copyrighted material
Peribahasa manusia ada berkata "Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya." Dalam erti kata lain, orang yang pendiam belum tentu memiliki sifat pengecut. Pepatah itu juga sesuai bagi menjelaskan kehebatan Ustaz Ismail ─ yang mengajar matapelajaran Pendidikan Agama Islam di Sekolah Kebangsaan Mela dalam bidang seni mempertahankan diri.
Bahkan, sekiranya disingkap sejarah pahlawan Melayu di Pantai Timur ini termasuk Mat Kilau dan Tok Gajah Imam Rasu di Pahang, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu serta Tok Janggut Haji Mat Hassan di Kelantan, selain berjiwa pendekar, mereka semuanya mendalami ilmu agama.
Begitu jugalah dengan Ustaz Ismail Mat Zuki yang dilahirkan di Sungai Jan, Jerantut itu. Datuk neneknya dikatakan berasal dari Pattani dan Terengganu.
Di sebalik perwatakannya yang penyantun dan lemah lembut, Ustaz Ismail memiliki kemahiran ilmu persilatan yang tinggi. Pada usia muda, dia yang gemar mengaji, berzanji dan bersilat dihantar ke sekolah pondok di wilayah Pattani pada sekitar tahun 1950an sebelum meneruskan pengajian di Makkah. Di Pattani, Ustaz Ismail turut mempelajari ilmu sukan tempur Muay Thai atau Tomoi yang menumpukan kepada teknik tumbukan (chok), teknik siku (sok) selain ketepatan dan kepantasan tendangan lurus (teep), sepak libas (te) dan teknik lutut (kao) petinju.
Ustaz Ismail yang gemar bergaul dengan setiap lapisan masyarakat amat disegani dan dikasihi guru-guru dan rakan-rakannya. Pada usia 25 tahun, dia berkahwin dengan Chik binti Daud dari Kemaman namun isterinya meninggal dunia sepuluh tahun kemudian akibat barah darah. Pasangan tersebut dikurniakan seorang anak perempuan yang menuntut di sekolah menengah berasrama penuh di Kuala Terengganu.
Ustaz Ismail mula bertugas di Sekolah Kebangsaan Mela pada tahun 1978, kira-kira lima tahun selepas kematian isterinya. Beberapa bulan selepas berpindah ke sini, dia pernah menasihati beberapa pemuda di kampung yang bermain pakau dan berjudi berhampiran stesen keretapi namun salah seorang dari mereka (Jelani yang ketika itu berusia 18 tahun) menengkingnya. "Kamu jangan nak menyibuk. Baru datang ke kampung ni dah nak tunjuk warak," herdik Jelani sambil mengacu penumbuknya.
Ustaz tersebut hanya tersenyum sahaja.
Selepas peristiwa di mana Jelani menyembah bumi ketika beradu kehandalan dengan Ustaz Ismail, ramai pemuda-pemuda kampung yang menunjukkan minat untuk belajar mengaji.
***
Tahun 1987 merupakan tahun yang menggembirakan buat seorang lagi guru di Sekolah Kebangsaan Mela. Cikgu Badrol Hisham yang telah berusia 33 tahun bakal melangsungkan perkahwinan dengan rakan setugas, Cikgu Farizah, 25, yang juga anak saudara Penghulu Ahmad. Majlis kenduri sebelah pengantin perempuan diadakan di rumah Tok Penghulu itu pada awal bulan lima.
Seminggu sebelum majlis perkahwinan, sanak-saudara penghulu kelihatan sibuk membuat persiapan dengan membina ruang khas bagi melapah daging dan memasak, memasang khemah tetamu yang dibuat daripada kain payung terjun, mengundang kumpulan muzik dari Kuala Lipis bagi memeriahkan suasana serta mendirikan gerai yang menyediakan minuman serta makanan ringan.
Pada hari perkahwinan, hampir semua orang Kampung Mela hadir sama ada untuk membantu atau sekadar berkongsi kegembiraan. Pasukan kompang menanti ketibaan rombongan pengantin lelaki, yang kemudiannya dipersembahkan aksi silat pulut oleh pesilat-pesilat muda.
