Bab 2

2.2K 61 0
                                    

KEPALA paip dipulas perlahan, membenarkan air menderu keluar daripada muncungnya. Tangannya dirapatkan, menadah cecair jernih yang mengalir sebelum air yang ditadah itu diangkat ke muka. Dua tiga kali perbuatan itu diulangi. Setelah puas, dia memulas kasar kepala paip. Wajahnya yang kebasahan di dalam cermin direnung dalam-dalam.

Andriy melepaskan satu keluhan berat. Tangan kirinya lesu mencapai sehelai sapu tangan yang ditempatkan di dalam kocek seluarnya. Perlahan-lahan, mukanya dikesat biarpun matanya tak dilepaskan dari terus bertentang mata dengan imejnya di depan cermin.

Jiwanya memberontak. Dia teringat pesan emaknya untuk melakukan yang terbaik untuk janji temu kali ini. Tetapi, dia tak mampu. Bukan. Dia tak mahu. Dia penat. Sudah berkali-kali dia membantah kemahuan emaknya tetapi setiap kali itu juga orang tuanya mendesak sehingga dia terpaksa mengalah. Sudah banyak kali dia dipaksa berjumpa dengan calon isteri pilihan emaknya, namun tak pernah sekali pun dia jayakan.

Kali ini tak terkecuali. Inilah cara dia menunjuk perasaan. Setiap kali dia diaturkan bertemu dengan gadis itu, dia akan melarikan diri. Dia mahu emaknya tahu, biar apa pun agenda yang diaturkan, dia tak akan berkahwin dengan gadis bernama Emilia itu.

"BERILAH peluang dekat Si Emilia tu. Dia sukakan kamu." Terngiang-ngiang pujukan emak tirinya, Puan Nazmah dua, tiga hari lalu.

"Mak, sudahlah tu. Perasaan orang bukan boleh dipaksa-paksa," balas Andriy malas.

"Apa pula paksa? Emak Emilia, Datin Samsiah tu yang beritahu mak macam tu. Katanya, anak dia berkenan sangat dekat kamu."

"Andriy tahu tu, mak. Masalahnya sekarang, mak mahu Andriy sukakan Emilia juga, kan?"

"Tak boleh ke? Kalau kamu suka dia, senanglah hati mak. Cepatlah kamu boleh bernikah."

"Andriy tak nak."

Dia tak perlukan perasaan Emilia terhadapnya kerana dia sama sekali tak akan jatuh hati pada Emilia. Emilia terlalu kebudak-budakan. Selalu mahu berkepit-kepit, bermanja-manja, berselfie-selfie. Terpengaruh kuat dengan drama Korea pula tu! Pernah sekali, dia minta Andriy ikatkan tali kasutnya. Acah-acah romantis sangatlah tu ikatkan tali kasut? Sudahlah belajar pun tak habis lagi.

Sudah lebih setahun berlalu sejak Puan Nazmah memperkenalkan mereka. Emak tirinya mahu menjodohkan mereka, itu Andriy pasti. Sayangnya, dia bukan jenis wanita yang Andriy suka, bukan jenis wanita idamannya.

"Tak nak? Apa maksud kamu tak nak? Tak nak kahwin? Umur kamu tu dah nak masuk 30 tahun, Andriy! Mak ni nak bantu kamu aje. Cuba kamu beri kerjasama sikit. Ini tak. Setiap kali mak aturkan janji temu dengan Emilia, kamu tinggalkan dia sorang-sorang lepas jumpa dua, tiga minit," bebel Puan Nazmah seperti rutinnya setiap kali Andriy gagalkan janji temunya dengan Emilia.

"Itu menunjukkan, Andriy tak nak dengan Emilia tu. Mak jangan paksa boleh? Lagipun, umur lewat 20-an tak ada la tua sangat. Lelaki macam Andriy ni, lagi berumur lagi tinggi saham." Sempat Andriy berseloroh.

"Kamu..." Tak terungkap dengan kata-kata apa yang cuba Puan Nazmah sampaikan saat perasaan berang mula menguasai diri mendengar loyar buruk Andriy.

