamal juga tertarik dengan keayuan Suri, yang pernah diamatinya dari jauh di majlis perkahwinan Cikgu Badrol beberapa tahun sebelum itu.

Jamal telah jatuh hati dengan anak gadis berusia 17 tahun itu. Senyuman Suri walau di saat kepenatan membuatkan Jamal terpana. Kelibat Suri seolah-olah memberikan kebahagiaan baginya. Lantas, Jamal menantikan saat yang sesuai bagi merapati Suri yang sedang bermandi minyak dan tepung di dapur.

"Suri," tegur Jamal. "Saya nak balik ke Jerman dua tiga hari lagi. Tapi saya ada sesuatu nak cakap dengan awak."

Rasa gemuruh menguasai diri pemuda tersebut apabila Suri menoleh ke arahnya.

"Sebenarnya saya mahu lebih mengenali awak. Itupun kalau awak sudi," ujar Jamal. Tempoh menantikan jawapan dari mulut gadis tersebut dirasakan begitu lama olehnya sebelum akhirnya Suri bersuara.

"Kalau sekadar berkawan, apa salahnya?" jawab anak gadis itu tenang.

Jamal melangkah keluar dari dapur Warung Rokiah dengan hati yang teramat gembira.

Sekembalinya Jamal ke universiti di Jerman, dia mula berutus surat dengan Suri. Seakan ada keserasian di antara mereka dengan Jamal dan Suri masing-masing berkongsi minat membaca. Sedikit demi sedikit, timbul kemesraan di hati kedua anak muda itu. Kadangkala Jamal menghantar novel-novel tempatan yang telah selesai dibacanya seperti "Ranjau Sepanjang Jalan", "Merpati Putih Terbang Lagi", serta "Hikayat Faridah Hanum" kepada Suri.

Suri mencuri-curi masa di warung bagi membaca novel-novel tersebut selain membalas kiriman Jamal. Pada suatu hari di bulan Februari tahun 1990, setelah hampir sebulan Jamal tidak mengutus surat, Suri menerima warkah yang agak panjang yang ditulis Jamal. Di dalamnya, selain bertanya khabar dan menceritakan perkembangannya di Jerman, Jamal turut meluahkan perasaan cintanya terhadap gadis itu.

"Saya ikhlas menyukai Suri," tulis Jamal. "Sekiranya hati Suri belum dimiliki, saya ingin mencurahkan kasih, itupun andainya Suri sudi."

"Saya telah lama mengimpikan gadis seperti Suri yang tabah dan gigih bagi mengisi taman hati. Saya juga mengakui terpesona dengan keayuan wajah Suri yang lembut bagaikan sutera."

"Sekiranya Suri tidak keberatan, saya akan berbincang dengan keluarga saya bagi menghantar rombongan merisik sekaligus meminang Suri, sekembalinya saya ke Malaysia selepas menamatkan pengajian di sini Mei nanti."

Jamal mengakhiri surat tersebut dengan berkirim salam kepada Samihah dan Rahim.

Suri tersenyum setelah habis membaca warkah tersebut. Sememangnya dia juga menyanjungi Jamal yang dilihatnya berbudi pekerti dan banyak menasihati di dalam pelbagai perkara. Namun Suri tidak yakin sama ada dia layak menerima cinta pemuda itu.

***

Fikiran Sidek semakin bercelaru sejak dia ternampak kelibat buaya tembaga di tebing sungai berhampiran rumahnya. Hasratnya untuk meminjam senapang kepunyaan penghulu bagi memburu buaya tersebut ditolak mentah-mentah. Maka Sidek merancang menggunakan umpan bagi memerangkap sang buaya. Dia mahu penduduk kampung memandang tinggi kemampuannya menundukkan haiwan pemangsa tersebut. Labu dan Bulat bagaimanapun tidak lagi bersama-samanya.

Hampir setiap hari Sidek memasang perangkap di sungai menggunakan ayam orang kampung yang dicuri sebagai umpan. Sesekali dia juga menggunakan anjing liar yang ditangkapnya.

"Aku tahu kau ada dalam sungai ini, sang buaya," bisiknya sendirian. "Lambat-laun kau akan tumpas di tanganku. Kulitmu akan ku jual dan dagingmu akan ku mamah nanti," kata Sidek yang percaya amalan memakan daging buaya akan menyebabkan tubuhnya kebal. Dia tidak dapat melupakan peristiwa ayahnya tertembak diri sendiri.

Sang Tembaga bagaimanapun tidak masuk ke perangkap yang dipasang Sidek kerana lebih banyak mengisi masa mencari jasad Bachik di sepanjang sungai.

"Mengapa kamu tidak beredar saja dari sini?" soalku kepada Tembaga pada satu petang. Buaya tersebut telah lama mendiami Sungai Jelai dan mungkin sudah tiba masa bagi ia kembali ke tempat asalnya atau berhijrah ke tempat lain, fikirku.

"Aku memang berniat untuk pergi," jawab Tembaga. "Cuma usahaku untuk mencari jasad nelayan itu sekadar hasrat terakhir Suri yang aku perlu penuhi."

"Rapang Duit, di dasar sungai berhampiran Pulau Temunga, aku terlihat parang panjang yang bersinar terang. Aku bimbang menghampirinya namun aku yakin parang itu kepunyaan Pawang Bachik."

"Sebelum meninggalkan sungai ini aku akan menariknya ke tebing," katanya.

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now