Sidek dengan dua orang kawannya dilihat bergelak ketawa sepanjang majlis keramaian tersebut dari awal pagi hingga dinihari. Mereka gemar duduk di bawah pohon rambutan sambil menggulung rokok pucuk dan memerhati gadis-gadis yang hadir dengan pakaian yang cantik cantik.
Pada sebelah malam, kumpulan muzik yang didatangkan khas dari Kuala Lipis memulakan persembahan mereka. Rasid, yang ketika itu telah menetap di Ipoh, juga ada bersama sebagai pemuzik undangan dengan menggesek biola sedang isterinya Jamilah sibuk melayan kerenah anak lelaki mereka serta Long Sidah.
Kira-kira jam sembilan malam, acara joget lambak bermula dengan anak lelaki Tok Penghulu menyumbang lagu pop 1980an. Selain itu, lagu-lagu rancak yang menjadi kegilaan anak-anak muda turut didendangkan. Kebiasaannya tetamu membayar untuk permintaan lagu dengan memasukkan wang ke dalam tabung.
Acara joget lambak seperti itu seringkali berlarutan sehingga jam 3 pagi. Bagi yang tidak menari, mereka duduk bersantai di gerai yang disediakan sambil minum air tin Kickapoo dan mengunyah kuaci.
Suri, Samihah dan Rahim yang telah membantu pada sebelah pagi dan di majlis kenduri tengahari, turut datang pada sebelah malam kerana rumah mereka tidak jauh dari rumah Penghulu Haji Ahmad. Berpakaian baju kebaya berwarna unggu dengan berselendang merah jambu, Suri mungkin antara gadis yang kelihatan paling anggun di Kampung Mela. Hampir terbeliak biji mata Sidek dan rakan-rakannya apabila melihat anak gadis Bachik yang telah berusia 15 tahun itu dek kerana keayuannya.
"Sidek, pergilah ajak Suri menari. Atau kamu takut ke?" cabar rakan Sidek yang digelar Bulat dan bertubuh sedikit gempal. Seorang lagi rakannya Labu tersengih-sengih sahaja.
"Ini Sideklah. Mana takut siapa-siapa," jawab anak Cu Bakar itu. Sambil menyelit rokok pucuk di bibirnya, Sidek berjalan ke arah Suri yang sedang meneguk air sirap bandung di bawah khemah bersama Samihah dan Rahim.
"Suri," sapa Sidek sesampainya di bawah khemah yang didirikan dari kain payung terjun itu. "Kamu nak menari joget lambak dengan saya. Jomlah," ujar anak Cu Bakar yang telah berusia 19 tahun itu.
"Tak mahulah, abang Sidek. Saya datang ni untuk menghantar nasi manis (atau wajik) yang dipesan penghulu," Suri menolak secara baik.
Sidek yang terkenal dengan sikap panas barannya lantas berkata, "Sombong betul. Kamu ingat kamu tu lawa sangat ke? Sudahlah!"
Suri sekadar tersenyum. Mujurlah, tak lama kemudian, isteri Tok Penghulu datang dan menjemput Suri, Samihah dan Rahim naik ke rumah. Selain Sidek dan rakan-rakannya, kehadiran Suri pada malam itu telah mencuri perhatian seorang lagi anak muda dari kampung seberang yang turut serta di majlis joget lambak terakhir di Kampung Temunga, Mela. Acara sebegitu sudah tidak dianjurkan selepas itu.
![](https://img.wattpad.com/cover/98948691-288-k494117.jpg)
YOU ARE READING
Hikayat Suri & Sang Tembaga
ParanormalSINOPSIS SST Kali terakhir kami sekeluarga pulang ke kampung, Abang Rahim berkata seorang nelayan sungai terjumpa parang panjang yang terukir nama ayah di bilahnya. Nelayan tersebut akan menyerahkan parang tersebut kepada Abang Rah...