LANGIT dengan bumi.
Begitulah ukuran perbezaan yang diletakkan Anna terhadap Zafeeya berbanding wanita yang menjadi cita rasa Andriy selama ini. Sungguh dia tak sangka, gadis seperti ini berjaya mencuri hati abangnya!
Sebenarnya, fikirannya agak teracun sedikit dengan apa yang diberitahu Andriy semalam. Andriy menggambarkan diri Zafeeya seperti seorang loser yang suka bergantung harap kepada orang lain. Mulanya, Anna pun tanpa sengaja telah beranggapan begitu. Mujur, tanggapan itu segera berubah saat dia bersua muka dengan Zafeeya.
Namun, dia terpaksa setuju dengan satu kenyataan Andriy tentang Zafeeya. Dia langsung tak sama dengan Shasha.
Bukan! Zafeeya tak sama dengan mana-mana gadis yang pernah berpacaran dengan Andriy, terutama sekali Shasha. Pendek kata, Anna tak pernah berkenan dengan wanita yang disukai abangnya. Bukannya penting sangat andai Andriy disatukan dengan gadis yang tak disukai adiknya tetapi sudah tentu lebih menggembirakan andai Anna juga berpuas hati dengan calon kakak iparnya.
Dalam hal ni, Anna tak keseorangan. Puan Nazmah juga tak sukakan Shasha. Biarpun Anna dan emaknya selalu bercanggah fikiran, namun mereka bersatu hati dalam hal yang satu ini. Kini, harapan Anna adalah agar emaknya juga akan sependapat dengannya tentang Zafeeya.
"Awak kerja dekat mana?" tanya Anna kasual di tengah-tengah perbualan rancaknya dengan Zafeeya.
"Abang awak tak beritahu ke?"
"Tak. Entah kenapa dia kedekut nak beritahu. Jadi, saya rasa lebih senang kalau saya sendiri tanya awak." Anna menipu sedikit. Andriy ada beritahu Zafeeya seorang pelukis. Tapi, Anna nak tahu Zafeeya pelukis yang bagaimana.
"Saya ni pelukis aje. Fine artist," balas Zafeeya dalam nada yang merendah diri.
Anna mengangguk perlahan. Dia sebenarnya kurang arif dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang seni. Namun, hatinya terus kagum. Bagaimana Andriy bisa terjatuh hati dengan gadis seperti Zafeeya? Dia bagaikan tak percaya!
"Alumni Fakulti Seni UiTM ke?"
Zafeeya mengangguk perlahan.
"Tapi, lepas tu... Saya sambung belajar seni dekat US. Karya-karya saya, saya jual secara online. Kalau tak pun... Saya tumpang letak di galeri kawan saya di New York."
"Awak selalu ke New York la ni?"
"Pergi juga tapi taklah selalu. Biasanya saya hantar melalui courier. Ada masanya kawan saya tu yang datang ambil."
"Wow." Anna kekaguman. Zafeeya pelukis profesional! Namun, masih... Ciri-ciri yang ada pada dia sepatutnya tak menepati cita rasa Andriy. Andriy sukakan wanita yang elegan.
Mungkinkah benar disebabkan jodoh mereka, Andriy berubah sehingga ke tahap ini? Anna masih sukar percaya. Tapi, itu tak mustahil!
"Tak perlulah kagum sangat. Saya bekerja dekat rumah aje. Rumah saya pun tak besar. Setingkat aje. Pendapatan saya taklah lumayan sangat." Zafeeya masih merendah diri.
"Dah lama ke awak tinggal kat situ?"
"Lama juga. Sejak balik dari US, saya menyewa dekat rumah tu."
"Awak tinggal seorang, kan?"
Zafeeya mengangguk lemah.
"Mak saya dah lama meninggal dunia. Ayah saya tak nak tinggal dengan saya. Dia lebih suka tinggal dekat rumah jagaan orang-orang tua."
Anna renung dalam wajah Zafeeya. Tergambar sebuah kepahitan dari anak matanya. Dia tak mahu terus bertanya. Nampaknya, Zafeeya bukan berasal daripada keluarga yang normal, yang punya emak dan ayah dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
"Wow, you are nothing like those women my brother used to like," komen Anna. Zafeeya tersenyum.
"Tapi, saya tak boleh lebih-lebih sangat sebab dia nak ajak saya bercinta selepas kahwin," sambung Zafeeya dalam nada senda.
"Really? He said that?" Terbeliak mata Anna mendengarnya. Tak sangka, lepas satu-satu kejutan dia terima tentang abangnya.
"He didn't really said that. He only hinted on it."
"Tak kesahlah. Apapun, saya galakkan awak belajar ambil berat. Try to be someone meant for him like he did for you. Telefon aje dia bila-bila awak rasa dia free."
"I'm just afraid that it will turn out awkward."
"Cuba aje dulu. Jangan fikir yang bukan-bukan. I'm sure it'll turn out fine."
"Kalau dia tak angkat macam mana?"
"Dia angkat punyalah. Entah-entah memang selama ni dia tunggu aje awak call dia. Agaknya dia pun tak berani nak call awak dulu sebab awak selalu kata awak tak suka orang call kalau tak ada hal penting, kan? Jadi, awak telefonlah dia dulu."
Zafeeya terdiam. Namun, reaksinya nampak yakin. Anna pasti Zafeeya sudah terpujuk dengan kata-kata pujukannya untuk terus mendekati Andriy.
Dia tak pasti apakah perasaan Zafeeya dan Andriy terhadap satu sama lain. Memang dia tahu, antara mereka masih belum wujud sebarang perasaan yang terlalu serius. Tetapi, dia tak dapat menahan secalit perasaan sangsinya terhadap Andriy. Benarkah Andriy boleh menerima wanita seperti Zafeeya?
Apapun, perasaan itu Anna tolak ke tepi. Tak adil rasanya menghakimi kedudukan hati abangnya melalui apa yang dia nilai berdasarkan telefon pintarnya semata-mata. Sepatutnya dia bersangka baik dan mendoakan kebahagiaan abangnya.
Lagipun, bukankah cara Andriy kali ini tampak lebih mulia dan lebih ikhlas? Dia mahu dahulukan izin wali Zafeeya sebelum hubungan mereka terjadi. Dia juga mahu jaga batas pergaulan mereka. Dia rela menghormati kehendak Zafeeya yang sama sekali berbeza dengan kehendaknya.
Pendek kata, segalanya tentang kisah mereka luar biasa sehingga ke tahap yang mengejutkan.
Mungkinkah ini yang dimaksudkan cinta sejati? Dia hanya mampu berharap dengan sepenuh hati. Jika inilah kesudahan mereka, dia bersyukur kerana barangkali kini Andriy sudah pun melupakan Shasha, gadis yang cukup liat mahu turun daripada takhta hati abangnya.
YOU ARE READING
SEMANIS TOMATO
General FictionTajuk: Semanis Tomato Penulis: Freesia Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-047-2 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 Takdir Zafeeya dengan kaum Adam tak pernah indah. Bapanya bencikannya dan dia halimun...