Pertarungan terakhir
Sejak Suri, Samihah dan Rahim mula menguruskan 'Warung Rokiah', Bachik sering tinggal bersendirian. Kalau dahulu dia membantu anaknya dengan membuat penghantaran kuih sehingga ke pekan Kuala Tembeling, kini dia lebih banyak duduk di rumah.
Di waktu petang, dia menonton televisyen dan hanya sesekali ke warung yang diusahakan anaknya. Pada sebelah malam selepas solat Isya', Bachik akan masuk tidur sedang Suri mengemas rumah, mencuci pinggan serta membuat persiapan berniaga. Sewaktu tidur, Bachik kerap bermimpi turun ke sungai menangkap ikan seperti yang dilakukannya sejak berusia 10 tahun lagi.
Suatu malam ketika tahun 1988 hampir ke penghujung, Bachik bermimpi bertemu Raja Buaya yang pernah bertarung dengan ayahnya Pawang Haji Kassim di Sungai Gong Ketereh. Raja Buaya berusia hampir 90 tahun itu tiba-tiba mudik di Sungai Pahang sehingga ke Kuala Tembeling. Tubuhnya berukuran 30 kaki yakni jauh lebih panjang berbanding buaya-buaya biasa dengan kulitnya berwarna hitam pekat.
"Wahai Pawang Buaya," kata Raja Buaya di dalam mimpi Bachik itu. "Keturunan kamu tak akan aman selagi dendamku ini tidak terbalas."
"Apa yang kamu mahu?" sergah Bachik. "Bukankah emak dan ayahku telah terkorban angkara kamu dan pengikutmu?"
"Benar. Tetapi lihatlah apa yang berlaku kepadaku," kata Raja Buaya lalu menghampiri Bachik. Kedua-dua belah matanya buta dan sebelah tangannya kudung akibat dilibas parang panjang Pawang Kassim. "Aku tahu kamu masih menyimpan parang panjang yang pernah menjadi senjata Pawang Kassim itu. Dendamku membara terhadap pemilik-pemilik selepasnya," tambahnya.
"Selagi parang panjang itu dalam simpanan kamu. Dendam Raja Buaya tidak akan tamat begitu sahaja," ujar Raja Buaya lagi sebelum menghilang dari mimpi Bachik.
Bachik terjaga dari tidurnya pada kira-kira jam 4 pagi. Dia turun ke dapur dan di dalam gelap, tangannya meraba-raba di bawah tangga sebelum akhirnya mencapai apa yang dicari.
Parang panjang itu berukuran 4 kaki dengan hulunya diperbuat daripada rotan semambu. Ketajamannya dipercayai setanding berlian. Walaupun Pawang Kassim pernah memberitahu Bachik bahawa ia berusia lebih daripada lima ratus tahun, apabila dikeluarkan dari sarungnya, parang tersebut masih bersinar seperti ketika mula-mula ditempa. Pada bilahnya terukir nama-nama pemiliknya dalam tulisan jawi dengan mengikut urutan masa; Lela, Indra, Lat, Pa, Mat Eil, Lah, Kassim dan yang terakhir Bachik.
Bachik tidak mengukir nama Suri pada parang panjang itu kerana tidak berhasrat mewariskan kepada anak perempuannya. Menurut Pawang Kassim, parang panjang itu hanya digunakan sekiranya pertarungan dengan haiwan buas tidak dapat dielakkan kerana sifatnya yang pasti menumpahkan darah. Bachik seboleh-bolehnya tidak mahu Suri memilikinya dan selepas mimpi yang dialaminya, dia bertekad membuang parang panjang tersebut. Namun syaratnya, ia harus ditenggelamkan ke dasar sungai dengan tiga muara pada saat terbenam matahari sehingga hilang cahaya kemerahan di kaki langit.
"Mana aku hendak cari sungai dengan tiga muara?" bisik hati Bachik sebelum memutuskan untuk bertanya soalan tersebut kepada Penghulu Ahmad. Bachik menantikan solat Subuh dan kemudian melelapkan matanya semula.
Pagi itu, selepas menjamah nasi goreng yang disiapkan Suri yang telahpun ke warung, Bachik ke rumah Penghulu Ahmad yang terletak hampir seratus langkah dari rumahnya.
Penghulu Ahmad yang ketika itu berusia dalam lingkungan 70an merupakan anak kepada Tok Muda Bek yang juga ketua mukim Cheka lebih seratus tahun dahulu. Sudah pasti segala persoalan Bachik dapat dijawabnya.
"Kamu nampak Pulau Temunga yang terletak di tengah sungai Jelai tu," kata Penghulu Ahmad sambil menunding ke arah pulau kecil berhampiran rumahnya di tebing Sungai Jelai. "Di hujung pulau tu seakan-akan terdapat dua muara terbentuk," terangnya.
