Aku sayang dia. Aku rasa dalam banyak lelaki aku pernah jumpa, aku paling sayang dia. Sebab aku rasa itulah kali pertama aku betul-betul jatuh cinta. Ya, rasanya bolehlah aku katakan dia cinta pertama aku. Perasaan aku terhadapnya sungguh berbeza dengan lelaki-lelaki lain yang pernah muncul dalam hidup aku sebelum ini.
Kalau kau tanya aku bagaimana rasanya, cukuplah aku kata yang semuanya indah. Tiap-tiap hari mesti bergayut tengah malam, kalau tak pun mesti SMS. Zaman aku jatuh cinta kat dia, kami masih guna SMS. Oh ya, perkenalan kami juga bermula di Yahoo Messenger. Klasik bukan?
Oh ya, waktu mula-mula aku berkenalan dengannya di YM, aku tidak berapa suka dengannya. Aku rasa benci dengan dia sebab dia salah seorang stranger yang add aku di YM secara random. Aku tak suka layan stranger sebegitu. Namun, dia tidak pernah berputus asa untuk menjalin hubungan persahabatan denganku. Lama-kelamaan, aku mula melayannya dengan baik dan kami mula berchatting hari-hari. Dari YM, kami beralih pula ke Myspace. Di Myspace adalah kali pertama aku lihat gambarnya. Dia tinggi, bercermin mata dan wajahnya iras-iras lelaki cina. Chinese look orang kata. Tidak terlalu kacak tetapi sedap mata memandang.
Kali pertama aku berjumpa dengannya, dia nampak pendiam dan pemalu. Namun setelah beberapa jam berbual, kami mula selesa dengan satu sama lain. Aku suka caranya. Aku suka banyak perkara tentang dia.
Dia kata sejak aku hadir dalam hidup dia, banyak benda berubah. Dia kata aku ibarat cahaya yang menerangi hidup dia yang sebelum ini kelam. Dari I-you, dia sudah mula panggil aku sayang. Tapi itu pun secara random lah. Kadang-kadang bila berborak dia akan kata, "sayang dah makan?" Waktu itu, berbunganya rasa Tuhan saja tahu.
Dan kadang-kadang secara tiba-tiba dia akan text dan kata, "rindulah!" Ya. Dengan tiba-tiba. Manisnya hidup aku rasa pada waktu itu. Walaupun dia belum pernah ungkap kata cinta secara rasmi. Namun aku yakin, sudah ada cinta di hatinya buatku.
Bila kami keluar berdua, dia genggam tangan aku erat-erat. Macam pasangan bercinta. Sebelum berpisah, mesti dia kata dia akan rindukan aku. Bahagianya aku, tak ada kata-kata yang mampu aku gambarkan.
Dari Myspace dan YM, kami mula berhubung di Skype pula. Bila kami Skype, dia akan buat surprise. Contohnya menyanyi sambil main gitar. Gila ke tak sweet? Dahlah aku memang suka lelaki pandai main gitar, dendangan suaranya pula aku rasa adalah suara terindah di dunia. Dia kata lagu-lagu dia nyanyi itu semua khas untuk aku. Berjam-jam webcam tanpa rasa jemu sehingga Subuh datang bertamu.
Waktu itu adalah waktu terbahagia aku dalam hidup. Walau antara kami tak pernah ungkap kata cinta, aku yakin kami berkongsi rasa yang sama. Begitulah yakinnya aku pada dia.
Waktu hari lahir aku, dia bagi aku hadiah. Walau cuma sehelai baju, aku tahu itu adalah hadiah hari jadi paling bermakna sebab itu kali pertama dalam hidup aku terima hadiah dari seorang yang aku cinta. Ya. 20 tahun aku hidup itu pertama kali aku terima hadiah dari seseorang yang aku cinta.
Adakalanya, dia akan ajak aku keluar tak kira masa. Impromptu katanya. Kau bayangkan, pada 1 hari, pukul 1pagi tiba-tiba dia call dan bilang dia rindukan aku. Dan pukul 1pagi itu juga aku redah keluar rumah senyap-senyap tanpa kejutkan ibu bapaku walaupun kepalaku sedang sakit diserang migrain. Demi dia. Dia rindukan aku dan perlukan aku. Dan aku masih ingat, malam itu kami duduk di luar sebuah 7-Eleven menikmati maggi cup bersama-sama dan berbual sehingga dinihari. Migrain aku? Aku anggap sahaja sudah hilang sejurus selepas kami bertemu. Dia penawar untuk segala kesakitan aku.
Dalam masa yang sama, aku juga mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Dia amat gembira apabila mengetahui tentang berita ini. Malam sebelum aku berangkat pergi ke universiti, dia sempat berpesan, "You takkan lupakan I kan bila dah kat Universiti nanti?" Tidak sayang, sekalipun hati ini takkan pernah melupakan kau.
Kehidupan di universiti bermula, aku semakin sibuk. Begitu juga dia. Kami semakin jarang berhubung. Namun tidak sehari pun aku melupakan dia. Setiap hari aku akan cuba menghantar sekurang-kurangnya satu SMS kepada dia. Ia boleh jadi ucapan selamat pagi atau selamat malam. Walaupun kebanyakan waktu, dia amat jarang membalas pesanan SMS aku. Namun aku tidak kisah. Aku cuma mahu dia tahu bahawa aku tidak pernah melupakannya walau sedetik.
