Pawang Kampung Temunga

173 7 0
                                    


copyrighted material

Pada pertengahan tahun 1987, Bachik yang telah mencecah usia 58 tahun memutuskan untuk meninggalkan pekerjaan sebagai nelayan sungai. Dia bersetuju membantu perniagaan Suri dan Samihah dengan menghantar pesanan kuih ke pekan Kuala Tembeling dan Mela.

Selepas kematian isterinya Rokiah, Bachik kerap batuk batuk dan sesak nafas, lantas menyulitkan usahanya turun ke Sungai Jelai. Suri, Samihah dan Rahim beberapa kali memujuk Bachik agar mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, namun Bachik keberatan. Akhirnya Taukeh Lim yang diperkenalkan kepada Bachik oleh Suri, datang ke rumah mereka dengan rakannya seorang tabib dari Raub.

Bachik dinasihatkan agar banyak berehat kerana dia menghidap penyakit lelah. Suri dan Samihah kemudian berpakat membelikan motosikal agar Bachik dapat membuat penghantaran kuih yang dipesan selain mengelakkannya berasa jemu duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.

Satu petang dalam bulan Ogos selepas hujan menyebabkan paras air sungai meningkat, Bachik yang rindu dengan pekerjaan yang telah menjadi darah dagingnya memberitahu Suri bahawa dia ingin keluar memukat.

"Ini kali terakhir ayah ke sungai," ujarnya sambil menggalas pukat dan berjalan ke arah perahu jalur usangnya. Bachik mengayuh perahu kira-kira 15 minit ke lubuk kegemarannya lantas memasang pukat di tebing berdekatan. Sambil duduk di bawah sebatang pohon besar, dia mencucuh rokok pucuk lalu mengimbau kenangan sepanjang mencari rezeki di sungai itu.

Ikan terbesar yang pernah didaratkan Bachik merupakan ikan tapah sepanjang 6 kaki. Kelihatan seakan ikan keli, ikan tapah yang tinggal di dasar sungai memiliki dua jalur kuning di bahagian perut sehingga ke ekornya. Bachik pernah menyaksikan ikan itu melibas anak kera di dahan pokok sehingga terjatuh ke dalam air, yang kemudian menjadi habuannya. Bachik juga tahu ikan tersebut mencari makanan antara jam 6 ke 8 malam dan jam 3 ke 5 pagi di penghujung musim tengkujuh serta di awal musim kemarau. Maka di waktu begitulah Bachik merancang menangkapnya.

Bachik melempar umpan beberapa kali sebelum disambar ikan berkenaan. Selama sejam, ikan tapah itu cuba menarik kail ke arah ranting kayu. Namun dengan pengalaman nelayan sungai itu, ikan tapah ditarik semula ke kawasan lapang sebelum pertarungan diteruskan. Beberapa kali perahunya ditarik ke tengah dan tepi sungai malah Bachik hampir-hampir terjatuh ke dalam air. Sebelum ikan gergasi itu berjaya dijinakkan, ia turut melompat tinggi namun akhirnya Bachik berjaya mendaratkannya hampir sejam kemudian. Seorang peraih dari Jerantut membayar lapan ratus ringgit kepada Bachik untuk hasil tangkapannya itu.

Sambil memikirkan 'pertarungan-pertarungan' lain di Sungai Jelai sepanjang dia menjadi nelayan, Bachik yang berasa sedikit kepenatan memejamkan mata lalu terlelap. Dia terjaga dari tidurnya kira-kira dua jam kemudian apabila terdengar bunyi kocakan air yang kuat.

Ketika turun ke sungai bagi memeriksa, Bachik tersentak apabila melihat seekor buaya sepanjang 15 kaki terperangkap dalam pukatnya. Dia teringat peristiwa di mana Suri diselamatkan buaya tembaga ketika dihanyutkan arus sungai; semasa anaknya berusia 6 tahun.

"Sekiranya dibiarkan sahaja, pasti buaya tersebut akan lemas", fikir Bachik. Semasa membesar di Pasir Puteh dahulu, Bachik pernah menyaksikan buaya mati kerana terperangkap dalam pukat dengan bangkai haiwan itu membengkak dan terapung di air.

