(Abridged) Part 21: Serangan sang buaya

193 6 0
                                    


Serangan buaya

Sidek memapah tubuh Suri lalu membawanya dengan motosikal menuju ke pondok usang berhampiran tebing sungai di Kuala Tembeling. Di pondok itulah dia sering berkhayal selepas menelan pil kuda. Selain terdapat beberapa botol minuman, Sidek juga menyimpan tombak, lampu suluh dan perangkap buaya yang dibinanya di pondok tersebut. Sambil bercakap sendirian, Sidek mengikat kedua belah tangan Suri yang masih pengsan dengan tali rafia. Mulut Suri pula disumbatnya dengan helaian kain perca. Ketika menantikan Suri terjaga, Sidek menelan baki pil kuda yang terdapat di dalam koceknya. Pemuda itu mahu bertanyakan gadis tersebut beberapa soalan yang telah lama bermain di kotak fikirannya sebelum mencederakan Suri.

Jam menunjukkan pukul lapan malam apabila Suri mula membuka matanya. Kepala gadis itu masih berasa sakit akibat dihentak dengan belakang parang oleh Sidek. Mendengar Suri terjaga dan mula bergerak-gerak, Sidek lalu menghampiri sambil meletakkan tangannya ke bahu Suri.

"Dah bangun pun kamu, wahai tuan puteri. Nyenyak kamu tidur?" kata Sidek sambil tersenyum sinis. Memang telah lama dia mengidamkan saat dapat bersendirian dengan gadis tersebut. Sidek memerhatikan Suri sambil terus tersengih.

"Aku dah kata, kalau aku tak dapat kamu dengan cara baik, aku akan gunakan kekerasan akhirnya," kata Sidek sambil jarinya membelai rambut Suri. Gadis itu meronta-ronta namun tak dapat menjerit kerana mulutnya ditutup.

"Sebelum aku berseronok dengan kamu, aku ada satu pertanyaan. Dah lama aku memikirkan perkara ini sebenarnya."

"Masa kamu hampir lemas di sungai ini semasa berumur 6 tahun, siapa yang menyelamatkan kamu dengan membawa kamu ke tebing?" soal Sidek.

"Aku nampak kamu terjun ke dalam sungai dari perahu jalur pada petang bercuaca mendung itu kerana aku sedang mencuri-curi menghisap rokok di tebing sungai. Aku lihat tubuh kamu ditarik sesuatu yang ku sangkakan jembalang ke gigi air. Kemudian aku nampak Bachik meluru ke arahmu dari celah-celah pokok nipah," terang anak Long Sidah itu, mengimbau kembali peristiwa di mana Suri hampir dihanyutkan arus deras Sungai Jelai.

"Tetapi makhluk apa yang sebenarnya menyelamatkan kamu?" soal Sidek dengan serius sambil merapati Suri yang terus meronta.

Sidek mengeluarkan kain yang menyumbat mulut Suri kerana mahu mendengar jawapan gadis tersebut. Dia yakin sekiranya Suri menjerit meminta pertolongan sekalipun, tiada siapa yang berada berdekatan pondok usang itu yang akan mendengar jeritannya.

Suri merenung tepat ke mata Sidek lalu bersuara.

"Seekor buaya yang membawa aku ke tebing," jawabnya. "Itulah yang diceritakan oleh ayahku beberapa tahun lalu," ujar anak perempuan Bachik itu.

Mendengar jawapan Suri, Sidek lantas berkata, "Aku dah agak! Buaya itulah yang ku lihat di tebing Kampung Temunga beberapa bulan lalu."

"Aku mahu kamu memanggilnya ke tebing ini kerana sebelum aku mengapa-apakan kamu, aku mahu meyembelih dan meratah daging buaya itu," kata Sidek dengan bersemangat.

Sidek menarik lengan Suri agar gadis itu dapat bangkit. Dia lalu mengarahkan Suri berjalan menuju ke gigi air sambil mengikut gadis tersebut dari belakang.

"Cepat anak dukun buaya! Aku mahu kamu seru buaya tembaga yang menjaga kamu itu naik ke tebing," arah Sidek sambil memegang parang dan lampu suluhnya.

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now