"Tapi di mana muara satu lagi, Tok Penghulu?" soal Bachik kebingungan.
"Tak jauh dari sini ada muara Sungai Cheka," jawab Penghulu Ahmad tersenyum. "Hakikat ini disedari sesiapa yang tahu asal-usul Kampung Temunga dan Mela."
Pada saat itu barulah Bachik mengerti mengapa selama ini dia menetap di Kampung Temunga dengan isterinya Rokiah dan anak mereka Suri. Sudah suratan untuknya menetap di tebing sungai dengan tiga muara bagi memudahkannya mengusir kisah silam yang menghantui sepanjang hayatnya, fikir Bachik.
***
Petang itu ketika Suri pulang dari gerainya sebelum senja, Bachik yang telah bersiap hendak turun ke perahunya sempat menyapa Suri.
"Ayah nak ke sungai," ujar Bachik. "Kamu nak ikut?"
Suri yang kehairanan kerana jarang dipelawa ayahnya bersama turun ke sungai berkata, "Ayah tak setegap dulu. Mengapa nak ke sungai hari ini?"
"Dah agak lama ayah tak turun ke sungai," balas Bachik. "Kamu nak ikut ayah?" soalnya lagi.
"Tak mengapalah. Suri hendak siapkan makan malam untuk ayah," jawab anak perempuannya tersenyum walaupun kepenatan.
Bachik kemudian memandang ke arah anaknya lalu berkata, "Kamu tahu tiada apa yang lebih menggembirakan ayah selain saat kamu dilahirkan. Sebelum emak kamu meninggal dunia, ayah sempat mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menjaga kita berdua."
"Hari ini, ayah nak ucapkan terima kasih kepada kamu kerana memberi kebahagiaan kepada kita sekeluarga," ujar Bachik. Suri hanya terdiam ketika melihat ayahnya melangkah ke tebing sungai di mana perahunya berlabuh.
Bachik membuka ikatan tali yang menambat perahunya. Dia meletakkan karung yang dibawa bersamanya ke dalam perahu sebelum mendayung menghala ke arah jeti Kampung Mela bagi menghampiri muara Sungai Cheka, di mana tiga 'muara' dikatakan bertemu. Hujan mulai turun sambil Bachik menantikan masuk waktu solat Maghrib, yakni ketika matahari terbenam sehingga hilang cahaya kemerahan di kaki langit.
Bachik memandang ke arah tengah sungai sambil mengeluarkan parang panjang arwah Pawang Kassim daripada karung yang dibawanya.
Allahu akbar! Allahu akbar!
Terdengar suara azan Maghrib sayup-sayup barangkali daripada rumah atau surau yang terletak berhampiran tebing sungai itu. Burung taktibau turut berbunyi. Seusai laungan azan berhenti berkumandang, Bachik mencapai hulu parang panjang yang masih di dalam sarungnya. Namun sebelum sempat dia mencampakkannya ke tengah sungai, Sungai Jelai tiba-tiba bergelora. Perahu jalur Bachik terumbang-ambing sambil dia menyimpan kembali parang panjang tersebut dan berusaha mendayung ke tebing. Tak lama kemudian, muncul pula ombak setinggi pohon kelapa yang memukul sehingga perahu jalur itu terbalik.
Bachik terjatuh ke dalam air tetapi sempat mencapai parang panjangnya. Dia cuba berenang tetapi pusaran air yang deras menarik Bachik ke dasar sungai. Ketika tubuhnya yang telah mencecah usia 59 tahun semakin lemah di antara pengsan dan terjaga, Bachik terlihat lembaga buaya hitam yang besar berenang pantas ke arahnya dengan mulut ternganga. Bachik menarik parang panjangnya keluar dari sarung lalu berusaha menetak lembaga buaya hitam itu yang kian menghampiri.
Lembaga Raja Buaya mengelak serangan Bachik sambil ekornya yang panjang melibas tubuh nelayan sungai itu. Libasan Raja Buaya yang kuat meretakkan tulang selangka kiri Bachik. Kedua-duanya manusia dan haiwan pemangsa bergelut. Dengan segala kudrat yang masih ada, Bachik sekali lagi menghayun parang panjangnya. Kali ini, Bachik berjaya memutuskan sebelah kaki buaya mistikal itu.
![](https://img.wattpad.com/cover/98948691-288-k494117.jpg)
YOU ARE READING
Hikayat Suri & Sang Tembaga
ParanormalneSINOPSIS SST Kali terakhir kami sekeluarga pulang ke kampung, Abang Rahim berkata seorang nelayan sungai terjumpa parang panjang yang terukir nama ayah di bilahnya. Nelayan tersebut akan menyerahkan parang tersebut kepada Abang Rah...