(abridged) Penutup

209 7 1
                                    



Berpakaian baju kebaya berwarna putih dengan berselendang merah jambu, Suri ternyata gadis yang paling jelita di Kampung Mela. Suri memiliki paras rupa arwah ibunya Rokiah. Kulitnya cerah, rambutnya lurus dan tubuhnya langsing. Selain itu, gadis juga memiliki sepasang mata yang galak, bulu kening yang cantik, berdagu runcing dengan senyuman yang menawan. Namun suaminya Jamal juga segak orangnya. Rata-rata semua yang hadir ke istiadat pernikahan tersebut bersetuju pasangan tersebut bagai pinang dibelah dua.

Ketika makan tengah hari, Samihah, Rahim, Taukeh Lim dan keluarga, Penghulu Ahmad dan isterinya Hajjah Beduyah, Ustaz Ismail dan anaknya Mawar, Cikgu Badrol dan pasangannya Cikgu Farizah, Bulat, Labu, Seri Melur dan lain-lain turut dihiburkan dengan gesekan biola Rasid anak kedua Cu Bakar, yang telah menempa nama sebagai ahli politik berjaya dari Kampung Mela.

Long Sidah, Jelani dan Sidek juga hadir pada majlis itu. Mereka semua tinggal di Ipoh bersama Rasid dan isteri yang juga telah membuka bengkel mengecat kereta dan membaiki motosikal di bandar Ipoh di mana Sidek dan Jelani bekerja.

Sambil menolak kerusi rodanya ke meja utama di mana pasangan Raja Sehari sedang menjamu selera, Sidek yang berstatus "Orang Kelainan Upaya" menegur Suri.

"Suri, aku mintak maaf kerana telah banyak menganiaya kamu," ujar Sidek dengan penuh penyesalan.

Suri dan Jamal memandang pemuda tersebut yang kini lebih banyak mendiamkan diri sambil tekun bekerja di bengkel motosikal milik abangnya Rasid di Ipoh, Perak.

"Suri maafkan Abang Sidek," ujar anak perempuan Bachik itu dengan tenang.

Majlis pada hari itu turut menyaksikan kehadiran ramai penduduk-penduduk Kampung Mela. Mereka sudah tentu punyai kisah-kisah tersendiri tentang suka duka menetap di kampung yang terletak di pedalaman negeri Pahang ini.

Namun kisah yang ku sampaikan ialah tentang satu keluarga istimewa yang pernah tinggal di Kampung Temunga daripada tahun 1959 sehingga 1990an; terdiri daripada Bachik yang berasal dari Kelantan, isterinya Rokiah yang merupakan anak kandung pasangan Cina pekebun sayur dari Kuala Lipis serta puteri mereka yang mampu berdamping dengan haiwan.

Aku meninggalkan Kampung Temunga beberapa minggu selepas majlis pernikahan tersebut, ketika Suri dan Jamal hendak berpindah ke Kuala Lumpur di mana Jamal bekerja. Tugasku bagi mengawasi pawang buaya pemilik parang panjang pusaka telah selesai; melainkan sekiranya senjata keramat tersebut menemui pewaris seterusnya.

Menurut cerita orang-orang kampung, Suri menulis surat kepada ayahnya beberapa bulan sekali bagi menceritakan perkembangan keluarganya yang telah menetap di ibukota. Suratnya yang terakhir bertarikh 15 Disember 2003.

TAMMAT

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now