Cinta kampus? Aku tersenyum sinis. Tidak pernah langsung di fikiranku ini hendak menjalin sebarang hubungan dengan mana-mana lelaki di kampus dengan serius. Aku menganggap mereka semua hanya kawan biasa sahaja. Di hati aku hanya ada dia. Tidak sekalipun hati ini berubah. Huluran kasih rakan sekelasku aku tolak dengan baik. Aku katakan kepada mereka bahawa aku sudah ada yang punya. Hati ini hanya milik dia.
Namun, langit tak selalunya cerah. Makin lama dia mula menjauhkan diri. Aku faham dia sudah mula bekerja dan sibuk. Jadi aku anggap itu semua perkara biasa. Sebab setiap kali kami berbual, dia masih manis seperti dulu. Cuma manisnya itu semakin jarang aku dapat rasa.
Hinggalah pada satu waktu, dia langsung menghilang dari hidupku. Langsung tidak balas SMS. Tidak menjawab panggilan aku. Gila? Ya, hampir gila aku dibuatnya. Kemana dia pergi? Apa dia buat? Sihatkah dia? Aku cuba teruskan hidup, walau sukar. Aku pujuk hati yang sudah mula berdarah. Aku kata itu semua sementara, nanti bila dia dah stabil dan semakin kurang sibuk, aku yakin keadaan akan kembali seperti dulu. Kerana aku yakin dengan cintaku. Aku juga yakin dengan cintanya.
Benar, tidak lama kemudian, tiba-tiba dia kembali semula dalam hidupku. Dia meminta maaf kerana menghilangkan diri. Dia bilang pada aku, dia rindukan aku. Dia rindu waktu kami bersama-sama. Dia mahu bertemu denganku. Aku langsung tidak peduli kemana dia menghilang selama beberapa bulan, apa yang aku peduli ialah dia kini kembali dalam hidupku. Aku kembali tenang dan dapat menumpukan perhatian kepada pelajaranku dengan lebih yakin.
Pada satu hari, tanpa diduga, aku terima pesanan SMS dari dia. Dia yang aku rindu dan sering berada dalam doaku.
Dia: hey there! :)
Aku: hey! How are you?
Dia: i'm fine. I ada berita baik ni. Dan i nak pastikan u orang pertama tahu.
Aku: berita apa tu?
Dia: i'm getting married!Lama aku renung teks terakhirnya itu. Sebelum aku memilih untuk terus membalas.
Aku: wow really?
Dia: yup. 3 bulan lagi. You datang eh? Pleaseee
Aku: insyallah. Congratulations!
Dia: thanks dear! ;)Dan dengan begitu sahaja harapan aku hancur berderai. Tembok cintaku berkecai. Hati aku dirobek luka. Air mataku jatuh berderai. Tergamaknya dia memberi harapan setinggi gunung dan memilih untuk menghancurkannya dengan cara begini. Tergamaknya dia membuatkan hati aku berbunga-bunga dan membinasakannya dengan cara ini?
Tetapi itu tidak menghalang aku dari hadir ke majlis perkahwinannya. Hari itu aku pastikan aku jadi tetamu tercantik di majlis perkahwinannya. Kebaya nyonya berwarna merah telah aku pilih untuk hari istimewa ini. Rambutku yang panjang mengurai turut aku sanggulkan. Aku mahu tampil cantik di majlisnya. Dan ya, sewaktu aku tiba, aku menjadi perhatian para tetamu terutama tetamu lelaki. Aku tersenyum megah.
Sewaktu dia nampak kelibatku, dia kelihatan teruja untuk mengenalkanku dengan isterinya. Sewaktu kami bersalam, aku keluarkan hadiah istimewaku untuk dia. Pisau rambo itu aku benam dalam-dalam ke perutnya. Aku tenung matanya dalam-dalam buat kali terakhir.
"Ini hadiah untuk hancurkan hati aku dan semua harapan aku. Selamat pengantin baru." Aku tersenyum sinis. Isterinya di sebelah sudah mula histeria. Aku tidak mempedulikan suara-suara tetamu lain yang mungkin tergamam dengan tindakanku. Yang penting matlamatku tercapai. Aku tersenyum. Hasratku ingin melihat dia mati sambil merenung tepat ke arahku tercapai. Aku puas.
Di dalam sel penjara ini, aku masih ketawa sendirian apabila terkenangkan hari aku membunuhnya. Sesekali bibirku akan menyanyikan lagu "Di Hari Persandinganmu" dendangan Yunizar Hussein.
"Selamat ku ucapkan padamu,
Semoga kau bahagia dengan pilihanmu..."Eh bahagia ke? Kau kan dah mampus. Dia memang patut mati. Mati macam hati aku sewaktu menerima berita perkahwinannya. Betul tak?
"Selamat ku pinta izin pergi dahulu,
Membawa diriku ke alam baru..."Ya, aku kini di alam baru. Alam penjara. Hanya menanti hukuman mati. Mungkin di sana aku dapat berjumpa kembali dengan dia. Siapa tahu, kan? Walau aku yang tamatkan riwayatnya, cinta aku masih utuh dan setia untuknya.
YOU ARE READING
Manuskrip Seorang Penulis
Mystery / ThrillerAda kisah dalam ini yang korang pernah baca dalam Koleksi Cerpen Shasha, tapi, ini adalah kisah lengkap kehidupan seorang manusia yang hadap semua cerita-cerita misteri, tragis, seram dan sedih yang ada dalam Koleksi Cerpen Shasha, so, enjoy. Warnin...