Bab 12

1.2K 31 0
                                    

ANDRIY ketap gigi tatkala matanya membaca tulisan yang tertera di telefon pintarnya yang sedang berdering. Tiga, empat, lima kali deringan berlalu namun jarinya masih teragak-agak untuk menyambut panggilan daripada tunangnya, Zafeeya. Sejujurnya, dia mula naik rimas.

Andriy tak faham mengapa Zafeeya langsung berubah 360 darjah sejak mereka bertunang. Daripada sikapnya yang suka menyendiri dan tak suka dirinya kerap dihubungi, dia berubah menjadi seorang yang suka menyibuk. Rajin pula dia memulakan langkah menghubungi Andriy terlebih dahulu. Sebelum ini tak pernah pun. Kalau adapun, jarang sekali ia berlaku. Dan kalau berlaku pun, Zafeeya hanya menelefon untuk hal-hal yang penting sahaja. Lagi, perbualan mereka hanya akan berlangsung sesingkat yang mungkin.

Termasuk hari ini, sudah 86 hari mereka bertunang. Dia tak tahu bagaimana harus dia simpulkan tempoh itu. Ada yang kata sekejap kerana mereka sepatutnya bertunang selama lebih kurang setahun sebelum bernikah. Namun, dia terasa lama. Cukup lama. Sebabnya? Hidupnya mula rasa terganggu dengan Zafeeya yang entah mengapa, tiba-tiba sahaja mahu mengambil berat dan mendekatkan diri dengannya.

Ini sudah lari daripada rancangan!

Andriy mahu menganggap Zafeeya cuba memikatnya tetapi tanggapan sebegitu pun tak boleh dia terima. Zafeeya tak pandai mengayat! Nak mulakan perbualan pun dia rasa susah. Mungkin inilah akibat seseorang yang terlalu biasa bersendiri. Beberapa kali sebelum ini, Zafeeya pernah menghubunginya dengan niat untuk mengajaknya berbual. Namun, akhirnya mereka masing-masing cuma mendiamkan diri di hujung talian.

Jangan tanya mengapa dia tak mahu bercakap. Dia keraskan hati. Dia memang tak berniat melayan Zafeeya lebih-lebih. Pernah sekali, Zafeeya menelefon untuk mengajak bersembang. Namun, percubaannya dianggap terlalu lemah apabila dia mengajak untuk bercakap tentang Sesame Street. Percaya tak? Sesame Street! Tak ada topik lain ke?

Sebab itu kebanyakan masa, Andriy tak akan menjawab panggilan daripada Zafeeya. Dia semakin dapat merasakan bahawa Zafeeya sudah mula menaruh hati padanya tetapi dia tak dapat meneka bagaimana. Layanan yang dia berikan kepada Zafeeya selama ini pun ala kadar. Dia tak begitu pedulikan Zafeeya apatah lagi mengambil berat.

Bagaimana seorang wanita boleh terpikat dengan lelaki yang tak kesah langsung tentangnya? Dia percaya dia telah membuat yang terbaik untuk mengekalkan jaraknya dengan Zafeeya. Tetapi mengapa kesan yang dia peroleh berlawanan dengan kesan yang dia mahukan?

Dia mahukan Zafeeya yang dulu. Zafeeya yang hanya menerima daripadanya tanpa mahu membalas apa-apa. Zafeeya yang dulu mampu membuatkan hubungan mereka kekal kaku. Tapi sekarang... Dia tak tahu apa yang sedang Zafeeya fikirkan.

Banyak lagi usaha Zafeeya untuk mendekatkan diri kepadanya. Semuanya dia rasa menjengkelkan dan menjanggalkan. Walau bagaimanapun, dia hargai sebuah potret dirinya yang diberi dan dilukis sendiri oleh Zafeeya. Itulah satu-satunya pemberian Zafeeya yang dia rasakan normal.

Andriy hembuskan nafas lega apabila telefonnya berhenti berdering. Alat itu diletakkan ke dalam laci. Baru sahaja dia ingin menyentuh kembali tetikus komputer, telefon itu berbunyi lagi. Andriy merungut. Dengan kasarnya dia membuka laci dan menggenggam gajet itu. Simbol hijau segera disentuh. Sebaris perkataan salam diluahkan dengan nada berang.

"Awak nak apa? Saya kerja ni," ujar Andriy kasar.

"Saya minta maaf. Tadi, saya pergi ke rumah awak hantar tomato sikit," beritahu Zafeeya tanpa sebarang tanda dia tersinggung dengan kekasaran suara Andriy tadi.

Tomatoes? Now she's getting weirder! Andriy mengomel dalam hati.

"Itu aje ke yang awak nak beritahu?"

"Ya. Awak makan ya tomato tu. Saya tanam sendiri tau." Ada senyuman tercelah di suara Zafeeya.

Tanam tomatolah pula... Andriy mengutuk dalam hati.

SEMANIS TOMATOWhere stories live. Discover now