Bab 8

1.3K 40 0
                                    

"MAK..." seru Andriy sewaktu sedang menikmati juadah makan malam bersama keluarganya.

Matanya memandang sekeliling, menyaksikan ahli-ahli keluarganya yang lain turut mengangkat wajah, memberi fokus. Siap menilik wajah adik dan ayahnya, dia mengembalikan tumpuan kepada emaknya yang sudah pun merenung tepat ke wajahnya.

"Andriy nak kahwin," ujarnya selamba. Sekilas pandang, dia terlihat adik perempuannya, Anna tersenyum. Namun, gadis itu cepat-cepat menundukkan wajah apabila emaknya melemparkan pandangan tajam kepadanya.

Encik Noah mengeluh kecil. Dia yang terkaku seketika sewaktu Andriy memanggil emaknya tadi terus menyambung menyuap nasi apabila mendengar penerangan Andriy. Dia malas mahu masuk campur hal yang selalu menyebabkan Andriy dan emaknya bertelagah. Biasanya drama itu dia perhatikan sahaja. Tiba waktu yang sesuai baru dia akan masuk campur.

"Kamu nak kahwin dengan siapa? Emilia?" soal Puan Nazmah separuh teruja. Tumpuannya dikembalikan kepada Andriy.

"Siapa nak kahwin dengan Emilia?" Andriy menyoal dalam bantahan. Sekali lagi, dia ternampak Anna tersenyum. Dia tahu adiknya menyebelahinya.

"Habis tu kamu nak kahwin dengan siapa ni?" nada Puan Nazmah langsung berubah garang.

"Dengan calon pilihan Andriy la. Kan dah cakap dengan mak hari tu. Janganlah buat-buat lupa."

"Siapa? Shasha? Mak tak suka la perempuan tu!"

"Tak. Bukan Shasha..."

"Tak kesahlah siapa pun... Selain Emilia, mak tak suka!" Puan Nazmah mengukuhkan pendiriannya yang memang Andriy sudah sedia maklum.

"Bukannya mak yang nak kahwin dengan dia!"

"Restu aku penting tau!"

"Macam inilah... Mak pilih. Sama ada biarkan Andriy kahwin dengan calon pilihan Andriy, atau... Andriy tak kahwin langsung." Andriy buat rundingan semula.

"Tu aje ke pilihannya?" sampuk Encik Noah tiba-tiba. Andriy angguk.

"Dua-dua mak tak nak pilih," Puan Nazmah berdegil. Hilang seleranya mahu meneruskan santapan.

"Mak... Dah cukup baik kan Andriy ikut cakap mak supaya tak pilih Shasha?" Andriy cuba memujuk namun Puan Nazmah hanya menghadiahkannya sebuah jelingan tajam.

"Sudahlah tu, Mah. Biarlah dia kahwin dengan calon pilihan dia tu. Awak selalu kata awak nak dia kahwin cepat. Tapi, bila dia nak kahwin... Macam ni pula gayanya," omel Encik Noah, mengendurkan ketegangan dan menyebabkan Andriy dan emaknya menghentikan perbincangan.

"Entahnya. Hari tu kata bagi chance kat abang untuk cari calon pilihan sendiri," sampuk Anna.

"Kan? Kita dah deal!" tambah Andriy.

Puan Nazmah mendengus. Jelas sekali dia tak bersetuju tetapi dia enggan berkata apa-apa. Andriy tersenyum dalam hati. Emak sudah terperangkap. Lagipun, bukannya kata-kata abahnya salah. Semuanya benar belaka. Cuma dia tahu emak tak puas hati kerana apa yang sedang berlaku ini tak mengikut kehendaknya.

"Siapa dia? Berapa lama dah kamu kenal dengan dia?" Encik Noah mengambil alih perbualan yang ditinggalkan isterinya. Puan Nazmah memuncungkan bibir.

"Nama dia Zafeeya. Andriy mula kenal dengan dia dalam tiga, empat bulan lepas," jawab Andriy jujur.

"Apa? Tiga bulan? Tiga bulan kenal kau dah ajak dia kahwin?!" teriak Puan Nazmah. Terkejut seisi umat yang sedang duduk di meja makan itu.

"Andriy tak ajak dia kahwin. Andriy nak abah dan mak pergi pinang dia. Sebab tu Andriy beritahu Andriy nak kahwin."

SEMANIS TOMATOWhere stories live. Discover now