"Kamu berniat nak derhaka dengan mak, ya?" gertak Puan Nazmah penuh garang.

Gulp! Andriy menelan liurnya yang tiba-tiba terasa kelat di anak tekak. Dalam banyak-banyak pertelagahan mereka, ini kali pertama Puan Nazmah menggertak dengan perkataan derhaka. Seram juga Andriy dibuatnya.

Dia bukan berniat mahu menderhaka. Tetapi, dia mahukan cinta yang mampu memuaskan bukan setakat hati keluarganya, tetapi hatinya sendiri. Dia mahu mencintai dengan ikhlas. Bukankah itu lebih penting?

"Okeylah, macam inilah. Andriy boleh pertimbangkan untuk berkahwin, tetapi bukan dengan Emilia atau mana-mana gadis pilihan mak."

"Kamu nak cari sendiri? Mak tak percaya. Kamu punya girlfriend yang dulu tu, mak cukup tak berkenan!"

Ah, sudah! Puan Nazmah ungkit tentang Shasha pula. Namun, Andriy berlagak tenang. Emak memang macam ni. Kehendak hatinya sahaja yang dia mahu orang lain turutkan. Selagi Emilia yang dia suka, tak dapat disatukan dengan Andriy, apa yang Andriy suka semuanya dia takkan suka!

Apapun, buat masa ini Puan Nazmah tak perlu tahu kedudukan hatinya. Biar dia dan Shasha sahaja dalam dunia ini yang tahu kedudukan hati mereka masing-masing.

"Mak... Ini soal hidup Andriy juga."

"Fine, fine. Cubalah cari gadis yang kamu rasa mak boleh suka. Kamu tahu mak ni cerewet, kan?"

Ya. Andriy tahu emaknya cerewet. Tapi, bukan hati emaknya yang menjadi misi peribadinya. Mungkin dia boleh pertimbangkan sedikit andai gadis pilihan Puan Nazmah jenis yang baik-baik. Ini tak. Puan Nazmah lebih cenderung memilih anak gadis kawan-kawan rapatnya yang berpangkat Datin. Baik atau tak anak gadis Datin-Datin itu, emaknya tak berapa kesah. Katanya, perangai baik seseorang itu boleh dibentuk kemudian. Yang tak baik boleh berubah. Entahlah...

ANDRIY kembalikan diri ke dunia nyata, pada waktu semasa. Dia ingatkan diri tentang matlamat hatinya. Emak sudah beri peluang kepada dirinya untuk mencari calon isteri sendiri. Jadi, dia perlu pilih dengan penuh teliti dan berhati-hati. Wanita yang dia cari adalah seorang yang tiada potensi untuk jatuh cinta padanya. Dia mahukan hubungan yang kaku dan bosan.

Agak sukar untuk mencari wanita sedemikian kerana sudah tentulah kebanyakan wanita cenderung untuk jatuh cinta padanya tanpa perlu digoda. Dia segak, tampan, kewangannya stabil dan...

Well, I'm charming. Sempat Andriy memuji diri sambil berdiri tegak di hadapan cermin. Rambutnya yang sedikit basah dikuakkan ke atas untuk diperkemas.

Meskipun dia tahu misinya sukar, namun dia bertekad untuk mencuba. Dia hanya akan memilih untuk mendekati gadis-gadis yang diberikan nama jolokan miss independent dengan harapan hati mereka cukup batu untuk tak terpaut padanya tetapi cukup mampu untuk menerima dirinya. Sayangnya, setakat ini apa yang dicari masih belum ditemui.

Saban hari, dia sedari apa yang dia mahukan agak mustahil. Bagaimana dia bisa mencari seorang wanita yang tak mungkin jatuh hati padanya? Kalau ada pun, bagaimana pula wanita itu bisa menerima lamarannya?

Satu lagi kenangan menyelit dalam kotak fikirannya tatkala dia teringat sebaris soalan yang diluahkan kawan baiknya, Harraz. Entah mengapa, soalan mudah itu sukar untuk dia lupakan.

SEMANIS TOMATOWhere stories live. Discover now