Sebenarnya, buaya jantan yang terlekat di dalam jaring Bachik tak lain tak bukan adalah Sang Tembaga. Sambil meronta-ronta, Tembaga yang sedar Bachik sedang memerhati merasakan pengakhirannya bakal tiba. Manusia itu akan membiarkannya mati lalu mengambil kulit dan dagingnya untuk dijual.

Akan tetapi, dalam bahasa haiwan, Tembaga berkata, "Wahai nelayan, akulah dahulu yang menyelamatkan anakmu. Sekiranya kamu faham bahasaku, kini aku meminta kamu menolong aku pula."

Bachik memandang ke arah Tembaga. Dia kemudian berkata, "Aku faham bahasamu, wahai Sang Buaya."

***

Ayah Bachik, Haji Kassim bin Kadir merupakan pawang buaya dari Pasir Puteh, Kelantan. Pada awal kurun ke-20, haiwan tersebut banyak berkeliaran di Sungai Kelantan sehingga mendatangkan kebimbangan penduduk-penduduk yang tinggal di tebing sungai. Pawang Kassim diminta mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Kebolehan Pawang Kassim tidak dapat dipertikai di mana dia mampu menambat buaya-buaya di sungai. Selain itu, Pawang Kassim juga memahami bahasa haiwan dua alam itu. Bagi menyelesai masalah di Sungai Kelantan, Pawang Kassim telah menyeru agar Raja Buaya di sungai itu timbul serta berjanji bahawa buaya-buaya di sepanjang sungai tidak akan mengganggu manusia. Selama sepuluh tahun, perjanjian itu dipatuhi buaya-buaya di Sungai Kelantan. Namun satu hari, ketika isteri Pawang Kassim (emak Bachik) sedang mengayuh perahu, dia dilibas sang bedal lalu terjatuh ke dalam sungai. Isteri Pawang Kassim ditemukan beberapa hari kemudian dengan separuh badannya daripada pinggang ke kaki hilang akibat dibaham buaya.

Peristiwa isterinya sendiri menjadi korban buaya menyebabkan Pawang Kassim yang teramat marah turun ke sungai dengan parang panjangnya lalu mencabar Raja Buaya. Pihak yang kalah perlu akur kepada pihak yang menang buat selama-lama. Pertarungan di antara Pawang Kassim dan Raja Buaya berlangsung di Sungai Gong Ketereh dan selepas 5 jam bergelut, kedua-dua Raja Buaya dan Pawang Kassim mengalami kecederaan teruk.

Raja Sang Buaya yang parah melarikan diri ke Pulau Tengkorak di Tumpat dengan nasibnya tidak diketahui manakala Pawang Kassim meninggal dunia di rumahnya beberapa minggu selepas itu.

Menurut cerita orang dulu-dulu, keturunan Pawang adalah warisan turun temurun maka Bachik yang ketika itu berusia 10 tahun dilihat sebagai pengganti Pawang Kassim. Kematian ibubapanya bagaimanapun menyebabkan Bachik lebih gemar menyisihkan diri berbanding menggalas tanggungjawab itu. Pada masa yang sama, Bachik juga masih menyimpan dendam terhadap haiwan pemangsa tersebut, sehinggalah dia sedar anak perempuannya diselamatkan Tembaga kira-kira sembilan tahun lalu.

Melihat keadaan buaya yang terkandas di pukatnya, Bachik berkata, "Baiklah Sang Buaya, aku akan melepaskan kamu kerana aku terhutang budi kepadamu. Aku sedar kamu sudah sekian lama menghuni di Sungai Jelai ini dan tidak pernah membaham manusia."

"Tetapi aku mahu kamu berjanji tidak akan menampakkan diri ataupun mengganggu manusia di sepanjang sungai ini."

"Sekiranya kamu membaham manusia maka pergilah kamu dari sungai ini, wahai Sang Buaya," tegas Bachik yang telah dididik Pawang Kassim sejak kecil lagi.

Sang Tembaga memandang Bachik. "Baiklah Pawang Buaya Kampung Temunga, aku akur. Tetapi sekiranya kamu telah tiada kerana kamu kelihatan uzur, kepada siapa harus aku kotakan janji ini?" soal buaya jantan itu.

Bachik diam sejenak sebelum bersuara, "Anakku Suri mewarisi kemahiran ini. Kepada dialah kamu kotakan janji ini sekiranya aku tiada."

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now