SETITIS air jernih jatuh perlahan ke pipi. Tangannya pantas menyeka air jernih itu dari wajahnya. Kali ini hatinya benar-benar tergores. Sebaik Andriy mematikan talian, Zafeeya tahu tanggapannya selama ini tak salah. Dia saja yang selalu paksa diri untuk bersangka baik.
Telefon digenggam erat. Zafeeya ketapkan bibir. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Egonya digunungkan semula dalam menerima hakikat bahawa sememangnya Andriy sudah berhenti mempedulikannya. Perasaan sebalnya terhadap Andriy dia jadikan pujukan agar air matanya tak terus mengalir.
Dengan hati yang berat dan perasaan yang berbaur, dia melangkah seiring dengan seorang pegawai polis. Semakin lama, semakin mereka menjauh dari rumah itu...
ANDRIY menghentakkan tetikus daripada gengamannya. Tubuhnya yang disokong kerusi pejabat disandarkan.
Dua, tiga kali keluhan dilepaskan sambil tangannya meraup wajah. Mata terus difokuskan pada skrin komputer, merenung rekod kewangan yang asyik disalah kira.
Sejak menerima panggilan daripada Zafeeya pagi tadi, Andriy dapati dirinya gagal untuk fokus. Dia tak keruan.Walau dia cuba sembunyikan, namun hatinya terhurung dengan perasaan berang. Dia rasa kali ini Zafeeya benar-benar melampau.
Adakah ini personaliti yang jarang dijumpai yang pernah dikatakan Chee Keong? Adakah orang yang bernombor 22 memang berciri-ciri pelik sebegini?
Andriy lunjurkan semula tubuhnya ke meja. Tangannya mula menaip pada papan kekunci komputer.
Terdetik hatinya untuk mengkaji semula pernomboran yang amat diminati Chee Keong itu. Lagipun, ilmu itu tak pernah dia habis selidik.
Satu per satu ciri-ciri nombor dia baca. Bermula dari ciri-ciri personaliti nombor satu hingga sembilan, sebelas dah akhirnya... Nombor 22.
The most powerful and potentially the most successful of all Life Path numbers.
Keterangan dari Internet itu membuatkan Andriy termenung sejenak. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Tubuh kembali disandarkan ke kerusi sambil kedua-dua belah tangannya disilangkan ke dada.
Mata terus digamkan di skrin. Maklumat lebih terperinci terus dibaca dan difahamkan semula.
"Mempunyai kefahaman spiritual yang tinggi, kebolehan untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam cara yang praktikal seterusnya berpotensi untuk mencapai kejayaan yang besar," gumam Andriy dengan dahi yang berkerut.
Inikah ciri-ciri yang begitu didambakan Chee Keong?
Bagi Andriy, ciri-ciri ini tak ada apa yang bermakna. Tak adil melebih-lebihkan orang lain dengan cara begini.
Ya. Memang ada istimewanya orang yang bernombor 22 ni. Tapi, apa kurangnya nombor-nombor lain? Bukankah setiap orang ada kelebihan tersendiri?
Lagipun... Characteristic yang dikatakan tak semestinya benar-benar dimiliki oleh orang tersebut. Contohnya macam Zafeeya. Entah dekat celah mana dia mampu mengaplikasikan pengetahuannya dalam cara yang praktikal.
Sebab kalau dia mampu, dia takkan menceroboh tanah orang.
Dari segi kejayaan pula... Andriy mengetuk-ngetuk dagunya cuba memikirkan. Rasanya menjengkelkan hati seorang Andriy adalah kejayaan paling besar Zafeeya setakat ini. Heh!
Naluri kemanusiaan mula membisik jauh ke dalam hati kecilnya.
Bukankah tak adil dia membandingkan ciri-ciri positif yang dia baca tadi dengan ciri-ciri negatif yang dia nampak pada Zafeeya?
Detik hatinya itu membuatkan dia malu sendiri. Lalu dalam diam, dia cuba mencari pula sikap positif Zafeeya yang dia tahu.
Kabur... Mindanya kabur. Entah mengapa waktu ini yang dia nampak tentang Zafeeya semuanya negatif.
ANDA SEDANG MEMBACA
SEMANIS TOMATO
General FictionTajuk: Semanis Tomato Penulis: Freesia Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-047-2 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 Takdir Zafeeya dengan kaum Adam tak pernah indah. Bapanya bencikannya dan dia halimun...
