"MANA pergi cat akrilik warna putih ni?" Zafeeya bermonolog. Habis seisi ruang bilik dia selongkar namun barang yang dicari tak kelihatan.
Walau dalam keseorangan, dia sebenarnya cuba menipu perasaannya sendiri. Tiub cat akrilik dia jadikan alasan bagi menipu jiwanya yang sedikit tak keruan. Hakikatnya, dia tiba-tiba teringatkan Eddie. Kalau diikutkan keadaan, tiada salahnya dia berhenti daripada berlari dan bersemuka sahaja dengan Eddie tempoh hari. Taklah dia dicuit perasaan menyesal hari ini.
Malangnya waktu itu, dia berada dalam keadaan tak bersedia. Dia tak bersedia untuk bertemu dengan lelaki yang pernah menolak kewujudannya. Dia malu. Dia terasa diejek. Lagipun, selama ini memang dia selalu berharap agar dirinya tak dipertemukan lagi dengan Eddie.
Zafeeya menggeleng-gelengkan kepala. Kenangan baharunya dengan lelaki bernama Eddie itu wajar dilupakan serta-merta. Bukan penting pun. Dia sepatutnya tak perlu risaukan perasaannya terhadap jejaka itu lagi. Dia pasti Eddie tak mempunyai nombor telefonnya, maka boleh disimpulkan dirinya bebas daripada tekanan. Dia cuma perlu jalani hidupnya seperti biasa. Hidupnya yang sudah lama melupakan Eddie.
"Apa yang penting sekarang adalah cat aku!" kata Zafeeya sendirian, cuba melenyapkan angannya. Dia perlu meneruskan hidupnya sebagai seorang pelukis, seorang pengkarya seni. Kawannya Imani yang dia temui di hotel dulu memberitahu, lukisannya di galeri sudah habis dijual. Jadi, kalau dia tak terus berkarya, nanti pendapatannya terbantut.
Zafeeya membongkok, cuba melihat ke bawah meja apabila matanya tertancap pada sekeping kad berwarna putih. Tangannya mengutip kepingan itu. Tiub cat yang dicari terus dilupakan. Nama yang tertera dibacanya.
Andriy Kasheef. Zafeeya mengetap bibir. Bukankah dia pernah berniat mahu membuang kad itu ke dalam tong sampah pertama yang muncul di pandangan matanya? Mengapa kad itu terdampar di atas lantai studionya pula?
Call me. Dia lantas teringat dua patah kata yang pernah diluahkan Andriy.
Zafeeya mengeluh. Kad yang terselit di antara jari telunjuk dan ibu jarinya dicampakkan ke dalam bakul sampah berdekatan.
Mahu dia memulakan langkah pertama? Jangan harap. Lelaki semuanya sama. Lebih-lebih lagi yang ada rupa ni. Nanti kalau dia telefon, tiba-tiba ditanya pula siapa dirinya. Seperti yang dialami ketika cuba berkawan dengan Eddie dulu.
Selepas entah berapa tahun, barulah Eddie terhegeh-hegeh mencarinya lagi. Entah apalah yang orang itu mahu, dia tak nak cuba fikir pun. Apa yang dia tahu, hatinya sudah tawar tak berperisa.
Kalau pernah berada sekelas pun orang boleh lupa, inikan pula bertemu dalam tandas. Zafeeya lebih rela jimatkan perasaan malunya daripada mengambil langkah terhadap Andriy. Hati dan perasaannya lebih selamat jika diturutkan ego wanitanya.
Dia sedar diri. Dia bukan si cantik rupawan yang mampu membuatkan orang lain terkenang-kenang akan wajahnya sebelum masuk tidur. Dia tak percayakan cinta pandang pertama. Sebab itu, dia tak pernah berharap akan ada orang yang datang menegurnya begitu sahaja untuk mengurat.
Tetapi, itulah yang dilakukan Andriy. Dia satu-satunya lelaki dalam dunia ni yang berani meminta nombor telefonnya selepas hanya lima minit mereka bersua muka.
Pun begitu, ada dia telefon? Tiada. Memang Zafeeya dah jangka! Sebab itu dia layankan sahaja kehendak Andriy tu. Dia tahu inilah keputusannya.
Sudah, sudah. Lupakan mamat orang putih tu. Fokus balik pada cat anda, Zafeeya! Maka, dia pun menyambung semula operasi yang tergendala sebentar tadi. Di bawah meja dia intai sekali lagi.
Telefon bimbit yang berdering drastik dan memecahkan kesunyian hampir menggugurkan jantung Zafeeya. Akibat terkejut, dia terhantuk pada bahagian bawah meja. Terduduk sekejap. Adoi!
YOU ARE READING
SEMANIS TOMATO
General FictionTajuk: Semanis Tomato Penulis: Freesia Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-047-2 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2017 Takdir Zafeeya dengan kaum Adam tak pernah indah. Bapanya bencikannya dan dia halimun...