SESEKALI dia menjeling ke arah Andriy, memerhatikan abangnya menembusi pintu cermin lut sinar di hadapan rumah. Abangnya yang terlalu fokus pada aktiviti mencuci keretanya di serambi tak langsung memandang ke kiri atau kanan. Anna tersenyum. Siapa tak kenal Andriy? Dia memang sayangkan kereta Hyundai Veloster miliknya itu.
Dia melabuhkan punggung di atas sebuah sofa di ruang tamu. Di tangannya tergenggam telefon pintar milik abangnya. Dia tahu dia tak sepatutnya melakukan apa yang bakal dilakukan. Tetapi, dia agak tak puas hati dengan Andriy yang enggan memberi kerjasama memperkenalkannya kepada Zafeeya.
Satu perkara yang Anna sudah pasti adalah ayahandanya berjaya memujuk ibunda supaya merestui keputusan abang untuk berkahwin dengan pilihan hatinya. Maknanya, perkenalan dirinya dan Zafeeya memang tak boleh dielakkan. Soalnya, lambat atau cepat sahaja.
Orang nak kenal dia tapi kenapa abang tak bagi? Tak salah pun kan kalau berkenalan awal-awal? Anna tertanya sendiri.
Ada satu lagi perkara yang mengganggu fikiran Anna ketika ini. Dia tak dapat memastikan perasaan sebenar abangnya terhadap gadis bernama Zafeeya itu. Andriy tak nampak langsung seperti dilamun cinta.
Bertahun hidup dengan Andriy, Anna kenal benar dengan perangai abangnya. Dia boleh baca andai Andriy sedang dilamun cinta atau jika dia meminati seorang wanita.
Tambah lagi, Zafeeya tak langsung menepati ciri-ciri gadis idaman Andriy. Kalau ya pun mahu bercinta selepas berkahwin, Anna tertanya apakah yang mendorong Andriy untuk memilih Zafeeya? Benarkah begitu kuat tarikan Zafeeya sehingga mampu mengubah cita rasa Andriy terhadap wanita yang mampu menakluk hatinya?
Saat itu, jarinya menyentuh skrin telefon pintar di tangannya. Security pattern yang sepatutnya menjadi rahsia ditembusi dengan jayanya. Sudah berkali-kali dia melihat Andriy melukiskan corak itu. Memang otak udanglah kalau berkali-kali tengok pun tak boleh ingat.
Dia menjeling ke luar sekali lagi. Andriy masih lagi sedang menggosok-gosok keretanya sambil beryanyi-nyanyi. Nyata, dia masih leka dalam dunianya sendiri untuk menyedari apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Anna tak melepaskan peluang. Inilah masanya untuk mengkaji apa yang sedang Andriy fikirkan melalui telefon peribadinya.
Dalam hatinya, dia meminta maaf. Tetapi, dia tak berdaya melawan perasaan ingin tahu yang semakin menghantui diri.
Aplikasi pertama yang diselongkar adalah koleksi foto. Seperti pengguna-pengguna telefon pintar yang lain, Anna dihidangkan dengan lambakan gambar. Kebanyakannya gambar Shasha. Ada juga satu, dua gambar Emilia yang barangkali dikirimkan oleh Puan Nazmah. Namun, daripada banyak-banyak gambar tersebut, tak ada satu pun gambar wanita yang boleh Anna tebak sebagai Zafeeya. Kalau ada pun, mereka nampak seperti rakan sekerja Andriy sahaja.
Anna mencuba lagi. Kali ini, dia cuba mencari imej daripada ID pemanggil pula. Nama Zafeeya dia cari daripada senarai. Jumpa! Sayangnya, Andriy tak memadankan nama dan nombor telefon Zafeeya dengan sebarang gambar.Anna menelan liur. Semakin dia cuba mengumpil, semakin misteri jadinya!
Dia mula mengesyaki sesuatu yang tak kena. Adakah watak Zafeeya hanya rekaan Andriy? Dia boleh tunggu sehingga waktu keluarganya pergi hantar rombongan meminang untuk mengesahkan. Tetapi bagaimana jika gadis itu diupah Andriy untuk berlakon?
Anna menggeleng, cuba menafikan andaiannya. Mungkin, dia sahaja yang terlebih fikir yang bukan-bukan. Ini bukan soap opera. Hakikat biasanya tak sedramatik itu!
Namun, hatinya berdegil. Dia tahu bagaimana Andriy berkeras mahu bernikah dengan Shasha tetapi dibantah emak. Dia tak salahkan Puan Nazmah kerana dia sendiri tak sukakan Shasha. Malah, Encik Noah pun kurang berkenan!
Jadi, tak mustahil andai perkahwinan ini mungkin sandiwara yang ditulis Andriy demi mengisytiharkan peperangan ego dengan Puan Nazmah. Persoalannya, siapa sebenarnya gadis bernama Zafeeya ini? Adakah benar dia seorang yang dibayar Andriy? Atau adakah mereka sudah melakukan sesuatu perjanjian? Untuk berkahwin secara kontrak contohnya?
YOU ARE READING
SEMANIS TOMATO
Ficção GeralTajuk: Semanis Tomato Penulis: Freesia Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-047-2 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 Takdir Zafeeya dengan kaum Adam tak pernah indah. Bapanya bencikannya dan dia halimun...