Bab 3

2.1K 47 0
                                    

"KAU nak apa sebenarnya ni? Aku tak faham."

"Aku nak cari orang yang macam ni... Dia tak sayang aku, dia tak benci aku. Dia cukup keras hati untuk tak jatuh cinta dengan aku walaupun lepas kahwin. Tapi, dia sudi berkahwin dengan aku." Pertanyaan Harraz tadi Andriy jawab dengan kesungguhan.

Harraz memandangnya dengan wajah yang kaku saat mindanya menyerap satu per satu keterangan yang baru diterima. Respons kemudiannya cuma sebaris ayat.

"Ada. Robot. Pergilah tempah satu dekat kilang Samsung."

"Samsung ada keluarkan robot ke?" Andriy tak dapat menangkap sindiran Harraz, membuatkan rakannya itu mengeluh.

"That's impossible, man. You're a lady killer. I mean, look at you." Harraz turun naikkan kerlingan pada wajah dan tubuh Andriy. Secara tersirat, dia turut mengakui ketampanan Andriy.

"Is it really that impossible?" Andriy berkerut keresahan.

"Takkan kau nak kahwin untuk bercerai? Baik tak payah kahwin!"

"I only want a rigid relationship. I mean, something boring. Dia buat hal dia, aku buat hal aku. Tapi, kita orang tak bergaduh."

"Mana boleh macam tu. Kalau ada pun orang macam tu, dia takkan sudi kahwin dengan kau."

"Aku tahu tu. Tu yang menjadi masalah."

"Itu bukan masalah. Kau yang menjadikan benda tu masalah," ujar Harraz. Andriy mencebik.

Dia terpaksa jadikan perkara itu masalah dirinya. Kalau tak, dia akan dipaksa berkahwin dengan Emilia. Lagipun, sudah terlanjur dia berjanji dengan emaknya untuk berkahwin dalam masa terdekat ni dengan calon pilihannya sendiri. Tapi...

"Tak pun kau buat macam ni. Kau kahwin aje dengan sesiapa saja yang kau nak. Kalau dia jatuh cinta dekat kau, kau pukul kepala dia sampai dia hilang ingatan. Kalau dia lupakan kau, tak adalah dia sukakan kau lagi. Betul tak?" Tak sempat Andriy melamun jauh, Harraz pula menyentakkan angannya dengan cadangan yang bukan-bukan.

"Kenapa kau kejam sangat? Kalau aku pukul kepala dia lepas tu dia mati macam mana?" bantah Andriy.

Soalan itu tergantung tanpa jawapan apabila waktu itu, pandangannya teralih kepada kelibat seseorang yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kafe tempat dia dan Harraz sedang menghabiskan masa rehat. Harraz turut mengalihkan perhatian ke arah yang sama.

"Mr. Playboy dah datang," bisik Harraz sambil menudingkan ibu jari ke arah rakan sekerja mereka, Chee Keong.

Andriy mendengus perlahan. Dalam hatinya, dia bersetuju dengan gelaran yang Harraz berikan kepada lelaki berketurunan Cina yang kacak itu yang sedang berjalan menuju ke arah mereka. Chee Keong memang seorang yang sering bertukar-tukar teman wanita. Tak kira bangsa, dia sebat aje. Asalkan jantinanya perempuan. Tetapi, tak pernah sekalipun dia mengaku dirinya sebagai seorang playboy.

Alasan yang Chee Keong selalu bagi setiap kali putus hubungan adalah, tak sehaluan. Alasan mudah. Pada hakikatnya, mereka cuma kurang padan kalau dibandingkan dari segi tahun kelahiran dalam kalendar Cina. Itu sahaja. Remeh. Bukan setakat padanan tahun atau zodiak yang dia sering salahkan, macam-macam lagi. Ada kalanya dia salahkan nama, tarikh lahir, wajah... Malah, bentuk jari pun dia boleh jadikan penyebab perpisahan.

Chee Keong gemar menunjukkan minatnya dalam hal-hal tahyul begini. Dia begitu percaya bahawa hidup seseorang sangat berkait rapat dengan astrologi, numerologi, horoskop dan entah apa-apa lagi. Semua bidang yang diminati Chee Keong ini terletak di luar pemahaman dan minat Andriy.

Mungkin apa yang dia percaya itu ada betulnya, tetapi Andriy enggan mengambil pusing. Baginya, Chee Keong cuma berpura-pura dan berselindung di sebalik kepercayaan itu untuk mempermainkan perasaan wanita. Dasar mata keranjang.

SEMANIS TOMATOWhere stories live. Discover now