BAB 14

1.2K 31 0
                                    

ZAFEEYA duduk di atas sehelai tikar yang dia bentangkan di situ. Warna langit pada pagi Isnin ini cukup indah. Ronanya bercampur dari warna emas ke jingga. Ada sedikit rona ungu dan seterusnya warna biru. Cahaya matahari yang baru mula mengambil alih waktu malam menjadikan warna awan sedikit kekelabuan namun semuanya tetap nampak indah.

Setiap hari, warna langit berlainan. Begitu juga dengan corak dan kedudukan awan. Tak pernah sama. Kombinasinya infiniti.

Matanya jauh merenung ke langit, cuba membuat catatan mental ke atas warna-warna yang dilihatnya. Dia mahu cuba merakamkan pemandangan kawasan perumahan mewah yang terbentang di hadapannya yang dihiasi rona-rona indah langit itu ke atas kanvas lukisan.

Di zaman teknologi ini, ramai saja orang yang kata dia kolot. Kalau rasa langit tu cantik, tangkap sajalah gambar guna kamera telefon. Tapi, Zafeeya punya pandangan yang berbeza. Imej dalam kamera tak sama dengan imej lakaran minda.

Dari mata, pemandangan yang dirakam dalam minda akan diterjemahkan oleh jiwa untuk menghasilkan lukisan yang bersulamkan pendapat dan perasaan pelukis.

Pendapat seperti ini subjektif. Tapi, setidak-tidaknya inilah sebahagian daripada jiwa seni yang dimiliki Zafeeya.

Dari atas itu juga, dia dapat melihat rumah Andriy. Dari situ, banglo besar itu kelihatan kecil sahaja.

"Cik buat apa dekat sini?"

Suara seorang perempuan yang tiba-tiba menyapanya menyentakkan lamunan. Hampir tergugur jantung apabila ketenangannya tak semena-mena diganggu.

Tak pernah ada orang lain yang berkunjung ke situ selainnya dan ini membuatkannya kaget.

Zafeeya segera bingkas dan berpaling. Tertancap di hadapan lubang pintu seorang wanita lengkap berpakaian seperti seorang kontraktor dalam usia awal 40-an yang tak dikenalinya. Jantungnya mula berdegup kencang.

"Cik tak boleh ada dekat sini. Cik ni dah kira menceroboh ni," ujar wanita itu apabila Zafeeya masih terlalu bungkam untuk berkata-kata.

Zafeeya melihat wanita itu dengan mata yang terkebil-kebil. Ketika itu dia terdengar beberapa suara lelaki yang datangnya dari tingkat bawah.

Dia mula rasa tak sedap hati.

Dia tahu selama ini dia menceroboh tetapi bukan perkara ini yang dirisaukan. Nalurinya memberitahu, ada perkara yang lebih buruk dari tuduhan menceroboh yang bakal berlaku.

"Baik cik balik sekarang. Cik boleh didakwa tau," amar wanita tadi dengan nada yang tenang.

"Apa yang puan buat dekat sini?" Zafeeya memberanikan diri bertanya.

"Buat apa? Kerjalah. Tuan tanah ni nak robohkan rumah ni. Dia nak buat rumah baru."

Zafeeya tergamam. Tekaknya serta-merta terasa kering dan berpasir. Dadanya pantas terasa sebak. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Ini tak mungkin terjadi.

Selama ini dia selalu tenang berada di situ. Tetapi hari ini, tempat itu bakal lesap dari muka bumi. Itulah kenyataan yang paling dia tak ingin percaya.

"Dah, baliklah. Nanti awak ganggu kerja kami."

"Tolonglah, jangan... Janganlah runtuhkan rumah ni," pinta Zafeeya walau dia tahu permintaannya tak akan membuahkan hasil. Suaranya yang bergetar membuatkan wanita tadi kelihatan sedikit panik dan keliru.

"Ini bukan keputusan saya."

"Tak bolehkah buat rundingan dengan tuan tanah untuk tak robohkan rumah ni?" soal Zafeeya. Dia tahu soalannya bodoh tetapi dia sudah buntu dengan kata-kata untuk mempertahankan tempat kesayangannya.

SEMANIS TOMATOWhere stories live. Discover now