Ilmu minyak dagu
Pihak berwajib serta para penduduk di sepanjang tebing Sungai Jelai meneruskan usaha mencari Bachik selama lima hari berturut-turut namun jasad nelayan sungai berusia 59 tahun itu tidak berjaya ditemukan. Dukun Berahim dari kampung seberang turut membantu dalam usaha pencarian. Dengan dua orang pengikutnya, mereka menjunjung biji kelapa dan melakukan aksi seakan mendayung di atas tikar mengkuang di tebing sungai, sambil mulut dukun tersebut terkumat-kamit membaca mentera. Kelapa digunakan atas alasan ia mampu melepaskan mangsa yang disorok kuasa ghaib di dasar sungai, kerana sifatnya yang tidak akan tenggelam. Walaupun Suri kurang setuju dengan kaedah tersebut, akan tetapi Rahim berkata mereka mengalu-alukan segala bentuk bantuan yang dihulurkan.
"Mereka sekadar nak menolong dengan ikhlas, takkan kita nak tolak," bisik Rahim.
Kadangkala ada terdengar penduduk kampung mendakwa capal atau selipar Bachik ditemukan di tebing berhampiran Tanjung Bungor manakala ada pula yang berkata bajunya dilihat tersangkut pada ranting kayu berdekatan Tanjung Jelai. Namun apabila Suri ke lokasi-lokasi tersebut, jasad Bachik tidak juga dijumpai.
Hampir semua orang kampung membantu di dalam usaha merungkai misteri kehilangan nelayan sungai itu melainkan Sidek, yang hanya memikirkan saat yang sesuai untuk menggunakan minyak dagu yang dibelinya di Kelantan ke atas Suri.
"Takkan aku nak guna minyak dagu tu sekarang. Suri baru kematian ayahnya. Kalau dia tergila-gilakan aku tak semena-mena, tentu orang kampung syak ada sesuatu yang tak kena," terangnya kepada kedua orang rakan baiknya Bulat dan Labu.
Maka Sidek menanti selama sebulan sebelum cuba menggunakan minyak dagu ke atas gadis idamannya. Ketika itu, Samihah dan Rahim telah berpindah ke rumah Bachik untuk tinggal bersama Suri yang sudah menganggap mereka sebagai keluarga.
Sedang Suri, Samihah dan Rahim kembali sibuk mengusahakan warung mereka, Sidek ke rumah Bachik untuk mencalit kain batik serta baju kurung milik Suri yang berjemur di ampaian dengan minyak dagu yang dibeli dengan harga tiga ratus tiga puluh tiga ringgit sebotol. Dia tidak dapat menyapu minyak tersebut terus ke lengan atau tubuh Suri kerana gadis itu sentiasa sibuk di dapur warungnya.
"Tak lama lagi, Suri akan masuk dalam dakapan aku. Tiada siapa boleh memperlekeh Sidek di kampung ini," katanya dengan nada bangga.
Namun sejurus selepas anak Long Sidah itu meninggalkan rumah di tebing sungai tersebut, kera tok penghulu bernama Chiko yang melihat perbuatan Sidek melompat ke sidaian baju. Dia melarikan kain batik dan baju kurung yang dicalit minyak itu ke arah tebing. Sidek yang nampak aksi sang kera lantas mengejarnya.
"Hei! Kera! Ke mana kamu nak bawa kain baju tu?" ujar Sidek sambil menghambat Chiko sehingga ke sebatang pohon tinggi. Chiko memanjat sebelum menyangkut kain batik dan baju kurung Suri di dahan pokok tersebut. Kemudian, seekor burung kelingking pula tiba lalu menyambar kain baju tersebut dan menerbangkannya tinggi ke udara.
Melihat kejadian tersebut, Sidek tergamam. Usahanya hendak menggunakan ilmu minyak dagu ke atas Suri dipatahkan kera dan burung kelingking di Kampung Temunga. Sidek menceritakan apa yang berlaku kepada Bulat dan Labu yang bertandang ke rumahnya selepas itu.
"Aku rasa haiwan-haiwan tu melindungi Suri," ujar Labu selepas mendengar kisah Sidek mengejar Chiko si kera di tebing Kampung Temunga. "Tak silap aku, dulu kamu juga yang berkata Suri dijaga makhlus halus."
"Mengarutlah," balas Sidek. "Aku sengaja mereka-reka cerita begitu. Binatang mana ada akal fikiran nak membantu manusia." Sidek berkata lagi, "Tapi tak mengapa. Kalau aku tak dapat memiliki Suri secara halus, aku akan gunakan kekerasan pulak lepas ni."
YOU ARE READING
Hikayat Suri & Sang Tembaga
ParanormalSINOPSIS SST Kali terakhir kami sekeluarga pulang ke kampung, Abang Rahim berkata seorang nelayan sungai terjumpa parang panjang yang terukir nama ayah di bilahnya. Nelayan tersebut akan menyerahkan parang tersebut kepada Abang Rah...