Bab 11

1.1K 32 0
                                    

KAKI yang laju melangkah dihentikan di hadapan muka pintu. Dari situ, dia mengintai ke dalam ruang bilik. Hatinya sedikit lega melihat ayahnya kini semakin beransur pulih daripada sakitnya. Meski Encik Zariff patah tulang pinggulnya, dia kini sudah mampu gagahkan diri untuk duduk sedikit.

Pun begitu, dalam deritanya menahan kesakitan, mulutnya tetap mencemuh dan menghalau Zafeeya setiap kali gadis itu datang menjenguknya. Kadangkala kata-katanya mengundang berang. Mahu sahaja dia tenyeh tempat sakit orang itu.

Zafeeya perhatikan dari tepi pintu bilik. Ayahnya sedang menjamah makanan. Selalunya dia tak berselera, tetapi hari ini dia mampu menyuap lebih daripada dua sudu. Zafeeya gembira melihat ayahnya semakin bertenaga.

Kalaulah orang tua itu boleh layan aku dengan baik kan bagus, bisik hati kecil Zafeeya sambil bibirnya terukir senyuman tawar.

Encik Zariff yang tadinya sedang asyik menghadap santapan terlihat Zafeeya di tepi pintu. Dia terus mencebik. Makanan yang sedang dijamah terus diletakkan ke tepi. Zafeeya mengeluh. Ini lagi satu perangai buruk Encik Zariff. Asal nampak sahaja mukanya, ayahnya terus hilang selera makan.

Dia melangkah masuk ke dalam bilik sambil memberi salam. Ayahnya tarik muka. Seperti biasa, pandangannya dialihkan ke tepi, memandang ke luar tingkap yang tiada pemandangan menarik.

Zafeeya mengeluh. Nampaknya, apa yang bakal dia luahkan bukan satu kerja mudah.

"Abah..." panggil Zafeeya lembut.

"Siapa abah kau?" bentak Encik Zariff.

Bentakan ayahnya dia persetan. Macamlah dia tak biasa diperlakukan begitu. Lagipun kalau dilayan, alamatnya bertekaklah nanti tentang isu remeh.

Zafeeya meletakkan beg tangannya di atas kerusi bersebelahan katil ayahnya. Namun, dia tak terus duduk. Dia tetap berdiri tegas menghadap Encik Zariff.

"Saya ada benda nak cakap ni. Kejap lagi ada orang nak datang jumpa abah."

"Nak buat apa dia jumpa aku? Bukan aku ni tak penting untuk sesiapa ke?"

"Abah masih penting untuk saya. Abah wali saya. Lupa ke?"

"Hei, aku tak nyanyuk lagi la."

"Dah tu, janganlah pura-pura nyanyuk."

"Apa halnya? Ada orang nak pinang kau ke? Cakap dekat dia, aku setuju!" kata Encik Zariff dengan lantang. Jari telunjuknya siap dilentikkan ke siling.

Zafeeya tak tahu bagaimana mahu memberi respons. Perbincangan antara mereka tak pernah berlaku dengan baik. Belum apa-apa lagi orang tuanya itu sudah membuat andaian. Tepat pula tu.

Buat keputusan pun laju. Bukan Zafeeya tak tahu mengapa Encik Zariff pantas bersetuju tanpa berfikir panjang. Zafeeya sedar kebahagiannya bukan kepentingan untuk ayahnya. Tambah lagi, orang tua itu mahu Zafeeya menjauh daripadanya dalam kadar segera.

"Abah cakaplah sendiri!"

"Lepas tu, cakap dekat dia... Jangan benarkan kau datang ke sini lagi."

Zafeeya mengeluh halus. Kan betul apa yang dia sangka tadi? Baik atau tak lelaki itu, Encik Zariff tak kesah. Asalkan ada peluang baginya untuk mengusir Zafeeya, dia memang tak betah mahu menilai calon suami Zafeeya terlebih dahulu.

"Cakap sendiri dekat dia, abah."

"Bila dia nak datang? Baik cepat. Aku penat ni. Nak tidur."

Encik Zariff dengan berhati-hati mula merebahkan diri kembali di atas katil. Zafeeya pantas mendekatinya untuk membantu. Namun, tangannya dipukul-pukul menandakan ayahnya tak mahukan bantuannya. Serta-merta Zafeeya dicuit perasaan geram.

"Abah ni... Cuba jangan bengis sangat, boleh tak?" omel Zafeeya. Tanpa dia sedari sebelah tangannya mencubit lengan ayahnya yang masih memukul-mukul tangannya yang satu lagi.

"Tak payah pura-pura. Aku tahu kau gembira!" gerutu Encik Zariff apabila dirinya telah selamat dibaringkan. Dia mengiringkan tubuh menghadap tingkap, tak mahu terus berdepan dengan Zafeeya.

Zafeeya kelu untuk berkata apa-apa lagi. Dia kembali ke tempat duduk di sebelah katil ayahnya sambil melepaskan keluhan berat. Sungguh, dengan segala layanan kasar yang dia terima daripada ayahnya, hatinya sudah tebal. Dia sudah kalis daripada merasa tersinggung atau perasaan lain yang sekutu dengannya.

"Nanti, jaga dia elok-elok. Ambil berat tentang dia. Jangan terlalu biasakan diri berseorangan." Tiba-tiba Encik Zariff bersuara perlahan.

Biarpun suara orang tua itu dikawal perlahan dan sayup-sayup kedengaran, Zafeeya terkesima. Dia bagaikan tak percaya dengan apa yang baru diluahkan ayahanda.

Saat itu hatinya mula terusik. Bibirnya pula mula terukir senyuman. Mungkin apa yang dipamerkan ayahnya bukan apa yang dia rasakan dalam hatinya. Mungkin dalam sifatnya yang perengus, dia sebenarnya masih mengambil berat. Jika itu hakikatnya, Zafeeya merasa berbesar hati untuk menuruti nasihat ringkas yang pertama kali dia dengar daripada ayahnya.

Betul kata Anna. Dia perlu belajar membuang tabiatnya yang suka menyendiri. Sudah tiba masanya dia belajar menerima dan bertolak ansur dengan kehendak orang lain.

Andriy terutamanya.

"Apa abah cakap tadi? Saya tak berapa dengarlah," seloroh Zafeeya. Sengaja dia berpura-pura agar Encik Zariff mengulangi percakapannya tadi. Setiap bait katanya dia lafazkan dengan senyuman yang masih terbentuk di bibir.

"Tak ada apalah. Kalau tak dengar, sudah!" gerutu Encik Zariff.

Sudah dijangka jawapan begitu yang akan diterimanya. Namun, Zafeeya masih tersengih sendiri. Entah mengapa ayat ringkas yang didengarinya tadi cukup membuatkan hatinya ringan. Tak dia sedari masa yang telah berlalu apabila Andriy dan keluarganya sampai untuk menghadap ayahandanya.

Dengar sahaja suara orang memberi salam, raut wajah Encik Zariff terus berubah. Nada suaranya juga dia kawal. Tak terlalu tinggi seperti mana yang selalu didengari Zafeeya, juga tak terlalu ramah. Namun, dia menyambut baik kedatangan Andriy dan keluarganya.

Zafeeya tersenyum dalam hati. Nampaknya tiada apa yang perlu dirisaukan. Lagipun, bukankah tadi abah kata dia setuju?

SEMANIS TOMATOWhere stories live. Discover now